MALAYSIA sebagai sebuah negara berbilang kaum, meskipun berteraskan Melayu-Islam, menyaksikan kebanyakan naratif kenegaraan, malah pelbagai isu di luar kerangka kenegaraan, sering dilihat melalui lensa perkauman.
Keadaan ini menyebabkan setiap isu lazimnya ditafsirkan mengikut perspektif kaum, sama ada Melayu, Cina, India mahupun etnik lain.
Hakikatnya, masyarakat di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai kaum. Pengelasan ini bertujuan untuk mengenal pasti serta membezakan kelompok etnik, di samping memahami persamaan yang wujud dalam konteks kepelbagaian tersebut. Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terkecuali.
Dengan ini, Cina di Malaysia adalah mereka yang etnisiti dan leluhurnya didasarkan ciri utama tertentu. Antaranya tempat asal selaku tanah leluhur. Dengan kata lain, identiti kaum Cina tidak dapat dipisahkan dengan nostalgia negara China dalam sekurang-kurangnya bentuk sentimental yang pasif.
Justeru tiada kesalahan pada ungkapan “Orang Cina ada China” dalam konteks tempat tanah leluhur mereka.
Dalam hal sebegini, ungkapan itu hendaklah difahami dalam pengertian primordial, iaitu peringkat awal etnik Cina di sesebuah tempat lain setelah wujud dan berkembang kemudiannya di sana.
Etnik Cina di Malaysia pada awalnya terdiri daripada rakyat China. Begitu juga dengan diaspora Cina lain, iaitu penyebaran mereka di luar China di segenap pelosok dunia.
Dalam hal diaspora, ia hendaklah difahami dalam kerangka primordial, iaitu asas salasilah pada peringkat awal dari sesuatu tempat tertentu setelah kemudiannya berada di tempat lain.
Selain daripada sudut primordial, persoalan seperti isu kesetiaan tidak seharusnya timbul atau dijadikan polemik. Hal ini kerana ungkapan “Orang Cina ada China” dalam konteks tersebut merujuk hakikat hubungan sejarah dan emosi etnik Cina dengan tanah leluhur mereka, sama ada sebagai warisan masa lampau atau sentimen yang masih kekal.
Malah, hubungan itu sering dijadikan sandaran sebahagian masyarakat Cina di Malaysia dalam mempertahankan identiti mereka, termasuk melalui pendidikan aliran bahasa Cina yang mahu mengekalkan ciri-ciri kecinaannya.
Hal ini dapat dilihat menerusi penolakan terhadap pengenalan tulisan Jawi secara ringkas dan bersifat pilihan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Dalam hal ini dan banyak lagi, unsur Melayu ditolak habisan-habisan atas alasan akan menjejaskan identiti SJKC yang mahu kekal totok Cina pada setiap masa. Mereka akan dipastikan tidak mempunyai unsur Melayu, di negara Melayu yang mereka mahu terus tinggal selepas tamatnya penjajahan British.
Berbalik sentimen primordial, tidak salah ungkapan “Orang Melayu ada hanya Tanah Melayu”. Ini kerana ia fakta yang tepat malah sebagai peringatan kepada orang Melayu agar tidak mengambil mudah tentang kewujudan dan perkembangan mereka di negara sendiri.
Etnik Melayu sebenarnya hanya mempunyai Tanah Melayu ini sebagai satu-satunya tanah milikan mereka di dunia yang luas ini. Etnik Melayu tidak mempunyai banyak diaspora di serata dunia, sebagaimana bangsa Cina.
BERSATU MEMPERKUKUH NEGARA
Peringatan ini penting ketika orang Melayu masih belum benar-benar bersatu. Perpecahan bukan sahaja merugikan mereka, malah menjejaskan kepentingan negara.
Keadaan ini mencetuskan ketidakstabilan politik, melemahkan urus tadbir dan memburukkan perpaduan sosial.
Akibatnya, keseimbangan kuasa boleh berubah, sekali gus mengubah hala tuju negara. Perubahan kepimpinan juga berpotensi berlaku, di samping mendorong kerajaan meluluskan dasar secara tergesa-gesa demi mengekalkan kuasa, manakala penggubalan undang-undang serta dasar baharu pula boleh terbantut.
Lebih dahsyat lagi ialah pertumbuhan ekonomi boleh menjadi perlahan, antaranya kerana tiada pelaburan baharu.
Kesan mudarat lain ialah masyarakat berpecah kepada pelbagai kumpulan. Ini bukan sahaja boleh mengurangkan kepercayaan sesama sendiri, juga boleh menjejaskan perpaduan negara dan integrasi nasional.
Oleh itu, wujud keperluan mendesak pada masa ini untuk Orang Melayu bersatu. Langkah ini sahaja akan memperkasa hubungan sesama Melayu, malah memperkukuh perpaduan, yakni hubungan antara pelbagai etnisiti, selain integrasi, iaitu hubungan antara wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Hal ini kerana dalam pemerintahan Melayu yang tidak dapat dipisahkan daripada Islam, kedudukan rakan kongsi bukan Melayu dan bukan Islam sentiasa diberi perhatian. Inilah asas pemerintahan dan pentadbiran Malaysia sejak pembentukan negara pada 1957 dan 1963.
Dalam konteks ini, masyarakat minoriti seperti kaum Cina diberi ruang yang adil dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Pendekatan tersebut berteraskan prinsip keadilan Islam yang menekankan kesaksamaan hak, dengan mengambil kira kedudukan setiap golongan, sama ada majoriti mahupun minoriti.
Kesaksamaan ini sebenarnya adalah petua etnik yang dipersetuju bersama semua etnisiti pada Perjanjian Etnik 1955 yang secara longgarnya lebih dikenali sebagai Kontrak Sosial. Sehubungan ini, petua etnik ini kemudiannya dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, tidak boleh timbul sama sekali sebarang kebimbangan wujudnya gelombang warna tertentu apabila sesebuah pakatan politik Melayu berjaya membentuk kerajaan. Ini kerana wajib ada pengagihan kuasa seperti yang dipersetuju pada Kontrak Sosial itu.
Itulah rejim kita di Malaysia semenjak sekian lama. Rejim ini, iaitu perkongsian kuasa mengikut petua etnik itu, bukan sahaja didapati pragmatik, yakni dapat dilihat dengan jelas pada setiap kerajaan Melayu-Islam yang memerintah, malah berlaku menerusi perkongsian kuasa yang berkesan sekali mengikut petua etnik itu.
Berbalik ungkapan yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak sensitif terhadap etnik bukan Melayu, perkara itu sebenarnya perlu dilihat secara relatif dalam konteks kepelbagaian demografi negara. Ungkapan tersebut lebih menjurus sentimen primordial yang sering dikaitkan dengan diaspora pelbagai etnik di negara ini. Hal sama turut melibatkan masyarakat India, Kemboja dan Siam, sebagaimana orang Melayu yang mempunyai hubungan sejarah dengan tanah leluhur masing-masing.
Sentimen primordial hanya menjadi isu apabila sesuatu diaspora itu masih mahu terus berpaut kuat kepada warisan tanah leluhurnya, walaupun di tempat baharu. Isu begini menyerlah apabila proses penyatuan diaspora itu dengan penduduk setempat, tidak berjalan dengan baik seperti yang dipersetuju bersama semasa bermulanya kependudukan itu.
Inilah sebab utamanya mengapa diaspora tertentu masih dikenakan label pendatang. Ini kerana mentaliti pendatang itu bukan sahaja masih kuat malah tidak mahu dihakiskan walau sedikit pun di bumi yang didatangi. Dalam hal ini, mereka ini masih berupa orang luar yang tidak boleh pun dikaitkan dengan kehidupan orang setempat.
Sebenarnya, apabila ada pihak yang menganggap ungkapan tentang tanah leluhur itu sebagai persoalan terhadap kesetiaan mereka kepada negara, keadaan tersebut boleh diibaratkan seperti peribahasa, ‘siapa makan cili, dia yang terasa pedas.’
Dalam hal ini, pihak yang melakukan sesuatu perkara yang tidak kena itu akan cepat terasa apabila isu itu terbangkit.
Dalam soal kesetiaan kepada negara sebagai tanah air, ukuran sebenar bukan sekadar pengakuan melalui kata-kata tetapi lebih penting lagi melalui tindakan dan perlakuan. Oleh itu, sikap, perasaan serta niat yang ikhlas perlu dizahirkan secara konsisten sebagai bukti kesetiaan yang sebenar.
Dengan itu, keikhlasan yang diterjemahkan melalui tindakan jauh lebih meyakinkan daripada retorik yang lantang tentang kecintaan terhadap negara. Pengakuan melalui kata-kata perlu dibuktikan dengan perbuatan yang nyata dan dapat dilihat oleh semua pihak secara konsisten. Oleh itu, semangat nasionalisme dan patriotisme hendaklah dizahirkan dengan jelas sehingga tidak mudah dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Antara perkara penting dalam hal ini ialah penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara pada tahap yang tinggi, selain menerima kedudukannya sebagai bahasa utama dalam kehidupan bernegara. Pada masa sama, pengetahuan tentang budaya masyarakat lain, khususnya budaya Melayu, juga perlu dipertingkatkan agar setiap warga dapat berfungsi dengan baik dalam masyarakat berteraskan sejarah dan budaya Melayu-Islam.
Sesungguhnya, perkara tersebut telah dititahkan oleh Ketua Negara sebagai sebahagian daripada usaha membentuk sebuah negara bangsa yang kukuh identiti dan jati diri nasionalnya. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










