Henti ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Rohingya

Henti ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Rohingya

PELARIAN Rohingya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menyasarkan pelarian Rohingya susulan dakwaan provokasi di media sosial perlu dihentikan bagi mengelakkan peningkatan sentimen xenofobia dan keganasan terhadap komuniti itu.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), M. Ramachelvam berkata, tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri, termasuk serangan menggunakan bom petrol terhadap beberapa rumah pelarian Rohingya di Johor, membelakangkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja meningkatkan risiko keganasan, malah menggalakkan sikap menyalahkan seluruh komuniti atas perbuatan individu tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan ugutan dan keganasan itu mesti dikutuk tanpa sebarang keraguan, manakala sebarang rungutan mesti ditangani melalui proses yang sah di sisi undang-undang dan bukannya tindakan balas secara sendirian.

“Apabila perbuatan sedemikian ditujukan kepada komuniti etnik atau pelarian, ia turut mewujudkan persekitaran yang memungkinkan sikap menyalahkan seluruh komuniti secara kolektif dan penyahinsanan dianggap sebagai sesuatu yang boleh diterima.

“Tiada komuniti sepatutnya terpaksa hidup dalam ancaman dan keselamatan mereka bergantung pada ihsan orang yang tidak dikenali, yang mengambil keputusan sendiri untuk menentukan siapa yang layak mendapat perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, polis memaklumkan beberapa rumah yang didiami pelarian Rohingya di Kulai, Johor, diserang menggunakan bom petrol atau pada tengah malam.

Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap dua video tular yang didakwa memaparkan sekumpulan lelaki Rohingya mencabar orang ramai untuk bergaduh di Kulai.

Sehubungan itu, Ramachelvam menggesa orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri, menyebarkan dakwaan berunsur hasutan atau belum disahkan, sebaliknya melaporkan sebarang kesalahan melalui saluran undang-undang yang betul. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini