SIRI 1: Memoir Seorang Puteri
SEMPENA memperingati 100 Tahun Polo Diraja Pahang (1926–2026), kisah ini mengimbau kembali bagaimana sebuah permainan yang bermula atas dasar cinta telah menjadi sebahagian daripada sejarah, warisan dan identiti Keluarga Diraja Pahang selama satu abad lamanya.
Tatkala Pahang menyambut ulang tahun ke-100 sukan polo, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk menceritakan sebuah kisah yang telah tersimpan dalam keluarga kami selama beberapa generasi.
Kebanyakan orang mengenali polo sebagai ‘Permainan Raja-Raja’ (Game of Kings). Mereka tahu tentang trofi-trofi kejuaraan, kejohanan yang gilang-gemilang, kuda-kuda yang hebat, serta generasi pemain yang menyarung jersi warna Diraja Pahang dengan penuh bangga.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa sejarah polo di Pahang juga merupakan sebuah kisah cinta.

Kisah tentang keluarga. Kisah tentang datuk dan cucu. Kisah tentang perkahwinan diraja. Dan mungkin yang paling mengejutkan sekali, ia adalah sebuah kisah yang bermula semata-mata kerana seorang putera mahu mengahwini seorang puteri.
Malah, boleh dikatakan bahawa polo bertapak di Pahang adalah kerana cinta. Kisah ini bermula tepat 100 tahun yang lalu.
Pada 1926, Tengku Abu Bakar yang ketika itu selaku Tengku Mahkota, yang kemudiannya menjadi Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah berhasrat untuk mengahwini sepupu baginda, Raja Fatimah dari Perak.
Raja Fatimah merupakan puteri kepada Sultan Iskandar Shah dari Perak dan Tengku Nong, puteri kepada Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah dari Pahang.
Melalui bondanya, baginda mengalirkan darah Pahang. Melalui ayahandanya, baginda adalah daripada kerabat Diraja Perak.
Cerita lisan keluarga kami mengatakan bahawa Sultan Iskandar Shah telah meletakkan satu syarat kepada putera tersebut.
“If you wish to marry my daughter, you must first play polo.”
Dan begitulah yang dilakukan oleh baginda. Hari ini, ia kedengaran hampir seperti sebuah cerita dongeng.
Bayangkan apa maknanya perkara itu pada tahun 1920-an. Dan dengan kata-kata tersebut, bermulalah satu abad sukan polo di Pahang.
Pada zaman itu, belum ada lebuh raya. Tiada pesawat peribadi. Tiada konvoi kenderaan yang selesa.
Perjalanan antara ibu kota diraja melibatkan kereta api, bot sungai, kuda dan kadangkala menggunakan gajah.
Untuk memenangi hati seorang puteri dari istana diraja yang lain memerlukan keazaman, kesabaran dan keberanian yang bukan sedikit.
Namun bagi Tengku Abu Bakar, ganjaran tersebut amat berbaloi. Sebuah padang polo dibina. Kuda-kuda diperoleh. Seorang putera mempelajari sukan yang baharu.
Dan apa yang bermula sebagai syarat perkahwinan akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti Keluarga Diraja Pahang untuk abad yang seterusnya.
Perkahwinan pun berlangsung. Puteri tersebut bersemayam di Pahang. Tradisi polo terus kekal.
Sesiapa pun tidak menyangka bahawa 60 tahun kemudian, seorang lagi putera Pahang akan menemui puterinya sendiri di padang polo.
Tiada siapa yang dapat membayangkan ketika itu bahawa 100 tahun kemudian, generasi putera-putera Pahang masih lagi menunggang kuda di padang yang sama.
Bagaimanapun, sejarah mempunyai cara yang tersendiri untuk mengulangi dirinya.
60 tahun kemudian, satu lagi perkahwinan diraja menyatukan Pahang dengan sebuah lagi istana diraja yang hebat.
Pada Mac 1986, Tengku Abdullah yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota Pahang telah mengahwini Tunku Azizah, puteri kepada Sultan Johor yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ketika itu.
Seperti datuk baginda sebelumnya, kisah itu juga bermula di padang polo.
Saya mula-mula mengenali Tengku Abdullah dalam satu kejohanan polo di Johor pada November 1972.
Kami berdua masih sangat muda ketika itu.
Selama berdekad-dekad, kejohanan polo telah menyatukan keluarga diraja Pahang dan Johor.
Setiap tahun, pasukan-pasukan akan mengembara di antara kedua-dua negeri, disertai oleh pemain-pemain dari Singapura, Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia.
Selama tiga hari, polo menjadi lebih daripada sekadar sukan.
Ia menjadi medan pertemuan keluarga. Sesi jejak kasih sahabat lama. Sebuah perayaan tradisi.
Sebagai seorang puteri Johor yang masih muda, saya sentiasa menanti-nantikan kejohanan tersebut setiap tahun.
Pada masa itu, saya fikir saya hanyalah menonton kuda dan pemain.
Saya tidak pernah membayangkan bahawa di sebalik sorakan, trofi dan kegembiraan itu, takdir sedang menanti saya dengan senyap di tepi padang.
Saya langsung tidak menduga bahawa salah satu daripada kejohanan tersebut akan menemukan saya dengan lelaki yang akhirnya menjadi suami saya.
Cara kami berkenalan hampir mustahil untuk dibayangkan.
Ayahanda saya seorang yang sangat tegas. Tiada istilah keluar janji temu (dating). Tiada pertemuan peribadi. Tiada peluang untuk meluangkan masa berdua.
Kami bertemu secara rasmi dan tertib, sentiasa mengikut batas pergaulan dan protokol keluarga.
Kami hanya saling mencuri pandang apabila dirasakan tiada sesiapa yang melihat.
Kami bertukar-tukar surat. Kami berbual melalui telefon.
Selama 13 tahun, begitulah sebahagian besarnya hubungan kami bertahan.
Sudah tentu, kami silap memikirkan bahawa tiada sesiapa yang perasan.
Ada seorang insan yang menyedari segalanya.
Datuk saya, Sultan Ismail Johor.
Mengimbau kembali saat itu, saya yakin baginda memahami perasaan kami lama sebelum kami berdua mempunyai keberanian untuk mengakuinya secara terbuka.
Dalam banyak perkara, bagindalah yang menjadi pelindung senyap kepada kisah cinta kami.
Setiap kali Tengku Abdullah datang ke Johor untuk bermain polo, datuk saya akan menyambut baginda dengan penuh kemesraan.
Secara rasminya, baginda hanyalah menjemput Tunku Mahkota Pahang untuk bermain polo.
Namun hakikatnya, jemputan-jemputan itulah yang memberi kami peluang untuk bertemu, yang mana jika tidak kerana itu, ia mungkin tidak akan pernah wujud.
Datuk saya juga yang mengurniakan kuda polo yang pertama buat Tengku Abdullah.
Pada masa itu, ia kelihatan seperti satu pemberian daripada seorang datuk yang meminati polo kepada seorang putera muda.
Mengimbau kembali hari ini, kadangkala saya tersenyum memikirkan bahawa datuk saya, tanpa disedari, telah memberikan bakal suami saya lebih daripada sekadar seekor kuda polo.
Baginda telah memberikan Tengku Abdullah satu tempat dalam kisah keluarga kami.
Kuda itu membawa ke padang polo. Padang polo membawa kepada persahabatan. Persahabatan membawa kepada hubungan cinta. Dan hubungan cinta itu akhirnya membawa kepada perkahwinan. – UTUSAN
Bersambung siri 2










