SABAN tahun apabila masuk bulan Rabiulawal, rasa kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW makin membara. Itulah perasaan setiap orang beriman apabila mengenang jasa dan pengorbanan insan mulia dan hebat iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim.
Kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal memberi rahmat kepada sekalian alam sehingga membawa kepada tersebar luasnya Islam ke seluruh pelosok dunia. Ini termasuklah ke negara kita, Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama bagi negara.
Ibnu Abbas dalam Tafsir Ibnu Kathir menyebut, Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah SAW.
Baginda penyebab dimasukkan orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir adalah tidak disegerakannya bencana yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari ajaran Allah.
Selepas lebih 1,400 tahun kewafatan baginda, sudah semestinya umat Islam kini perlu sentiasa berazam untuk mencontohi dan mengamalkan sunnah Nabi SAW. Lebih-lebih lagi bagi kita yang disebut sebagai saudara dalam salah satu sabda Nabi SAW.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Aku sangat ingin bertemu dengan saudara-saudaraku.”
Mendengar kata-kata ini, para sahabat yang berada di sekeliling baginda berasa hairan. Mereka bertanya, “Bukankah kami ini saudara-saudaramu, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab dengan penuh kasih sayang, “Kalian adalah sahabatku, sedangkan saudara-saudaraku adalah mereka yang belum datang (lahir) setelah aku.” (Riwayat Muslim, 249)
Betapa mulianya kedudukan umat yang datang selepas kewafatan baginda. Nabi SAW tidak pernah melihat kita tetapi baginda merindui kita. Baginda tidak pernah mendengar suara kita, tetapi baginda ingin bertemu dengan kita.
SIAPAKAH SAUDARA YANG DIRINDUI RASULULLAH?
Saudara yang dimaksudkan oleh Rasulullah adalah kita, umat Islam yang hidup selepas kewafatan baginda, yang beriman kepadanya tanpa pernah melihatnya. Dalam banyak hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan keistimewaan orang-orang yang beriman kepadanya meskipun tidak pernah melihat baginda.
Baginda bersabda yang bermaksud: “Beruntunglah orang-orang yang beriman kepadaku, padahal mereka tidak pernah melihatku.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Amat besar kasih sayang Rasulullah terhadap umatnya. Walaupun baginda hidup bersama para sahabat yang setia, yang berjuang di sisinya, tetap ada sekumpulan manusia yang paling baginda rindukan iaitu mereka yang belum pernah baginda temui tetapi baginda sangat ingin berjumpa dengan mereka.
MENGAMALKAN SUNNAH NABI SAW
Mencontoh, berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan baginda adalah tanda pertama cintakan Rasulullah SAW. Bahkan orang yang benar-benar mencintai baginda adalah orang yang mengikuti nabi SAW secara zahir dan batin. Mereka juga selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah SAW.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (at-Taubah:24)
Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah SAW dalam setiap kehidupan adalah bukti kecintaan kepada Nabi SAW. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Ali Imran:31)
BANYAK BERSELAWAT KEPADA NABI
Orang yang mencintai dan menyukai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya adalah kesinambungan kecintaan terhadap seseorang. Lebih-lebih lagi kepada kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW.
Ini membawa kepada kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (al-Ahzab: 56)
Antara kelebihan berselawat adalah:
- Ia akan mengangkat darjat mereka yang berselawat ke atasnya di syurga kelak, diampunkan dosa-dosa dan kesalahannya
Ini berdasarkan Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali, dan dihapus ke atasnya sepuluh kesalahan, dan diangkat baginya sepuluh derajat (HR. Nasaai).
- Ia adalah sebab mendapatkan syafaat
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barangsiapa yang berselawat ke atas-Ku 10 kali ketika pagi hari dan 10 kali ketika petang maka dia mendapatkan syafaatnya”. (Riwayat Tabrani).
Orang yang paling dekat dengan Nabi di hari kiamat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atasnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (Riwayat Tirmidzi).
- Antara tanda iman dan bukti cinta kepada Rasulullah SAW
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Agar kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama-Nya), membesarkan-Nya. Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang. (Al-Fath: 9)
ZIARAH MAKAM BAGINDA SAW
Adalah tidak salah untuk kita berazam menziarahi makam Rasulullah SAW terutama apabila melakukan umrah atau ziarah di bumi Madinah. Ini secara tidak langsung dapat mendekatkan kita dengan baginda SAW walaupun tidak sempat bersama dalam hayat dan perjuangan Nabi SAW.
Imam al-Nawawi berkata apabila jemaah haji dan umrah berangkat meninggalkan Mekah, hendaklah mereka menuju Madinah iaitu kota Rasulullah SAW. Ia bagi menziarahi makam baginda SAW. Ini kerana termasuk dalam amalan yang paling utama mendekatkan diri kepada Allah dan antara yang paling berjaya. (al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah)
MENDALAMI AL-QURAN, HADIS DAN SIRAH BAGINDA
Apabila kita mengimbas perjalanan sirah Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah di Mekah dan Madinah, baginda menghadapi segala kekerasan, keperitan, kezaliman, kecemasan dan pemboikotan dengan penuh ketabahan.
Ia sudah cukup menonjolkan keperibadian Rasulullah SAW. Lihat sahaja bagaimana Nabi SAW sering dicemuh, dihina, dikasari dan sebagainya, Namun semua itu tidak pernah melemahkan semangat Baginda. Malah, Rasulullah SAW tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.
Sebaliknya, baginda berpandangan positif terhadap ujian yang dilaluinya, lalu pernah mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat mereka yang pernah menzaliminya.
Penghayatan kita tentang perjalanan hidup baginda mengajar kepada kita erti ketabahan. Ia sebagai panduan bagi setiap individu, bagaimana iman dan akhlak itu, seharusnya berjalan seiringan. Ia penting untuk kita perhatikan. Agar sifat-sifat terkeji dan nafsu tidak dapat menguasai diri kita melebihi daripada keimanan kita.
Ingatlah antara tujuan Nabi SAW diutuskan ke bumi untuk menyempurnakan akhlak. Kehalusan dan kemuliaan akhlak baginda adalah petunjuk bagi jalan yang lurus.
Rasa cinta kita kepada baginda tidak terhenti dengan mengamalkan ajaran Nabi SAWw. semata-mata. Kita juga perlu memperbaiki keperibadian kita. Hiasilah diri kita dengan akhlak terpuji, sebagai tanda cinta kita kepada Baginda SAW. Syukurilah segala nikmat Allah kepada kita, dan bersabarlah atas segala ujian yang datang. –UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.











