MDCP: Indonesia ‘proksi’ AS kekang pengaruh China?

MDCP: Indonesia ‘proksi’ AS kekang pengaruh China?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA meneliti langkah Indonesia memeterai perjanjian kerjasama pertahanan berskala besar dengan Amerika Syarikat (AS) menerusi Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (MDCP), beberapa persoalan strategik wajar diberi perhatian.

Menerusi perjanjian tersebut, latihan ketenteraan berskala besar antara kedua-dua negara bakal dipertingkat dan diperluaskan, termasuk melibatkan kawasan strategik seperti Selat Melaka.

Dalam dokumen MDCP itu juga terkandung pelbagai ungkapan diplomatik yang bersifat berhati-hati dan selamat seperti ‘demi pembangunan kapasiti, pendidikan, latihan dan kerjasama’.

AS mungkin melihat Indonesia dapat memainkan peranan kritikal kerana Selat Melaka juga merupakan laluan laut paling singkat yang menghubungkan pembekal minyak di negara Teluk dengan pasaran utama di Asia.

Namun di sebalik bahasa diplomatik itu, terdapat mesej tersirat yang tidak boleh dipandang ringan, khususnya apabila perjanjian berkenaan memberi penekanan terhadap pembangunan keupayaan dalam sistem maritim, operasi bawah permukaan laut serta teknologi autonomi.

Selain itu, dokumen tersebut turut menyentuh aspek sokongan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), di samping komitmen AS dan Indonesia untuk memperluaskan latihan bersama pasukan khas antara kedua-dua negara.

Atas sebab itu, ada pihak melihat perjanjian berkenaan bukan sekadar simbolik diplomatik, sebaliknya lebih menjurus kepada pengukuhan keupayaan ketenteraan dan strategik antara Washington dan Jakarta secara berperingkat.

Hakikatnya, perjanjian yang dimeterai baru-baru ini memberi gambaran jelas bahawa persaingan kuasa besar dunia kini bukan hanya tertumpu kepada penguasaan wilayah semata-mata, tetapi turut melibatkan kawalan terhadap laluan strategik sumber tenaga seperti minyak dan gas, perdagangan antarabangsa serta dominasi ketenteraan di rantau ini.

Dalam satu sudut, adalah penting umum mengetahui bahawa laluan Selat Melaka mengendalikan kira-kira 80 peratus daripada import minyak mentah China serta sebahagian besar perdagangan dengan Eropah, Afrika dan Asia Barat.

Di sinilah AS mungkin melihat Indonesia dapat memainkan peranan kritikal kerana Selat Melaka juga merupakan laluan laut paling singkat yang menghubungkan pembekal minyak di negara Teluk dengan pasaran utama di Asia.

Walaupun terdapat kapal yang cuba mengelak menggunakan laluan Selat Melaka, mereka tetap tidak dapat memisahkan diri daripada kawasan kepentingan strategik negara Indonesia.

Ini memandangkan alternatif yang ada seperti laluan di Selat Sunda dan Selat Lombok memerlukan perjalanan lebih jauh serta kos operasi yang lebih tinggi.

Di sini isunya bukan semata-mata berkaitan geografi, tetapi soal pengaruh terhadap keperluan strategik.

Apatah lagi, Beijing sejak sekian lama berusaha mengurangkan kebergantungan menggunakan Selat Melaka.

Difahamkan, saluran paip utama minyak import China datang dari Russia, Kazakhstan dan Myanmar.

Namun, kapasiti laluan itu masih terhad dan belum mampu menggantikan sepenuhnya bekalan tenaga yang dihantar melalui laluan maritim.

Selagi sebahagian besar import minyak China masih bergantung kepada laluan laut, faktor geografi akan terus memainkan peranan penting dalam menentukan keseimbangan kuasa serantau.

China memahami hakikat tersebut. AS juga menyedarinya. Dalam konteks ini, Indonesia kini semakin dilihat sebagai pemain penting dalam percaturan strategik di rantau Indo-Pasifik.

Nilai sebenar kerjasama baharu ini bukan terletak pada pembentukan pakatan ketenteraan rasmi atau pembinaan pangkalan tentera, sebaliknya pada persediaan jangka panjang ketika waktu aman.

Ia melibatkan pembinaan kefahaman maritim, kepercayaan operasi dan keupayaan kesedaran bawah laut melalui latihan bersama, logistik, pendidikan ketenteraan profesional serta sokongan penyelenggaraan.

Dalam persaingan kuasa dunia dengan langkah strategik moden, keupayaan mengekalkan operasi secara berterusan jauh lebih penting daripada sekadar membuat pengumuman politik.

Pada masa sama, perlu diingat bahawa Indonesia dan China turut mengadakan latihan tentera laut bersama pertama mereka pada November 2024, selain melaksanakan lebih 710 latihan bersama antara 2021 hingga 2024.

Maka, tindakan Indonesia menjalin hubungan dengan AS dalam keadaan sekarang sedang membuka ruang strategik baharu yang sebelum ini tidak wujud.

Walaupun Indonesia mungkin tidak menandatangani sebarang pakatan rasmi, keseimbangan kuasa serantau sebenarnya sudah mula berubah.

Sekiranya hubungan pertahanan itu diperkukuhkan lagi pada masa depan, implikasinya akan menjadi semakin susah untuk diketepikan.

Kebimbangan China bukan kerana Indonesia secara terbuka berpihak menentang China, tetapi kerana Jakarta kini semakin sukar dipengaruhi dan pada masa sama semakin mudah bekerjasama dengan AS.

Dalam strategi maritim, penjajaran strategik selalunya bermula bukan melalui deklarasi rasmi, tetapi menerusi akses dan kehadiran operasi di sesebuah negara.

Jakarta tidak mengumumkan strategi baharu untuk menyekat China, manakala Washington juga bukannya sedang membentuk satu pakatan blok ketenteraan baharu.

Namun, Beijing tetap meneliti perkembangan ini dengan penuh berhati-hati. Dalam satu sudut yang lain, cuba bayangkan sekiranya berlaku konflik antara China dan AS.

Selat tersebut akan dijadikan sebagai kawasan laluan untuk melancarkan serangan terhadap China.

Dan kalau ini berlaku, ia mencetuskan ‘kejutan’ sehingga mengheret Indonesia ke dalam konflik disebabkan adanya kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

China memahami bahawa Selat Melaka masih menjadi satu laluan strategik paling sempit dan paling kritikal kepada keselamatan tenaga negaranya.

Justeru, setiap bentuk kerjasama yang berkembang di sekitar laluan tersebut berpotensi mengubah percaturan strategik di rantau ini.

Bagi AS, perkembangan ini membuka lebih banyak pilihan bersifat strategik. Bagi Indonesia pula, ia meningkatkan pengaruh serta tarikan ‘tawar-menawar’ negara itu di peringkat serantau.

Namun, bagi China, frasa ‘Dilema Melaka’ sebagaimana yang disebut-sebut Presiden China, Hu Jintao pada 2003 bukanlah pernah sekadar isu geografi semata-mata, tetapi sentiasa berkait rapat dengan soal kebergantungan strategik dan kawalan di kawasan berkenaan. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN