Komunikasi strategik kunci tangani isu Rohingya

Komunikasi strategik kunci tangani isu Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN isu pengurusan pelarian Rohingya bukanlah perkara baharu, namun kebelakangan ini semakin banyak pihak menggesa kerajaan menilai semula kerjasama sedia ada dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia dalam menangani krisis kemanusiaan tersebut.

Isu ini terus menjadi cabaran sosial yang berpanjangan, manakala penyelesaiannya masih belum menunjukkan arah yang jelas dalam masa terdekat.

Peguambela dan Peguamcara, Datuk Yaacob Md. Sam dalam Utusan Malaysia bertarikh 19 Jun lalu bertajuk Malaysia, UNHCR perlu runding semula isu Rohingya berpandangan isu ini bukan sekadar melibatkan aspek pentadbiran. Sebaliknya, kerajaan perlu mengadakan rundingan yang lebih serius dengan UNHCR Malaysia bagi memperkemas pengurusan serta proses penentuan status pelarian Rohingya di negara ini.

Langkah tersebut penting untuk memastikan jumlah pemegang kad UNHCR dapat dikenal pasti secara tepat, selain membolehkan pemantauan yang lebih sistematik terhadap komuniti berkenaan.

Dalam menangani isu Rohingya, pelbagai pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung, termasuk kerajaan, UNHCR, agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum. Keadaan ini menjadikan isu berkenaan lebih kompleks dan memerlukan pendekatan yang menyeluruh.

Dalam situasi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, komunikasi strategik memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat, malah untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan tindakan secara berkesan. Pendekatan ini mampu membina kefahaman yang jelas, mengurangkan salah faham serta memperkukuh kepercayaan antara semua pihak yang terlibat.

Namun, realiti menunjukkan isu Rohingya masih diselubungi pelbagai maklumat yang bercanggah dan mengelirukan. Antaranya melibatkan jumlah sebenar pelarian, status perundangan mereka serta pihak yang bertanggungjawab mengurus kebajikan dan penempatan komuniti tersebut.

Kekaburan maklumat ini membuka ruang kepada spekulasi dan penyebaran berita yang tidak tepat, khususnya di media sosial. Akibatnya, kebimbangan masyarakat semakin meningkat dan stereotaip terhadap komuniti Rohingya terus berkembang.

Justeru, kerajaan dan UNHCR perlu memperkukuh komunikasi dua hala yang lebih terbuka, konsisten dan berterusan. Kerjasama yang lebih tersusun akan memudahkan perkongsian maklumat berkaitan jumlah pemegang kad UNHCR, status pendaftaran pelarian serta pengesahan identiti mereka. 

Dengan maklumat yang lebih tepat, kerajaan dapat merangka dan melaksanakan dasar yang lebih berkesan.

Pada masa sama, koordinasi antara kementerian dan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan juga perlu diperkukuh. Penyelarasan yang baik membolehkan maklumat disampaikan secara seragam dan mengurangkan percanggahan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Tidak dapat dinafikan isu pelarian Rohingya memberi kesan besar kepada masyarakat umum. Setiap hari, rakyat mengikuti perkembangan isu ini melalui laporan media, perbincangan dalam talian dan perkongsian di media sosial. Daripada proses inilah persepsi dan pandangan awam mula terbentuk.

Oleh itu, rakyat merasakan mereka berhak mengetahui dasar serta tindakan yang diambil kerajaan dalam menguruskan isu berkenaan. Apabila masyarakat memahami rasional di sebalik sesuatu keputusan, mereka lebih mudah menerima dan menyokong langkah yang dilaksanakan. Sebaliknya, kekurangan maklumat yang jelas boleh mendorong orang ramai membentuk naratif sendiri berdasarkan andaian dan maklumat yang tidak lengkap.

Kerajaan sewajarnya mengambil peluang untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara proaktif melalui pelbagai platform komunikasi, khususnya media digital. Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman masyarakat, malah membantu mengukuhkan keyakinan terhadap institusi yang bertanggungjawab menguruskan isu tersebut.

Selain itu, dialog dan sesi libat urus bersama rakyat juga boleh menjadi saluran penting bagi menjelaskan dasar, mendengar kebimbangan masyarakat serta membina hubungan yang lebih baik antara pihak berautoriti dan orang ramai.

Dalam bidang komunikasi, sarjana terkenal, W. Timothy Coombs memperkenalkan Teori Komunikasi Krisis Mengikut Situasi yang menekankan kepentingan penyampaian maklumat secara tepat, konsisten dan pantas ketika berdepan krisis. 

Menurut teori ini, organisasi atau pihak berautoriti perlu mengurus komunikasi dengan baik bagi membentuk persepsi serta mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan.

Jika diaplikasikan dalam konteks isu Rohingya, teori ini menunjukkan komunikasi strategik antara kerajaan dan UNHCR penting untuk memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih dan boleh dipercayai. Keperluan ini menjadi lebih mendesak apabila rakyat mula mempersoalkan keberkesanan dasar serta tindakan yang diambil dalam menguruskan komuniti tersebut.

 

CABARAN DASAR 

Apa yang membimbangkan masyarakat hari ini bukan sekadar peningkatan kehadiran warga Rohingya di pelbagai lokasi tetapi juga persoalan mengenai keupayaan dasar negara dalam mengurus isu yang semakin kompleks. Keberkesanan sesuatu dasar bukan hanya bergantung kepada kandungannya tetapi turut ditentukan sejauh mana pihak berautoriti mampu menjelaskan pelaksanaannya kepada rakyat.

Apabila masyarakat menyuarakan kebimbangan mengenai isu ini, ia tidak semestinya bermaksud mereka bersikap xenofobia atau memusuhi orang asing. Hakikatnya, ramai rakyat Malaysia pernah menunjukkan empati dan menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya melalui sumbangan kewangan, makanan dan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan yang lain.

Namun, kebimbangan yang timbul banyak berkait dengan isu keselamatan awam, pengurusan status pelarian, kesejahteraan komuniti setempat serta masa hadapan negara jika perkara ini tidak ditangani secara lebih tersusun.

Ironinya, rakyat Malaysia pernah menjadi antara kelompok paling lantang menyuarakan solidariti terhadap nasib etnik Rohingya yang berdepan penindasan di Myanmar. Ketika itu, simpati dan sokongan diberikan tanpa berbelah bahagi. Namun apabila sebahagian daripada mereka menetap di negara ini, fokus masyarakat mula beralih kepada persoalan berkaitan pengurusan, keselamatan dan kesan sosial yang dirasai di peringkat tempatan.

Perubahan persepsi ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan komunikasi yang berkesan. Tanpa penerangan yang jelas, konsisten dan meyakinkan, rasa simpati yang wujud pada peringkat awal boleh bertukar menjadi kebimbangan. 

Justeru, komunikasi strategik bukan sekadar pelengkap kepada dasar tetapi merupakan elemen penting dalam membantu kerajaan dan pihak berkepentingan mencari penyelesaian yang seimbang serta diterima oleh semua pihak. –UTUSAN

 

DR. Nadiah Abdul Aziz ialah Pensyarah Kanan Komunikasi dan Perhubungan Awam, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×