KEMATIAN pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran menjadi antara peristiwa paling signifikan dalam sejarah politik moden.
Pemergian tokoh yang memimpin Republik Islam Iran selama hampir empat dekat itu bukan sahaja membawa perubahan besar kepada geopolitik dunia tetapi turut mencetuskan perdebatan global tentang kuasa, kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan persoalan kemanusiaan.
Dalam perjalanan panjang sejarah manusia, ada peristiwa yang melangkaui batas politik, sempadan negara dan perbezaan ideologi. Ia menjadi cermin kepada nilai yang lebih besar dalam peradaban manusia iaitu tentang bagaimana manusia menghormati kehidupan, mengenang jasa dan membina hubungan berasaskan kemanusiaan.
Upacara pemakaman Khamenei boleh dilihat dalam kerangka ini iaitu sebagai sebuah peristiwa yang membawa mesej lebih luas tentang solidariti masyarakat dunia terhadap kemanusiaan sejagat.
Kita perlu memahami kehadiran wakil dari pelbagai negara dalam sebuah upacara pemakaman pemimpin dunia bukan sekadar protokol diplomatik. Ia menggambarkan satu pengiktirafan bahawa sejarah manusia dibentuk oleh tokoh, masyarakat dan bangsa yang saling berhubungan antara satu sama lain.
Walaupun sesebuah negara itu mempunyai pandangan politik serta kepentingan strategik berbeza, namun terdapat ruang bersama yang mempertemukan manusia melalui nilai penghormatan, empati dan rasa kemanusiaan.

KEMANUSIAAN MENGATASI PERBEZAAN POLITIK
Dalam dunia yang sedang berhadapan konflik, peperangan dan perpecahan, peristiwa seperti ini mempunyai makna yang mendalam. Ia mengingatkan kita kemajuan peradaban manusia bukan hanya diukur melalui kekuatan ekonomi, kemajuan sains dan teknologi atau ketenteraan tetapi juga melalui kemampuan masyarakatnya mengangkat nilai-nilai kemanusiaan serta menghormati maruah sesama insan.
Peradaban yang sebenar bukan dibina atas dominasi satu pihak terhadap pihak lain. Sebaliknya, ia berkembang melalui prinsip saling menghormati, keadilan dan kesediaan memahami latar belakang manusia yang berbeza.
Sejarah menunjukkan tamadun yang hebat lahir apabila masyarakatnya mempunyai kemampuan untuk berdialog, bertukar ilmu dan membina jambatan antara budaya, agama serta masyarakat.
Dalam konteks ini, kehadiran masyarakat antarabangsa dalam upacara pemakaman tersebut membawa mesej yang hubungan kemanusiaan tidak boleh terhenti walaupun dalam situasi konflik. Dunia memerlukan ruang untuk membina semula kepercayaan, memperkukuhkan dialog dan mencari titik persamaan demi masa depan bersama.
Dokongan terhadap aspek kemanusiaan terlihat dengan jelas sewaktu pemakaman, namun hal ini tidak boleh berhenti pada simbol dan upacara semata-mata. Nilai kemanusiaan perlu diterjemahkan dalam tindakan nyata iaitu dengan mempertahankan keamanan, melindungi orang awam dalam konflik, menolak penindasan serta memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan politik.
Cabaran terbesar kepada peradaban hari ini ialah kecenderungan manusia melihat dunia melalui lensa ‘kita’ dan ‘mereka’.
Sikap sedemikian menyebabkan penderitaan manusia kadangkala dinilai berdasarkan identiti politik atau kepentingan tertentu. Sedangkan prinsip kemanusiaan sejagat menuntut agar setiap nyawa dihargai dan setiap bentuk penderitaan perlu diberi perhatian yang sama.
Upacara pemakaman pemimpin seperti ini seharusnya menjadi ruang refleksi kepada masyarakat dunia. Apakah kita sedang membina sebuah peradaban yang berasaskan air mata dan darah orang lain atau sebuah peradaban yang menjunjung nilai kemanusiaan?
Jawapan kepada persoalan ini akan menjadi titik tolak kepada ciri peradaban masa depan yang bakal dibina. Sekiranya nilai kemanusiaan yang menjadi pilihan, maka kita akan melihat sebuah peradaban sejagat yang makmur.
Abad ke-21 memerlukan pendekatan baharu dalam membina tamadun manusia. Kemajuan tidak boleh hanya dilihat daripada pencapaian material tetapi mesti disertai dengan kebijaksanaan moral, tanggungjawab sosial dan rasa belas ihsan terhadap manusia lain.
Dengan demikian, barulah peradaban yang di bina memiliki keseimbangan antara kemajuan fizikal dan kemanusiaan.
Hanya peradaban yang seimbang dapat membahagiakan manusia yang tinggal di dalamnya, manakala peradaban tanpa kemanusia akan membawa derita yang berpanjangan.
Akhirnya, mesej paling penting daripada pemakaman ini ialah manusia berkongsi bumi dan menghadapi cabaran yang sama.
Perbezaan politik, budaya dan agama tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan nilai kemanusiaan.
Kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengangkat kemanusiaan sebagai asas kepada pembinaan peradaban sejagat yang lebih adil dan sejahtera untuk semua.
Hal ini kerana ukuran sebenar sesebuah peradaban bukan hanya pada bangunan yang dibina atau kuasa yang dimiliki tetapi sejauh mana manusianya memiliki ciri-ciri manusiawi. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Abd. Hakim Mohad ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Penyelidik Tamu di University of Bonn, Jerman.










