MUKADIMAH
Kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai platform politik baharu dilihat cuba mengisi ruang kekecewaan rakyat terhadap parti dan gabungan sedia ada, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan atas pagar.
Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, NIK NAZMI NIK AHMAD berkata, Bersama tampil dengan pendekatan pelbagai kaum serta agenda perubahan yang menurutnya semakin gagal diterjemahkan oleh parti selepas memperoleh kuasa.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan ZAHRA MOHAMAD ZHAHIR dibantu jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI serta juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, bekas Naib Presiden PKR itu berkata, Bersama bukan sekadar satu alternatif, malah yakin mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terutama di kerusi strategik yang menyaksikan perpecahan undi antara gabungan utama, sekali gus membuka laluan untuk parti itu berkembang lebih besar pada masa depan.
BINCANG DENGAN BEBERAPA PARTI
MINGGUAN MALAYSIA: Dalam banyak parti politik di Malaysia, kenapa memilih Bersama?
Sistem untuk tubuhkan parti dekat Malaysia ini agak rumit. Banyak kuasa ini berada di tangan Menteri Dalam Negeri. Kalau kita tengok balik, misalnya penubuhan parti Muda, isytihar hendak daftar, tetapi ada kekangan-kekangan sampai mereka kena pergi ke mahkamah dan akhirnya mahkamah tentukan. Cara Menteri Dalam Negeri itu menggunakan kuasanya, wewenangnya itu tidak sesuai, tidak adil, seolah-olah hendak sekat.
Bagi kita, memang dari awal itu kita sudah merasakan perlu satu platform baharu. Maka apa platform tersebut, kita tengok dan kaji. Cuma yang saya boleh katakan, perbincangan kami dengan Parti Bersama Malaysia, kami pun tidak kenal sebelum ini. Bersama banyak bergerak di Pulau Pinang, bersifat pelbagai kaum, tetapi lebih ramai Tionghua.
Perbincangan itu positif dan pengasas parti rasa punya harapan supaya parti boleh dikembangkan. Kita ada siri perbincangan. Ada yang saya hadir, ada yang beberapa antara kumpulan kami hadir, sehingga kita rasa sesuailah untuk kita dapat bergerak dalam platform ini dan kita diterima masuk ataupun mana-mana pasukan kami ini masuk untuk memimpin Bersama.
Kami tidak terlibat daripada segi keanggotaan dan sebagainya. Tapi memang ini diuruskan secara sulit supaya jadi satu surprise. Memang kami ada berbincang juga dengan beberapa parti lain. Tapi yang saya rasa, yang paling orang kata paling sesuai ini perbincangan dengan Bersama. Sebab itu, kita memilih Bersama.
Adakah Bersama ada akar umbi yang kuat untuk bergerak ke depan?
Bersama lebih fokus banyak kerja-kerja yang bersifat sukarela, NGO, memberi sumbangan di Pulau Pinang, di kawasan-kawasan yang mereka tumpukan. Memang sekarang Bersama pergi ke satu level yang lain. Kalau kita tengok, beribu-ribu, orang yang cuba atau pun yang memohon untuk menjadi anggota Bersama, secara atas talian.
Bukan hanya daripada PKR, ada yang daripada DAP, Amanah, ada yang daripada Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Bersatu, malah ada yang tidak berparti sebelum ini.
Itu yang kita tengok sihat. Mungkin dalam masa terdekat kita akan umumkanlah tentang keanggotaan, berapa bilangan, pecahan kaum, sebab Bersama ini parti pelbagai kaum.
PECAH UNDI
Adakah Bersama akan menjadi pemecah undi bagi kawasan bercampur terutama di bandar pada PRU-16?
Saya melihat naratif tersebut dimainkan oleh beberapa pihak. Cuma jawapan saya mudah, rakyat hendak tengok perubahan itu dilaksanakan. Mereka mahu melihat kesaksamaan di dalam institusi kerajaan, kehidupan yang lebih baik, lebih bermaruah. Tidak kira kaum, agama, tidak kira dari mana, itu harapan asas rakyat.
Bila mereka rasa perkara tersebut tidak dipenuhi, maka mereka, macam saya sebut, sama ada mereka akan duduk rumah atau mereka mencari alternatif.
Kalau PRN Sabah, kita lihat rakyat Sabah, khususnya di bandar yang biasanya menyokong PH, memilih untuk banyak duduk di rumah atau sokong parti Warisan sebagai protes.
Sebab itu bagi saya, kalau orang duduk rumah ini tidak sihat. Maksudnya, tidak sihat untuk demokrasi. Kita hendak rakyat Malaysia ada pilihan. Saya dalam PKR lebih daripada separuh usia saya.
Tetapi kita tengok PKR tidak mampu hendak bawa perubahan yang betul-betul bermakna ketika berkuasa. Kita lalui susah senang dan sebagainya, masuk lokap, didakwa di mahkamah, orang ramai hilang kerja. Tapi bila ada kuasa, banyak alasan yang kita berikan untuk tidak laksanakan reformasi itu.
Maka saya tidak melihatnya dari sudut pemecah undi. Kalau hendak marah, boleh marah kepada pimpinan PKR yang bagi saya tidak betul-betul mengusahakan agenda reform.
Kami cuma memastikan ada rumah untuk pengundi-pengundi yang mahukan perubahan, yang saya rasa ramai atau sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus pengundi yang ada di Malaysia ini terbuka dengan idea tersebut.
Memang ada yang totok Pas, UMNO, totok PKR juga, tetapi ramai yang floating (atas pagar) ini, yang di tengah-tengah, dan mereka hendak tengok alternatif tersebut. Macam Datuk Seri Rafizi Ramli kata, kita tengok mana kerusi yang sesuai. Kita tidak tengok, oh kita target hanya kerusi PKR, tak. Kalau kerusi PKR itu sesuai, ok kita akan bertanding. Kalau kerusi itu kerusi DAP, kita akan bertanding, begitu juga kerusi Pas, UMNO.
Kita tidak ada tempat yang kita tidak mahu pergi, maknanya berapa bilangan itu tentu ada kekangan dari segi kemampuan. Kita pun kena faham parti ini masih baharu, walaupun sudah lama ada, tetapi dalam konteks penjenamaan semula ini masih baharu. Maka perlu diberi sedikit masa. Namun, yang pastinya kita akan pergi (tanding) ke mana kita hendak pergi.
Contohnya, dulu ada gabungan sebelum pilihan raya. Kita tengok dahulu Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat zaman Tengku Razaleigh Hamzah. Zaman reformasi ada Barisan Alternatif. Kemudian 2008, Pakatan Rakyat, saya terlibat secara langsung. Kemudian Pakatan Harapan, Perikatan Nasional. Tapi yang kita tahu selepas berlangsungnya Langkah Sheraton itu, kita dapat tengok bagaimana wujud juga gabungan selepas pilihan raya yang sudah lazim di negara lain.
Kemuncaknya di Malaysia apabila wujudnya kerajaan Perpaduan. Kita tengok juga di Pahang, di Perak, maknanya gabungan ini hanya dibentuk selepas pilihan raya.
Tapi itulah yang disebut oleh Rafizi, ‘kekasih gelap’. Maksudnya orang sudah tengok benda itu sudah jadi benda yang sinis sebab bila berkempen, ‘sakau’ lah, keluar sebagainya ‘hoi ya hoi’, serang antara satu sama lain, namun akhirnya dia juga jadi kawan.
Bagi kami di peringkat Bersama ini, buat masa ini kita hendak pastikan kita kuat dan kita tidak perlu bersandar kepada mana-mana gabungan atau parti yang lain. Kita boleh pergi sendiri sebab yang paling penting kita hendak dapat kuasa, tapi biarlah kuasa itu dapat membawa perubahan kepada rakyat. Bukan kuasa supaya saya dan Rafizi dapat balik makan gaji macam sebelum ini. Itu bukan matlamat kami.
Maksudnya buat masa ini Bersama tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti atau masuk gabungan?
Ya.
YAKIN MENANG KERUSI
Bersama yakin mampu untuk menang kerusi pada PRU-16?
Ya, Banyak orang rasa lelah dengan parti-parti politik yang sedia ada. Macam saya sebut dalam ucapan saya, orang seronok 2018 tukar kerajaan kali pertama, tiba-tiba Langkah Sheraton.
Di dalam pilihan raya yang sistem kita ada apa yang dipanggil first past the post, kita tidak perlu 51 peratus pun majoriti. Kalau dalam keadaan pecah banyak penjuru, tidak mustahil dengan peratus yang mungkin 40 peratus, kita juga boleh menang. Sebab kalau kita katakanlah PH, BN, PN, masuk pula Bersama sekurang-kurangnya, macam saya hari itu Setiawangsa enam penjuru.
Jadi, dalam keadaan itu, bukanlah kita berharapkan itu, tetapi walaupun dengan 40 peratus (undi), kita rasa sudah cukup.
Sudah pastinya bila kita sudah ada masa yang lebih untuk bina parti, mungkin pada PRU-17 dan sebagainya, dan kita boleh sasar kerusi yang jauh lebih banyak. Tapi PRU16, insya-Allah saya yakin kita akan menang di beberapa kerusi strategik yang kita akan guna untuk kembangkan parti Bersama.
KHIANAT PARTI?
Apa respons apabila ada pihak dalam PKR menggelar anda dan Rafizi sebagai pengkhianat parti?
Itu hak kebebasan masing-masinglah hendak panggil apa. Cuma apa yang saya boleh katakan, kami berbeza kalau dibandingkan dengan geng-geng kartel yang meninggalkan PKR selepas Langkah Sheraton.
Kami ambil keputusan untuk letak jawatan sebagai ahli Parlimen. Ini menunjukkan kami yakin dengan pendirian kami. Kita bukan orang kata lompat makan gaji lagi apa, tidak. Ok, saya ada satu podcast, tetapi saya tetap macam penganggur sekarang.
Dulu orang kata penganggur bila sudah tidak jadi menteri, tapi ada lagi ahli Parlimen. Tapi sekarang adalah kerja sikit-sikit yang kami buat, tetapi basically for all intents and purposes macam penganggur kan. Orang putih kata, we put our mouth where our food is. Di mana kita betul-betul buat apa yang kita cakap. Jadi, saya rasa itu membezakan. Tetapi ini pilihan ramai juga. Bagi saya akhirnya kita sedar. Politik ini macam roundabout, kita akan jumpa balik semua. Kalau kita ambil langkah macam itu, maknanya kita berlapang dada dalam politik.
KECEWA PH, PKR GAGAL URUS KEMENANGAN
Rafizi kerap menyerang parti, berbeza dengan anda yang lebih tenang, namun apa kekecewaan sebenar anda terhadap PKR?
Yalah, kami ada style masing-masing. Nama Rafizi pun Rafizi Ramli, bukan Nik Rafizi. Jadi, dia ada cara dia. Saya pun ada cara saya. Saya pun ada berbeza pandangan dari awal. Pernah berbeza pandangan agak keras juga dengan Rafizi dan sebagainya.
Tetapi kalau tanya saya secara peribadi kekecewaan saya dengan PKR, perjuangan itu tentulah benda yang besar. Sebab waktu saya mula bantu parti, saya memang minat politik. Saya mula bantu parti ini umur 19 tahun. Kalau saya pada waktu itulah, cita-cita saya hendak jadi Perdana Menteri atau jadi menteri, saya tak akan pilih PKR. Sebab secara logiknya pada waktu itu PKR ini dilihat jauh sangat daripada menang. Orang kata satu pilihan raya lagi pun belum tentu hidup. Itu tanggapan pada waktu itu.
Tapi kami pilih sebab saya percaya. Saya tengok, parti politik ini ada semua, Melayu, Cina, India, Kadazan. Saya tengok parti ini menjanjikan hendak buat perubahan, hendak buat reform, setelah apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka kita hendak buat benda berbeza.
Maka saya masuk dan orang kata, macam Rafizi ada cakap dalam podcast, mungkin kami ini naif. Budak-budak muda, kita percaya, kita masuk dan kita bekerja keras. Sebab atas keyakinan, bukan hendak jadi menteri. Sebab, kalau mahu jadi menteri, gilalah masuk PKR waktu itu. Tetapi atas keyakinan kita mahu lakukan sesuatu yang berbeza.
Maka apabila kita faham ini kerajaan Perpaduan, saya tahu bahawa ini bukan kerajaan PH. Saya pun ada dalam Kabinet, saya pun pernah hadir Majlis Presiden dan sebagainya. Kita tahu keadaannya macam mana, malah di peringkat perpaduan dan juga di peringkat PH. Cuma apa yang saya boleh katakan, pertama, banyak juga perubahan yang kita hendak jalankan dan kita tidak jalankan itu bukan sebab Barisan Nasional, bukan sebab GPS.
Kadang-kadang orang PKR sendiri yang tidak mahu buat. Itu satu kekecewaan. Kalau betul, BN tidak mahu. Contohnya, isu-isu panas. Kita tahu ada pelbagai. Kalau orang kata isu-isu polemik ini macam isu UEC, isu kuil. Itu saya faham. Maksudnya ada banyaklah lapisan dan sebagainya. Tetapi, kadang-kadang macam isu kehakiman. Itu yang kami dulu bantah dan sebagainya. Jadi, lihat sendiri. Tapi di luar kadang-kadang alasan diberi – Ini salah UMNO, UMNO yang tidak mahu ini. Kami (PKR /PH) hendak buat, UMNO tidak mahu. Kami hendak buat, Sarawak tidak mahu. Tapi kita periksa balik, tidak betul (dakwaan itu). Jadi, bila pakai-pakai nama ini, kita rasa tidak seronok. Itu benda pertama.
Kedua, apabila menang, dinamiknya berubah. Orang yang menyertai kita pun lain. Mereka pun mungkin bukan orang yang suka ambil risiko dan sebagainya. Itu lumrah. Kalau kita tengok Rasulullah sendiri, daripada zaman dekat Mekah mula-mula, kemudian pergi Madinah dan akhirnya bila sudah buka Mekah balik, orang yang masuk itu pun berlainan sifatnya. Itu lumrah dunia dan saya tidak ada masalah.
Masalah saya adalah apabila dia sudah tidak tahu beza. Maknanya, kalau kita tengok orang ini, dia ini kalau dulu UMNO jadi kerajaan. Jadi PM, dia ini masuk UMNO lah. Tapi sekarang PM dia Anwar. Maka dia pun masuk PKR.
Maka, itulah bagi saya agak pelik. Saya tidak mahu over-sentimental dan sebagainya kepada golongan reformis. Saya pun ada kadang-kadang berbeza pandangan, tetapi saya rasa tidak boleh lupakan mereka. Sebab sekarang yang saya tengok, kalau kita tengok yang banyak itu (dalam parti) kalau hendak kata bakat baharu, tidaklah berbakat mana. Tapi mungkin sebab mereka ini ada duit dan sebagainya, mereka masuk. Jadi, politik yang hendak kata mahu berubah itu sudah jadi retorik.
Kita kena ingat anak-anak muda, dan saya ingatkan diri saya juga, kalau kita tengok pola pengundi-pengundi PKR-PH ini semakin tua. Sebab mereka ini generasi reformasi yang ingat reformasi.
Saya masuk bertanding di Selangor, usia 26 tahun, memang kurus keding. Orang tidak kenal siapa Nik Nazmi. Saya pun kena letaklah apa saya buat di universiti semua sebab profil yang ada nampak nipis. Tapi bukan sahaja saya menang. Kita menang di seluruh Selangor. Saya, Hannah Yeoh, Amirudin Shari, kalau di Kuala Lumpur, Nurul Izzah waktu itu. Tapi bukan sebab famous (dikenali), Nurul Izzah mungkin famous, tapi yang lain ini (menang) semata-mata orang kata anything but UMNO/BN.
Orang menyampah sebab Selangor waktu itu zaman Khir Toyo. Sekarang, Khir Toyo pun mungkin orang tidak berapa kenal, budak-budak sekarang.
Maka golongan muda akan tengok, PH ini macam mana dekat Selangor? PKR ini macam mana? PRN yang lepas, kita hampir-hampir terlepas Selangor. Kerusi tempat keluarga saya tinggal, DUN Taman Medan. Tak terbayang. Saya dulu DUN Seri Setia. DUN Taman Medan hampir kita kalah dengan majoriti kecil.
Bagi saya, itu menunjukkan kita sudah tidak boleh jadi anything but BN, sudah tidak boleh sebab kita pun sudah berkawan dengan BN. Jadi, kena tunjuk apa nilai kita. Adakah kita juga rasuah? Adakah kita juga mengekang kebebasan? Adakah kita memikirkan tentang rakyat? Kalau tak ada, rakyat akan mengukur kita.
Itu bagi saya kekecewaan besar saya dengan PH dan PKR. Kita gagal menguruskan kemenangan, terutamanya zaman kita jadi PM dan kerajaan.
MASALAH DENGAN DAP
Adakah DAP dilihat terlalu menekan Perdana Menteri, demi menjaga kerusi dan undi mereka dan mungkin beri masalah dalam gabungan PH?
Ia bermasalah. DAP ini, saya baik dengan mereka, saya pun tidak ada masalah. Saya pun tahu mereka parti pelbagai kaum. Cuma DAP, ia ada baggage (beban). Sebab daripada sejarahnya dan kita faham waktu itu masyarakat bukan Melayu, terutamanya selepas 13 Mei, Dasar Ekonomi Baru, mereka merasa mereka perlukan suara. Pada waktu itu MCA dalam kerajaan, cara mereka bergerak itu berbeza. Kalau kita tengok Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh, cara mereka kena lantang dan kita fahamlah kerana itu konteks zaman itu.
Tetapi itu juga menjadi cabaran hari ini sebab dalam kalangan orang Melayu, imej DAP banyak terpalit ataupun masih lagi imej yang lantang macam itu. Kalau kita tengok Anthony Loke, style beliau berbeza. Tetapi bila ada dua tiga pemimpin lain (dalam DAP) yang kadang-kadang bergerak begitu, ia akan jadi masalah.
PM ada cabarannya, DAP pun ada cabarannya. Kalau DAP terlalu senyap, mungkin orang kata bagus, itu bagi orang Melayu. Bagi orang bukan Melayu, mereka akan merasakan apa sudah jadi dengan DAP?
Macam hari itu pun isu mafia korporat dan sebagainya. Saya tahu ada media Cina yang kata kalau dulu Uncle Kit dengan Uncle Karpal ada, mereka sudah bersuara. Tapi sekarang bila (DAP) sudah jadi menteri, bila dalam kerajaan, sudah terikat sikit.
SUMPAHAN TINGGAL PKR
Kalau dilihat kepada sejarah parti, ramai pemimpin yang meninggalkan PKR, kebanyakan tidak berjaya dan kerjaya politik suram, seolah satu sumpahan, tidakkah itu membimbangkan YB?
Saya fikir masing-masing ada pengalaman dan ada laluan dia yang tersendiri. Tetapi kami di sini, macam Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dia pilih untuk masuk Bersatu, parti yang sudah pun ada. Kita pun tengok apa kesan kepada Bersatu.
Begitu juga Datuk Zuraidah Kamaruddin, dia buat macam parti baharulah, saya tidak tahu sama ada dia ambil alih, tapi Parti Bangsa Malaysia itu juga ditolak oleh pengundi kan.
Bagi saya masa yang akan menentukan. Tapi yang pastinya saya, Rafizi,… Rafizi pernah jadi Pengarah Strategi, saya Pengarah Komunikasi parti. Kemudian Rafizi menggerakkan Invoke, saya Ketua Angkatan Muda dan juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan. Kemudian Rafizi Pengarah Pilihan Raya dan Timbalan Presiden, saya Naib Presiden. Saya rasa di situ kami ada pengalaman.
Banyak sistem yang digunakan oleh parti sejak 2013 sebenarnya dibangunkan oleh Rafizi. Saya tidak mengatakan itu segala-galanya betul, tetapi saya rasa pendekatan kami ini bukan pendekatan politik lama. Pendekatan ini kita hendak tawarkan sesuatu kepada anak-anak muda.
Saya yakin anak muda, kalau 31 tahun ke bawah, separuh daripada rakyat Malaysia. Jadi, kami yakin ada pasarannya kalau kena gaya dan sebagainya. Bukan mudah, tapi orang kata kita akan lihat dalam gelanggangnya. – Mingguan Malaysia










