Dialek jejas penguasaan bahasa Melayu?

Dialek jejas penguasaan bahasa Melayu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahasa Melayu baku merupakan bahasa standard yang menjadi asas komunikasi rasmi negara. Ia digunakan dalam sistem pendidikan, pentadbiran kerajaan, media arus perdana serta pelbagai urusan rasmi lain.

Dalam kalangan pelajar, penggunaan dialek secara berterusan dalam komunikasi harian mempengaruhi keupayaan mereka menggunakan bahasa Melayu baku dengan tepat. Ini melibatkan aspek struktur ayat, ejaan dan pemilihan kosa kata dalam penulisan formal.

Dialek tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada penguasaan bahasa Melayu baku kerana dialek merupakan sebahagian daripada warisan linguistik yang mencerminkan identiti masyarakat setempat.

Yang lebih penting ialah keupayaan penutur menyesuaikan penggunaan bahasa mengikut konteks. Dialek boleh digunakan dalam situasi tidak formal manakala bahasa Melayu baku perlu diutamakan dalam urusan rasmi bagi memastikan komunikasi lebih jelas dan berkesan.

Perbezaan antara kedua-dua bentuk bahasa ini menuntut kefahaman jelas dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan penggunaan bahasa yang tidak tepat sehingga menjejaskan kualiti komunikasi khususnya dalam bidang akademik.

Pengaruh bahasa asing turut menjadi cabaran kepada perkembangan bahasa Melayu apabila penggunaannya secara tidak terkawal dalam komunikasi harian mengganggu struktur dan gaya bahasa Melayu standard.

Pendekatan yang seimbang perlu diambil agar dialek tempatan dapat dipelihara tanpa menjejaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan rasmi.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rahimah Hamdan berkata, penggunaan dialek tempatan merupakan sistem bahasa yang diperoleh secara semula jadi sejak kecil dan berfungsi sebagai penanda identiti serta warisan budaya.

Katanya, isu utama bukan terletak pada kewujudan dialek itu sendiri, sebaliknya berkait dengan keupayaan penutur menyesuaikan penggunaan bahasa mengikut konteks.

“Penggunaan dialek tempatan tidak semestinya menjejaskan penguasaan bahasa Melayu baku. Bahasa Melayu baku ialah wahana komunikasi rasmi yang mencerminkan identiti kebangsaan dan keilmuan.

“Yang menjadi isu bukanlah kewujudan dialek itu sendiri, tetapi kegagalan sebahagian penutur untuk menguasai keupayaan peralihan kod dan penyesuaian ragam bahasa mengikut konteks.

“Generasi muda seharusnya mampu membezakan penggunaan dialek dalam konteks tidak formal dan bahasa baku dalam konteks rasmi. Oleh itu, dialek dan bahasa baku tidak bersifat saling menjejaskan, sebaliknya saling melengkapi,” katanya.

Dalam konteks pembelajaran, Rahimah berkata, pengaruh dialek bukanlah faktor dominan yang menjejaskan penguasaan bahasa Melayu standard, sebaliknya cabaran lebih besar datang daripada penggunaan bahasa asing yang tidak terkawal.

Katanya, ia akan mengganggu struktur dan gaya bahasa Melayu sekiranya tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam pendidikan bahasa.

“Isu ini tidak wajar dilihat secara santai kerana kecekapan pelajar dalam bahasa Melayu standard berkembang seiring dengan tahap pendidikan dan pendedahan akademik mereka. Pengaruh dialek terhadap pertuturan dan penulisan akademik bukanlah faktor dominan.

“Sebaliknya, cabaran yang lebih signifikan ialah pengaruh bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris yang sering digunakan tanpa kawalan dalam komunikasi harian termasuk dalam ruang digital, sekali gus berpotensi mengganggu struktur bahasa Melayu standard.

“Namun tanpa bimbingan sistematik, terdapat kemungkinan berlaku interferens linguistik iaitu pemindahan ciri dialek ke dalam penulisan formal. Oleh itu, pendidikan bahasa perlu menekankan kesedaran tentang variasi bahasa,” katanya.

Beliau menambah, keseimbangan antara dialek dan bahasa Melayu baku boleh dicapai melalui penguasaan kedua-duanya secara serentak.

Menurutnya, pendekatan dwibahasa dalaman membolehkan penutur menggunakan dialek sebagai wahana ekspresi budaya manakala bahasa Melayu baku berfungsi sebagai medium ilmu dan komunikasi rasmi.

“Pendekatan yang lebih tepat ialah melalui konsep dwibahasa dalaman di mana penutur mampu menguasai kedua-dua bentuk bahasa dengan baik dan menggunakannya mengikut situasi dan ruang.

“Dalam hal ini, tidak timbul persoalan mana yang lebih utama sebaliknya bagaimana kedua-duanya dapat diperkasa secara serentak melalui kesedaran linguistik dan latihan berterusan,” katanya.

Rahimah turut berpandangan bahawa institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk kecekapan bahasa pelajar melalui kurikulum dan latihan penulisan akademik yang menekankan penggunaan bahasa Melayu baku.

Faktor keluarga, persekitaran sosial dan media turut mempengaruhi tahap kesedaran linguistik dalam kalangan pelajar.

“Sekolah dan universiti bukan sahaja berfungsi sebagai tempat penyampaian ilmu tetapi juga sebagai ruang sosialisasi bahasa yang formal melalui kurikulum dan pedagogi bahasa Melayu baku.

“Pelajar perlu dibimbing untuk memahami konsep variasi bahasa dan kepentingan kesesuaian konteks agar mereka mampu membezakan penggunaan dialek dan bahasa baku secara tepat.

“Tanggungjawab ini tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada institusi pendidikan kerana keluarga, persekitaran sosial dan media juga memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran linguistik,” katanya.

Mengulas peranan media sosial, beliau berkata, penggunaan dialek dalam kandungan digital mempunyai implikasi positif dan negatif yang perlu ditangani secara bijaksana.

Jelasnya, walaupun dialek dapat memperkayakan kepelbagaian bahasa dan memperkukuh identiti tempatan, penggunaan tanpa kawalan boleh mengaburkan sempadan antara bahasa tidak formal dan bahasa standard.

“Media sosial merupakan ruang awam yang sangat berpengaruh. Penggunaan dialek secara meluas dalam kandungan digital boleh membawa implikasi yang bertentangan.

“Dari sudut positif, ia memperkayakan kepelbagaian linguistik dan memperkukuh identiti budaya tempatan. Namun dari sudut negatif, penggunaan tanpa kawalan boleh mengaburkan sempadan antara bahasa tidak formal dan bahasa standard.

“Oleh itu, isu ini menuntut intervensi melalui pendidikan literasi bahasa dan digital serta peranan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Rahimah mencadangkan pendekatan inklusif dan bersepadu bagi memperkukuh penggunaan bahasa Melayu tanpa menafikan kewujudan dialek tempatan.

Katanya, langkah seperti memperkukuh pedagogi bahasa, meningkatkan kempen literasi serta menggalakkan penghasilan kandungan berkualiti perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Pendekatan yang paling berkesan ialah pendekatan inklusif dan bersepadu, bukan bersifat dikotomi. Antaranya memperkukuh pendidikan bahasa Melayu baku melalui pedagogi yang kontekstual dan relevan.

“Kesedaran tentang fungsi dan domain penggunaan bahasa perlu ditingkatkan melalui kempen literasi bahasa serta penghasilan kandungan digital berkualiti dalam bahasa Melayu baku.

“Dokumentasi dan kajian dialek perlu diperluas serta peranan institusi seperti DBP diperkukuh bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang tanpa mengabaikan khazanah dialek,” katanya.

Penggunaan dialek tempatan dan penguasaan bahasa Melayu baku bukanlah dua perkara yang bertentangan, namun kedua-duanya boleh bergerak seiring dalam membentuk masyarakat beridentiti serta berkeupayaan berkomunikasi secara berkesan.

Melalui kesedaran linguistik yang tinggi dan usaha bersepadu pelbagai pihak, bahasa Melayu dapat terus diperkasa sebagai bahasa kebangsaan yang utuh tanpa menjejaskan keunikan dialek sebagai warisan budaya negara. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN