Bersatu bakal ulang sejarah Semangat 46 atau jadi pemecah undi Melayu?

Bersatu bakal ulang sejarah Semangat 46 atau jadi pemecah undi Melayu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAKHIRNYA kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, Isnin lalu bukan sekadar menamatkan sebuah gabungan politik, malah berpotensi mengubah keseluruhan corak persaingan politik Melayu yang terbentuk sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selama beberapa tahun kebelakangan ini, logo dan jenama Perikatan Nasional (PN) berjaya menjadi simbol penyatuan pengundi Melayu-Islam sehingga mencetuskan fenomena yang dikenali sebagai ‘gelombang hijau’, sekali gus menjadikan gabungan itu pencabar utama kepada kerajaan perpaduan.
Kekuatan terbesar PN bukan sekadar terletak pada kepimpinan parti komponennya tetapi juga kesetiaan kelompok pengundi yang dianggap sebagai pengundi tegar atau ‘wala’. Mereka sanggup mengundi atas simbol dan naratif perjuangan.

Namun, perceraian politik antara dua tunjang utama gabungan itu kini membuka persoalan lebih besar iaitu parti mana yang akan bertanding menggunakan logo PN? Sama ada Pas atau Bersatu dan apa hala tuju parti komponen PN lain seperti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)?

PN sebelum ini didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik rasmi pada 2020 dengan Bersatu dan Pas sebagai antara parti pengasas utama. Logo PN kemudiannya digunakan secara meluas dalam beberapa siri pilihan raya sehingga menjadi identiti bersama kedua-dua parti.

Disebabkan logo tersebut berjaya membentuk pengenalan politik yang kuat dalam kalangan pengundi Melayu, maka timbul persoalan, adakah undi Melayu akan berpecah bila ada dua pilihan iaitu PN dan satu lagi parti Melayu antara UMNO dan Pas yang digambarkan membentuk kerjasama pakatan pilihan raya?

Keadaan itu dijangka memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan dalam jangka pendek kerana undi pembangkang berisiko berpecah, khususnya di kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini menjadi kubu kuat PN.

Malah, jika Pas dan Bersatu memilih untuk bertembung, ia boleh mengulangi situasi persaingan tiga penjuru yang pernah memberi manfaat kepada lawan dalam beberapa pilihan raya terdahulu.

Yang menjadikan situasi kali ini lebih menarik ialah perpecahan tersebut berlaku ketika sokongan Melayu terhadap kerajaan masih samar. Namun, perkara itu tidak pun menggugat kerajaan kerana kelemahan pembangkang memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Pas dan Bersatu dalam PRU15 berjaya menghimpunkan sentimen pengundi Melayu-Islam di bawah satu payung politik yang sama. Dengan hanya satu logo dan satu naratif, pengundi mempunyai pilihan jelas untuk menyatakan sokongan mereka terhadap blok pembangkang.

 

PERPECAHAN antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) berpotensi mengubah landskap politik Melayu, termasuk risiko berlakunya pecahan undi yang sebelum ini bersatu di bawah satu gabungan.

 

UJIAN KEPADA KUASA POLITIK MELAYU

Kini, formula itu tidak lagi wujud. Pengundi PN terpaksa membuat pilihan baharu. Sebahagian mungkin kekal bersama Pas atas faktor ideologi dan kekuatan jentera akar umbi parti itu, manakala sebahagian lagi mungkin memilih Bersatu kerana faktor kepimpinan atau sentimen terhadap perjuangan asal parti tersebut.

Persoalannya, sejauh mana Bersatu mampu mengekalkan sokongan?

Ini kerana kekuatan sebenar PN dalam beberapa pilihan raya lalu banyak disumbangkan oleh jentera Pas yang tersusun, rangkaian cawangan yang meluas serta kelompok pengundi tegar yang sentiasa keluar mengundi. Bersatu pula dilihat lebih bergantung kepada tokoh dan kepimpinan berbanding kekuatan organisasi di peringkat akar umbi.

Dalam hal ini, Bersatu mungkin berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket PN sebelum ini. Lebih-lebih lagi jika Pas memutuskan untuk bergerak secara berasingan atau membentuk kerjasama baharu dengan parti lain.

Mudah untuk difahami, Bersatu sebenarnya berisiko menjadi parti yang memecahkan kesatuan undi Melayu. Walaupun dakwaan itu pasti ditolak oleh kepimpinan parti berkenaan, namun persepsi politik sering kali lebih penting daripada realiti.

Pas pula dijangka akan berusaha menampilkan parti itu sebagai pihak yang konsisten memperjuangkan agenda penyatuan ummah dan politik Melayu-Islam. Naratif sedemikian berpotensi menarik sebahagian besar penyokong tradisional PN yang mengutamakan agenda perpaduan politik Melayu berbanding kesetiaan kepada sesebuah parti.

Dalam masa sama, UMNO juga berpeluang memanfaatkan perkembangan tersebut. Jika kerjasama pilihan raya antara UMNO dan Pas benar-benar menjadi kenyataan, landskap politik Melayu bakal memasuki fasa baharu yang sebelum ini terencat menerusi Muafakat Nasional (MN).

Gabungan kekuatan jentera UMNO dan pengaruh akar umbi Pas berpotensi mewujudkan blok Melayu yang lebih besar berbanding PN. Sekiranya keadaan itu berlaku, Bersatu mungkin terpaksa bersaing untuk mendapatkan kelompok pengundi Melayu yang semakin mengecil, selain bergantung kepada kekuatan penyandang di kawasan tertentu.

Akhirnya, persoalan utama bukan lagi siapa memiliki logo PN tetapi siapa yang berjaya meyakinkan pengundi Melayu bahawa merekalah wadah paling berkesan untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Jika Pas dan UMNO benar-benar menemui titik persamaan manakala Bersatu terus bergerak bersendirian, pilihan raya akan datang mungkin menyaksikan satu persoalan besar dibangkitkan oleh pengundi sendiri, adakah Bersatu masih sebahagian daripada gelombang penyatuan politik Melayu atau akhirnya menjadi faktor yang memecahkan undi Melayu yang pernah disatukannya di bawah panji PN?

Adakah Bersatu mampu bertahan sebagai kuasa politik Melayu yang dominan tanpa Pas, atau parti itu bakal berdepan nasib seperti Semangat 46 yang akhirnya tenggelam selepas gagal mengekalkan pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu?

PENULIS ialah wartawan kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN