Hab pusat data tanpa menggadai kelestarian

Hab pusat data tanpa menggadai kelestarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali memanfaatkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan urusan harian, kita perlu sedar bahawa proses pengkomputeran dan penyimpanan awan (cloud) yang menyokong teknologi tersebut tidak berlaku di alam maya semata-mata. Sebaliknya, semua maklumat digital disimpan dan diproses di kemudahan fizikal berskala besar yang dikenali sebagai pusat data. 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), hasil ledakan teknologi AI pada masa kini menjadikan Malaysia lokasi utama pilihan pelabur antarabangsa bagi pembinaan pusat data lantaran daripada permintaan tinggi digital serantau, kos tanah dan tenaga yang kompetitif serta pendekatan mesra kerajaan terhadap pelaburan teknologi. 

Bagi negeri-negeri di selatan tanah air, ini merupakan limpahan peluang ekonomi yang menarik hasil daripada kekangan ruang dan tenaga yang terhad di Singapura. 

Di era AI dan ekonomi digital ini, data menjadi seumpama ‘minyak baharu’ dan pusat data boleh dianggap sebagai kilang pemprosesan utamanya.

Dampak ekonomi daripada pelaburan untuk pembinaan pusat data ini juga besar. Pelaburan besar dijangka merancakkan pembinaan infrastruktur, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh rantaian nilai digital negara. Ini membolehkan negara berpotensi besar menjadi hab serantau untuk pengkomputeran awan, AI dan infrastruktur digital hijau. 

Data MIDA turut melaporkan pelaburan hanya sebuah syarikat digital gergasi di Malaysia baru-baru ini dianggarkan mampu menjana sekitar RM15 bilion impak ekonomi positif dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030. Suka dinyatakan bahawa jumlah yang memberansangkan ini belum lagi mengambilkira pelaburan mega daripada syarikat-syarikat yang lain.

Walau bagaimanapun, kewujudan pusat data di seluruh negara yang begitu pantas bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ boleh bertukar menjadi kelemahan jika tiada kawalan.

Dengan lebih banyak pusat data yang terbina, maka lebih banyaklah penggunaan tenaga dan air.

 Di negara beriklim tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun seperti Malaysia, ‘harga’ yang perlu dibayar oleh alam sekitar untuk penyejukan adalah jauh lebih ‘mahal’.

Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi beban kepada sistem utiliti dan komitmen iklim negara dalam dekad mendatang.

Di Singapura sendiri, kelulusan pembangunan pusat data amat ketat dengan tumpuan khusus kepada kecekapan tenaga serta pusat data hijau bersijil platinum sahaja. 

Di Ireland pula, bantahan tentang keselamatan grid dan keutamaan pembangunan telah bermula di kalangan rakyat apabila pusat data mula memakan pecahan bekalan elektrik nasional yang terlalu besar.

Sungguhpun kerajaan menegaskan bahawa kelulusan pusat data baharu yang tidak berkaitan dengan AI telah dihadkan, adalah disarankankan agar Malaysia mula mewajibkan mandat kecekapan tenaga tinggi melalui ukuran Keberkesanan Penggunaan Kuasa  (PUE) yang lebih progresif untuk pembinaan pusat data baharu, bukan sekadar memenuhi nilai ambang piawai minimum. 

Seterusnya integrasi tenaga boleh baharu dan operasi rendah karbon seharusnya menjadi syarat utama. 

Pusat data juga perlu menggunakan tenaga hijau seperti solar atau hidro sama ada secara langsung atau melalui perjanjian pembelian tenaga boleh baharu, dilengkapi sistem setoran bateri dan grid pintar. 

Untuk keselamatan air pula, pusat data tidak boleh sewenangnya dibina di kawasan yang berkepadatan penduduk tinggi dan sudah mula mengalami tekanan bekalan air. 

Pelaporan PUE perlu menepati nilai yang munasabah dan mengambil kira kelengkapan penggunaan air terawat semula, sistem tertutup dan tadahan hujan. Tambahan pula, pembinaan pusat data yang tidak dikawal boleh membawa kepada risiko pencemaran air, udara, bunyi, haba, tanih dan sisa elektronik.

Bukan sahaja penggunaan elektriknya tinggi, malah risiko pelepasan enjin penjana diesel, air buangan sistem penyejukan, tumpahan bahan api dan tekanan terhadap bekalan air tempatan juga boleh berlaku.

Malaysia sudah pastinya berpotensi tinggi menjadi hab pusat data hijau serantau. Tetapi strategi ekonomi seharusnya tidak hanya fokus kepada daya saing harga tanah, tenaga dan air yang kompetitif semata-mata. 

Manfaat limpahan ekonominya wajib dirasai rakyat. Setiap projek mega ini perlu didatangkan secara pakej dengan latihan untuk modal insan tempatan, kerjasama dengan universiti dan pusat TVET dalam pemindahan teknologi AI dan peluang perniagaan untuk vendor tempatan. 

Pusat data juga tidak boleh menjadi pulau teknologi yang menjejaskan ekosistem tenaga dan sumber bekalan air masyarakat sekitar.

Jika minyak adalah komoditi strategik abad ini sementara data pula komoditi strategik abad akan datang. Kedua-duanya memerlukan strategi tadbir urus yang bijaksana.

Dengan dasar yang tepat dan jitu, adalah dijangkakan pusat data boleh menjadi pemangkin ekonomi hijau Malaysia. 

Demi masa hadapan, negara tidak memerlukan beban tambahan kepada kedaulatan tenaga, air dan tindakan iklim negara dalam dunia yang semakin penuh dengan ketidaktentuan, perubahan pantas, kerumitan dan kekaburan ini. – UTUSAN

 

PROFESOR Madya  Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes ialah Felo Utama dan Pengarah

Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN