SEORANG jurutera dari Ranau menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selepas bergraduasi, beliau menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat multinasional di Selangor kerana peluang kerjaya, kemudahan penyelidikan dan kadar gaji yang lebih kompetitif berbanding di Sabah.
Situasi hampir sama dialami seorang doktor dari Kota Belud yang kini bertugas di Lembah Klang. Walaupun hasrat untuk kembali berkhidmat di Sabah sentiasa ada, namun peluang mengikuti latihan kepakaran, kemudahan kesihatan yang lebih lengkap dan laluan kerjaya yang lebih tersusun menyebabkan keputusan itu terus ditangguhkan.
Kisah ini mencerminkan realiti yang dihadapi ribuan anak Sabah. Mereka berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), namun memilih membina kerjaya di Semenanjung atau luar negara. Fenomena penghijrahan modal insan ini bukan sahaja melibatkan doktor dan jurutera, malah saintis, pensyarah, penyelidik, profesional kewangan, pakar teknologi, tenaga pengajar serta bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Persoalan utama bukanlah mengapa mereka berhijrah tetapi mengapa mereka masih belum mempunyai sebab yang cukup kukuh untuk kembali.
Sabah tidak pernah ketandusan bakat. Setiap tahun, ribuan anak negeri menamatkan pengajian dengan kelayakan dan kemahiran yang mampu memacu pembangunan negeri. Namun apabila memasuki alam pekerjaan, peluang kerjaya bernilai tinggi yang lebih banyak di luar Sabah menyebabkan sebahagian besar memilih untuk berhijrah.
Akibatnya, jurang antara keperluan pembangunan negeri dengan jumlah tenaga profesional yang tersedia semakin melebar.
Cabaran ini paling ketara dalam sektor kesihatan. Sabah kini mempunyai sekitar 3,400 doktor kerajaan dan kira-kira 1,400 doktor swasta, sedangkan negeri itu dianggarkan memerlukan lebih 9,300 doktor bagi mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi setiap 400 penduduk. Nisbah semasa sekitar 1:775 jelas menunjukkan kekurangan tenaga profesional masih menjadi cabaran besar.
Menyedari kekuatan sesebuah negara bergantung kepada modal insan, Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meletakkan pembangunan bakat sebagai antara keutamaan negara menerusi kerangka Ekonomi Madani, pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pembangunan ekonomi digital, AI, pelaburan dalam industri strategik serta penciptaan pekerjaan bernilai tinggi melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pendekatan ini memberi ruang lebih luas kepada Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan wilayah secara lebih seimbang dengan menjadikan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Di Sabah, agenda ini turut diberi perhatian serius oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud. Beliau secara konsisten menegaskan bahawa pembangunan negeri tidak boleh hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur fizikal, sebaliknya perlu bermula dengan membangunkan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Penekanan Mustapha Sakmud terhadap AI, TVET, teknologi, pendidikan, kesihatan dan pembangunan bakat mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dalam membentuk ekosistem modal insan Sabah. Usaha ini selari aspirasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap wilayah menikmati manfaat pembangunan secara lebih adil, inklusif dan mampan tanpa mengira lokasi geografi.
Mengulas isu ini, Pengarah Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr. Faizah Abu Bakar berpandangan bahawa agenda pembangunan modal insan Sabah perlu diperkukuhkan melalui peluasan pendidikan TVET dan akademik yang benar-benar memenuhi keperluan industri semasa serta masa hadapan.
Beliau berpendapat kekurangan peluang pekerjaan berkualiti masih menjadi faktor utama penghijrahan tenaga profesional. Walaupun semakin ramai graduan Sabah menamatkan pengajian di peringkat diploma, ijazah dan pascasiswazah, mereka cenderung berhijrah kerana industri bernilai tinggi di negeri ini masih berkembang secara berperingkat.
Justeru, institusi pendidikan perlu sentiasa menyemak kurikulum supaya selari dengan perkembangan teknologi global dan kehendak industri. Bidang strategik seperti AI, automasi, ekonomi digital, teknologi hijau dan TVET perlu terus diperkasakan agar graduan mempunyai kemahiran yang relevan.
Dalam masa sama, pembangunan modal insan tidak seharusnya bermula hanya di universiti. Akses pendidikan berkualiti perlu diperkukuhkan sejak peringkat sekolah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya lebih ramai anak Sabah mendapat peluang yang sama untuk berjaya.
Selain itu, penambahbaikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW), elaun kos sara hidup yang lebih kompetitif, insentif cukai kepada profesional yang pulang berkhidmat serta kemudahan kepada pasangan bukan warganegara boleh dipertimbangkan sebagai antara langkah menarik bakat kembali ke Sabah.

BUKAN SEMATA-MATA INFRASTUKTUK
Namun, insentif semata-mata tidak mencukupi jika peluang pekerjaan masih terhad. Apa yang lebih penting ialah mempercepat kemasukan pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor teknologi, pembuatan maju, ekonomi digital dan industri strategik. Apabila lebih banyak syarikat memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan, permintaan terhadap tenaga profesional tempatan akan meningkat dan anak-anak Sabah tidak lagi perlu meninggalkan negeri untuk mencari masa hadapan yang lebih baik.
Hakikatnya, membina Sabah bukan sekadar membina jalan raya, bangunan atau kawasan perindustrian. Membina Sabah bermaksud membina manusia, melahirkan bakat serta mewujudkan ekosistem yang membolehkan mereka terus menyumbang di negeri sendiri.
Komitmen Anwar yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai keutamaan nasional melalui Ekonomi Madani dan RMK13, disokong dengan pendekatan Mustapha yang memberi fokus kepada pembangunan bakat, pendidikan, TVET, AI dan peluang pekerjaan berkualiti, merupakan langkah strategik yang mampu mengubah landskap pembangunan Sabah dalam jangka panjang.
Jika momentum ini diteruskan secara konsisten dengan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta, Sabah bukan sahaja mampu mengurangkan penghijrahan modal insan, malah berpotensi menjadi negeri yang berjaya menarik pulang bakat-bakat terbaiknya.
Apabila anak-anak Sabah mempunyai sebab yang kukuh untuk pulang, ketika itulah pembangunan negeri akan benar-benar dipacu oleh kekuatan rakyatnya sendiri. –UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.










