MINAT terhadap bidang farmasi semakin meningkat dalam kalangan pelajar lepasan sekolah menengah, khususnya mereka yang ingin menyumbang kepada bidang perkhidmatan kesihatan selain daripada bidang doktor perubatan.
Farmasi menawarkan laluan yang sama mulia, malah lebih pelbagai dalam skop kerjayanya.
Namun, minat semata-mata tidak mencukupi. Setiap tahun, ada sahaja pelajar yang terpaksa akur dengan kenyataan pahit, di mana mereka tidak layak memohon ke program farmasi di universiti kerana subjek yang diambil semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memenuhi syarat kelayakan minimum. Impian itu ada, tetapi laluan ke sana sudah tertutup jauh sebelum mereka sedar.
Keputusan yang dibuat hari ini, bermula dari pemilihan sekolah dan subjek, boleh membuka atau menutup pintu kepada bidang yang penuh potensi ini.
Bagi melayakkan seseorang menjadi seorang pegawai farmasi yang berdaftar, Ijazah Sarjana Muda Farmasi adalah kelayakan asas yang perlu ada.

Ijazah Sarjana Muda Farmasi
Program Ijazah Sarjana Muda Farmasi adalah pengajian profesional peringkat ijazah selama empat tahun yang merangkumi ilmu sains asas fisiologi, anatomi, biokimia, farmakologi, farmaseutikal, serta penjagaan pesakit.
Bidang farmasi sering disalah faham. Ramai yang menyangka ahli farmasi hanyalah “orang yang jual ubat di kaunter.”
Hakikatnya, profesion ini jauh lebih luas, merangkumi ahli farmasi yang menyediakan ubat-ubat sitotoksik steril dalam bilik bersih, ahli farmasi yang meneliti ubat pesakit di wad hospital, ahli farmasi dalam cawangan penguatkuasaan dan regulatori.
Graduan yang tamat pengajian ini biasanya akan menerima Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan layak untuk mendaftar sebagai Ahli Farmasi Berdaftar dengan Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), iaitu badan profesional yang mengawal selia profesion farmasi di negara kita. LFM telah menetapkan keperluan untuk lulus Peperiksaan Kelayakan Untuk Mengamal Farmasi (PKUMF) sebagai salah satu syarat untuk pendaftaran sebagai ahli farmasi.
Mulanya Bukan di Universiti
Untuk melayakkan diri memasuki program farmasi di peringkat universiti, pelajar wajib menduduki dan lulus dengan cemerlang dalam subjek-subjek sains teras SPM, terutamanya Fizik, Kimia, Biologi, dan Matematik Tambahan. Ketiadaan mana-mana subjek ini dalam sijil SPM boleh menghalang permohonan ke program farmasi, walau setinggi mana pun pencapaian pelajar tersebut.
Oleh itu, pemilihan sekolah menengah yang menawarkan aliran sains yang kukuh adalah langkah pertama yang sangat penting.
Pastikan sekolah pilihan menyediakan kemudahan makmal sains yang baik, guru-guru sains yang berpengalaman, serta persekitaran yang menggalakkan pencapaian akademik dalam bidang sains.
Begitu juga bagi anak-anak yang bakal memilih aliran untuk tingkatan empat. Jika ada minat atau kebolehan dalam sains, aliran Sains Tulen (Pakej STEM A) adalah pilihan yang perlu dipertimbangkan dengan serius.
Pemilihan aliran di tingkatan empat secara langsung menentukan subjek SPM yang akan diduduki dan seterusnya kelayakan untuk memasuki program farmasi di universiti.
Selepas SPM
Selepas SPM, pelajar perlu melalui peringkat pra-universiti terlebih dahulu sebelum layak meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Farmasi.
Terdapat beberapa pilihan pra-universiti yang boleh dipilih sama ada melalui institusi awam mahupun swasta, dengan tempoh pengajian yang berbeza-beza.
Selepas berjaya menamatkan pra-universiti dengan keputusan yang memenuhi syarat, barulah permohonan ke program ijazah farmasi boleh dibuat melalui sistem Unit Pemilihan Universiti (UPU) atau terus ke universiti berkenaan.
Selepas tamat ijazah pula, graduan perlu menjalani latihan selama satu tahun di bawah program Provisionally Registered Pharmacist (PRP).
Latihan ini boleh dijalankan di hospital kerajaan, hospital swasta, atau farmasi komuniti yang diluluskan, bertujuan memberi pendedahan praktikal dan menilai kemahiran sebelum layak didaftarkan sepenuhnya.
Di Mana Boleh Belajar?
Terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang diiktiraf oleh LFM untuk program farmasi.
Sebahagian daripadanya merupakan universiti awam yang menawarkan kursus bersama-sama temu duga kepada para pelajar lepasan matrikulasi dan asasi sains, manakala sebahagian yang lain merupakan institusi pengajian tinggi swasta.
Antara universiti awam yang menawarkan program ini ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, Pahang.
Yuran pengajian farmasi di universiti awam adalah lebih rendah berbanding institusi swasta, dan pelajar cemerlang berpeluang mendapatkan biasiswa daripada beberapa institusi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan agensi kerajaan lain untuk menampung kos pengajian.
Semak Sebelum Daftar
Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan oleh satu kes. Isu pengiktirafan program pengajian luar negara yang pada awalnya ditawarkan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini menjerat sekurang-kurangnya empat pelajar Malaysia di Universiti Alexandria, Mesir, apabila mereka berdepan kebuntuan untuk menjalani peperiksaan wajib, latihan praktikal, serta meneruskan kerjaya sebagai ahli farmasi di negara ini. Perkara ini timbul selepas universiti berkenaan menukar penamaan programnya dan program baharu itu masih belum diiktiraf oleh kerajaan Malaysia umumnya dan LFM khususnya.
Kes ini mendedahkan satu hakikat: Terdapat dua lapisan pengiktirafan berbeza dalam profesion farmasi. Pertama, pengiktirafan akademik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang membolehkan ijazah diiktiraf sebagai kelayakan akademik di Malaysia.
Kedua, pengiktirafan profesional oleh LFM yang menentukan sama ada seseorang boleh mendaftar dan mengamalkan profesion farmasi di sini. Kedua-duanya mesti ada.
Sebelum mendaftar ke mana-mana universiti, sama ada dalam atau luar negara, sentiasa semak status pengiktirafan LFM di pharmacy.moh.gov.my. Jika nama universiti atau program tersebut tidak tersenarai, dapatkan kepastian bertulis daripada pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Adakah Farmasi Sesuai?
Tanya diri anda, dan tanya anak anda: Adakah dia berminat dalam sains, khususnya Kimia dan Biologi? Adakah dia suka berinteraksi dengan manusia dan membantu orang yang sakit? Adakah dia seorang yang teliti, sabar, dan bertanggungjawab?
Jika jawapannya “ya”, farmasi mungkin adalah laluan yang tepat. Bidang ini bukan sekadar kerjaya. Ia adalah amanah.
Setiap kali seorang pesakit menelan ubat dengan selamat, ada seorang ahli farmasi di sebaliknya yang memastikan perkara itu berlaku dengan betul. Mulailah langkah pertama itu hari ini, dengan pemilihan sekolah yang tepat, aliran yang sesuai, dan maklumat yang lengkap. – UTUSAN
PENULIS ialah Dr. Syahrir Zaini ialah pensyarah Amalan Farmasi, Kulliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, Pahang.










