SEBAGAI rakyat Malaysia, kita wajar menghargai keistimewaan sistem pemerintahan negara yang menggabungkan Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan. Melalui kerangka ini, institusi Yang di-Pertuan Agong menjadi simbol kedaulatan negara, pemelihara perpaduan rakyat serta tonggak kestabilan yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan Malaysia.
Fakta penting yang perlu difahami setiap warganegara ialah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.
Kedudukan ini mencerminkan pengiktirafan tertinggi Perlembagaan terhadap institusi yang menjadi tonggak utama dalam sistem kenegaraan Malaysia.
Bersama Majlis Raja-Raja dan institusi kesultanan di peringkat negeri, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelangsungan sistem pemerintahan negara berteraskan Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ironinya, institusi beraja bukanlah suatu warisan yang wujud tanpa tujuan. Sebaliknya, melalui perjalanan sejarah yang panjang dan menjadi sebahagian daripada asas pembentukan negara bangsa Malaysia.
Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, institusi raja-raja Melayu dikekalkan sebagai antara elemen utama dalam Perlembagaan kerana peranannya yang signifikan sebagai pelindung kepada kestabilan politik, keharmonian masyarakat serta kesinambungan tradisi dan identiti negara.
Sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong memainkan pelbagai fungsi penting sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan. Baginda merupakan lambang perpaduan negara, Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, ketua kepada pelbagai institusi penting negara serta mempunyai peranan signifikan dalam pelantikan jawatan-jawatan utama negara.
Dalam menjalankan tanggungjawab tersebut, Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut lunas Perlembagaan dan semangat demokrasi yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara.
Kerajaan dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya, manakala institusi beraja pula berfungsi sebagai lambang kesinambungan negara yang berada di atas kepentingan politik kepartian. Kedudukan ini menjadikan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai pengimbang yang penting dalam memastikan perjalanan negara sentiasa berpaksikan Perlembagaan dan kepentingan rakyat keseluruhannya.
Peranan tersebut dapat dilihat dengan jelas ketika negara berhadapan dengan ketidaktentuan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022. Ketika tiada gabungan politik memperoleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, tumpuan rakyat terarah kepada Istana Negara.
Dalam situasi yang mencabar itu, Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan serta kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan untuk mengadakan sesi menghadap pemimpin-pemimpin politik, mendapatkan pandangan Majlis Raja-Raja dan meneliti sokongan ahli Parlimen sebelum membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri.
Pendekatan yang penuh hikmah dan berlandaskan Perlembagaan itu berjaya meredakan ketegangan politik serta memastikan proses pembentukan kerajaan berlangsung secara aman dan teratur.
Episod tersebut menjadi bukti institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol negara, malah merupakan benteng kestabilan yang boleh diharapkan ketika negara berdepan situasi luar biasa. Ketika politik berada dalam keadaan tidak menentu, rakyat masih mempunyai keyakinan terhadap institusi yang berfungsi sebagai payung kedaulatan negara.
Tuntasnya, kerajaan boleh bertukar, parti politik boleh berubah dan pemimpin boleh silih berganti. Namun, negara memerlukan institusi seperti Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang kekal berdiri teguh sebagai lambang kesinambungan, kestabilan dan kedaulatan.
Selain menjadi teras kestabilan politik, Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu juga memainkan peranan sebagai lambang perpaduan rakyat.
Dalam sebuah negara majmuk yang dihuni rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya, kewujudan institusi beraja menjadi titik pertemuan yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Raja memerintah untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang, fahaman politik atau kedudukan sosial. Justeru, institusi ini menjadi simbol kebersamaan yang merentasi segala perbezaan.
Peranan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai payung kedaulatan negara terus terserlah di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim. Dalam pelbagai titah dan pertemuan rasmi, baginda secara konsisten menekankan keperluan untuk mengekalkan kestabilan politik, memperkukuh perpaduan rakyat serta memastikan pentadbiran negara sentiasa berpaksikan amalan integriti yang tinggi.
Peringatan yang disampaikan oleh baginda bukan sekadar mencerminkan keprihatinan seorang Ketua Utama Negara, malah menggambarkan peranan institusi beraja sebagai pengimbang moral yang sentiasa mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab mereka terhadap negara dan rakyat.
Atas sebab itu, institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu perlu sentiasa dihormati serta dipelihara martabatnya.
Dalam era digital yang menyaksikan maklumat bergerak pantas tanpa sempadan, rakyat perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, berkongsi maklumat atau memberikan ulasan yang menyentuh institusi beraja.
Kebebasan bersuara yang dijamin undang-undang tidak seharusnya disalahgunakan sehingga mencetuskan penghinaan, fitnah atau persepsi yang boleh menghakis penghormatan terhadap institusi yang menjadi tunjang negara.
Menghormati institusi beraja bukan bermaksud menolak amalan demokrasi atau menutup ruang perbincangan awam. Sebaliknya, merupakan manifestasi kematangan rakyat yang memahami kedudukan Perlembagaan serta menghargai sumbangan institusi berkenaan kepada negara.
Sebagaimana kita menghormati Perlembagaan dan undang-undang, demikian juga penghormatan perlu diberikan kepada institusi yang menjadi sebahagian daripada asas pembentukan negara.
Generasi muda khususnya perlu diberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai sejarah, fungsi dan peranan institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.
Mereka perlu memahami keamanan, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang hadir secara kebetulan. Sebaliknya, lahir daripada kekuatan institusi negara yang sekian lama berperanan sebagai pelindung kepada kepentingan rakyat dan negara.
Hakikatnya, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonomi, pembangunan fizikal atau kecanggihan teknologi semata-mata tetapi memerlukan institusi pemerintahan yang kukuh, dihormati dan diyakini rakyat.
Dalam konteks Malaysia, institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu merupakan antara aset paling bernilai yang menjadi benteng kepada kestabilan nasional dan kelangsungan negara.
Justeru, seluruh rakyat Malaysia perlu terus menjunjung tinggi institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara.
Ketika dunia berhadapan pelbagai cabaran geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan polarisasi sosial yang semakin meningkat, Malaysia masih mempunyai sebuah institusi yang mampu menjadi sumber kestabilan, perpaduan dan keyakinan rakyat.
Sedarlah, menghormati institusi beraja bererti kita mempertahankan Perlembagaan, memelihara kedaulatan negara dan memastikan warisan yang menjadi kebanggaan Malaysia ini terus kekal utuh untuk generasi akan datang. –UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).










