SEMASA berbincang dengan rakan-rakan dari luar negara ketika menghadiri persidangan di Taiwan baru-baru ini, ramai yang terkejut apabila saya memaklumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei, iaitu kira-kira seminggu selepas saya pulang ke tanah air.
Bagi rakan-rakan yang sering bekerja bersama saya sejak beberapa bulan lalu, perkara ini tentunya agak menghairankan kerana mereka mengetahui umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mac lalu.
Lalu, ada yang bertanya apakah bezanya hari raya kali ini dengan yang lalu? Mengapakah kita menyambut hari raya sekali lagi sedangkan baru sahaja menyambutnya beberapa bulan lalu?
Kejadian sebegini bukanlah luar biasa dalam perbincangan di antara masyarakat antarabangsa, apabila rakan-rakan dari luar negara kurang memahami tentang hari kebesaran bagi masyarakat lain. Ini juga menjadikan perbincangannya lebih menarik apabila kita dapat melihat perbezaan antara satu sama lain.
Namun mereka tambah terkejut lagi apabila kawan saya yang berbangsa Kadazandusun dari Sabah dengan bangga memberitahu bahawa hanya beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, mereka akan menyambut Hari Kaamatan pula.
Saya turut menambah selepas Hari Kaamatan, penganut agama Buddha akan meraikan Hari Wesak dan diikuti dengan sambutan Hari Gawai oleh kaum-kaum di Sarawak.
Keadaan ini menjadikan empat perayaan masyarakat yang berbeza diraikan dalam tempoh hanya enam hari. Sambutan perayaan-perayaan tersebut telah lama menjadi sebahagian daripada keunikan dan kepelbagaian budaya yang mewarnai kehidupan rakyat Malaysia.
Bagi ramai orang luar, sambutan hari kebesaran di sesetengah negara mereka tidaklah seinklusif Malaysia. Ini kerana hampir semua perayaan diraikan dan dikira sebagai cuti umum, meskipun di sesetengah negeri sahaja.
Keadaan ini membuatkan rakan-rakan dari luar negara begitu tertarik dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Mereka tidak menyangka rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bersikap terbuka serta saling mengambil tahu tentang perayaan dan hari kebesaran yang disambut oleh komuniti lain di negara ini.
Lain padang, lain belalang. Cara hidup masyarakat berbeza mengikut latar dan persekitaran masing-masing. Namun di Malaysia, walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan adat resam, kita lazimnya mengamalkan sikap inklusif serta saling meraikan hari kebesaran antara satu sama lain, antaranya melalui tradisi rumah terbuka yang menjadi amalan sejak sekian lama.
Hakikatnya, di Malaysia kita bukan sekadar sibuk berhujah tentang menghormati kepelbagaian tetapi benar-benar meraikan kebersamaan ini dengan hati yang terbuka. Perkara ini amat berbeza berbanding realiti di sesetengah negara luar.
Ini bermakna kita sudah melangkaui proses toleransi dalam perpaduan. Jika hanya bertoleransi, kita sekadar menerima dan tidak menentang perbezaan, tanpa jaminan hati telah terbuka dari dalam sanubari. Sebaliknya, rakyat Malaysia telah lama mengamalkan budaya saling meraikan perbezaan sehingga menjadi sebahagian daripada identiti dan teras kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Sebenarnya, hal ini selaras dengan asas pembentukan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 memperuntukkan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa bumiputera, di samping melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.
Perkara ini sering disalahfahami apabila hanya dilihat dari sudut keistimewaan bumiputera semata-mata tanpa memahami keseluruhan maksudnya. Akibatnya, ia kadangkala dipolitikkan dan dijadikan bahan untuk mengapi-apikan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Dalam usaha memelihara kepentingan masyarakat yang berbilang kaum, pelbagai langkah diambil bagi memenuhi keperluan setiap komuniti, termasuk mengiktiraf dan meraikan hari-hari kebesaran mereka sebagai cuti umum. Malah, pendekatan ini menjadi antara faktor yang meletakkan Malaysia dalam kelompok negara yang mempunyai jumlah cuti umum yang tinggi di dunia.
Walaupun ada pihak yang mempersoalkan perkara tersebut, hakikatnya pendekatan ini telah membantu mengeratkan hubungan antara kaum serta memupuk semangat saling menghormati dan memahami dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebenarnya, sikap matang dan terbuka dalam kalangan rakyat Malaysia tidaklah menghairankan apabila ditelusuri dari sudut sejarah. Sejak sekian lama, tanah air ini menjadi tempat pertemuan pelbagai bangsa, budaya dan kepercayaan.
Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, Tanah Melayu muncul sebagai pusat perdagangan dan penyebaran ilmu yang terkenal di rantau ini serta di peringkat antarabangsa. Kedudukan strategiknya telah menjadikan Melaka sebuah kota kosmopolitan yang dihuni oleh masyarakat pelbagai bangsa, hasil interaksi berterusan dengan para pedagang, cendekiawan dan pengembara dari pelbagai pelosok dunia.
Sikap terbuka inilah yang menjadikan rakyat daripada pelbagai bangsa dapat hidup secara aman dan damai.

PERTAHANKAN KEHARMONIAN
Malangnya, masih ada segelintir pihak yang memilih untuk bersikap asabiyah dengan membataskan pergaulan dalam kelompok sendiri serta sentiasa memandang serong terhadap pihak lain. Lebih membimbangkan, sikap sedemikian kadangkala turut berlaku terhadap mereka yang berkongsi agama dan bangsa yang sama, hanya kerana perbezaan pandangan, latar belakang atau pegangan tertentu.
Sebahagian daripada kita pula sering membesar-besarkan isu perkauman seolah-olah negara tidak stabil dan rakyatnya berpecah belah. Walaupun benar kadangkala terdapat masalah berkaitan kesensitifan kaum tetapi secara umumnya perkara tersebut berada dalam kawalan dan hanya bersifat sementara.
Memang tidak dapat dinafikan ada pihak yang memecah-belahkan hubungan rakyat demi kepentingan politik dan keuntungan diri. Inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Pihak sebegini turut menggunakan media sosial bagi mengeruhkan keadaan serta berusaha membakar sentimen perkauman. Hal ini bertambah parah apabila rakyat terpengaruh dengan hasutan mereka.
Menjadi bertambah buruk apabila pengamal media dan penulis berita turut mencurah minyak ketika cuba mendapatkan perhatian pembaca melalui tajuk-tajuk artikel yang sensitif.
Malang sekali, pada akhir zaman ini begitu ramai yang bukan sekadar sengaja menyebar fitnah tetapi juga sengaja menghasut orang ramai. Ada juga bangga mengaku dirinya sebagai penghasut rakyat.
Sebagai rakyat, kita semua mesti bijak dan tidak terlalu mudah mempercayai apa yang disebarkan semata-mata tanpa meneliti kesannya terdahulu. Jangan sampai kita pecahkan asas penyatuan yang telah teguh berdiri sejak sekian lama. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










