KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat susulan konflik di Iran mengubah landskap pasaran tenaga dunia dengan ketara.
Harga minyak global kini semakin tidak menentu dan cenderung meningkat, didorong kebimbangan terhadap gangguan bekalan serta jangkaan risiko yang sukar diramal.
Perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara yang terlibat secara langsung dalam konflik, malah turut menekan ekonomi negara lain, khususnya yang bergantung kepada import tenaga. Akhirnya, kenaikan harga bahan api memberi impak langsung kepada kos sara hidup rakyat di seluruh dunia.
Peperangan sering menjadi pencetus ketidaktentuan yang meluas, terutama apabila pasaran tenaga global bertindak balas terhadap spekulasi. Harga minyak tidak meningkat hanya kerana kekurangan bekalan fizikal tetapi juga kerana kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan pada masa hadapan.
Reaksi pasaran ini menyebabkan kos tenaga berubah-ubah dan sukar diramal, sekali gus menyukarkan perancangan ekonomi negara. Bagi negara yang masih bergantung kepada import petroleum, keadaan ini menambah tekanan terhadap kestabilan ekonomi domestik.
Malaysia berada dalam kedudukan yang memerlukan pengurusan dasar secara teliti dan seimbang. Sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan minyak dan gas antarabangsa, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan turun naik harga global.
Walaupun negara ini turut mengeksport sumber tenaga, namun struktur rantaian bekalan dan mekanisme harga domestik menyebabkan rakyat tetap terdedah kepada perubahan pasaran dunia. Oleh itu, kerajaan perlu merangka dasar yang mampu melindungi rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
PELINDUNG RAKYAT ATAU BEBAN FISKAL NEGARA?
Dalam konteks ini, subsidi bahan api memainkan peranan penting sebagai mekanisme perlindungan sosial. Kerajaan menggunakan subsidi untuk mengekalkan kestabilan harga runcit dan mengurangkan beban kos kepada rakyat serta perniagaan.
Langkah ini membantu mengelakkan kejutan harga yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan aktiviti ekonomi. Namun, pelaksanaan subsidi memerlukan pertimbangan yang berhati-hati kerana setiap kenaikan harga minyak global akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.
Perbelanjaan besar untuk subsidi bahan api memberi implikasi kepada keupayaan fiskal negara. Apabila kerajaan menyalurkan lebih banyak dana untuk menampung kos bahan api, maka ruang untuk membiayai sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial menjadi lebih terhad. Oleh itu, kerajaan perlu mengurus peruntukan secara bijaksana agar keperluan asas rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan pembangunan jangka panjang negara.
Selain itu, kebergantungan berpanjangan kepada subsidi berskala besar boleh melemahkan insentif untuk menggunakan tenaga secara cekap. Apabila harga bahan api dikekalkan pada tahap rendah, menyebabkan pengguna kurang terdorong untuk menjimatkan penggunaan atau beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam.
Situasi ini menunjukkan subsidi sahaja tidak cukup untuk menjamin keselamatan tenaga negara. Sebaliknya, negara memerlukan strategi yang lebih menyeluruh dan berterusan.
Walau bagaimanapun, sebarang usaha untuk merasionalisasikan subsidi perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati. Tindakan tergesa-gesa boleh memindahkan tekanan ekonomi terus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Bagi peniaga kecil, pekerja harian dan keluarga yang bergantung kepada kenderaan, kenaikan harga bahan api boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menampung kos kehidupan harian. Oleh itu, dasar yang dilaksanakan perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat.
Perubahan mekanisme subsidi bahan api turut membawa cabaran dalam pelaksanaan. Had subsidi RON95 sebanyak 200 liter sebulan, misalnya, bertujuan mengawal beban kewangan kerajaan dan mengelakkan pembaziran. Namun, tidak semua rakyat mempunyai keperluan mobiliti yang sama.
Pekerja yang perlu berulang-alik jarak jauh setiap hari lebih cepat mencapai had tersebut, sekali gus meningkatkan perbelanjaan bulanan mereka. Keadaan ini menunjukkan dasar subsidi perlu lebih fleksibel dan mengambil kira keperluan sebenar pengguna.
Tekanan kos sara hidup juga mendorong perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat. Terdapat individu yang menggunakan kad pengenalan ahli keluarga untuk mendapatkan tambahan kuota bahan api bersubsidi. Walaupun tindakan ini menyalahi peraturan, fenomena tersebut mencerminkan tekanan ekonomi yang dihadapi sebahagian masyarakat.
Ini juga menunjukkan cabaran subsidi bukan sekadar isu penguatkuasaan tetapi berkait rapat dengan struktur pekerjaan, jarak perjalanan dan keperluan harian rakyat.
Selain itu, ketidaktentuan dasar boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan. Apabila rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai hala tuju subsidi, mereka mudah berasa bimbang dan tidak pasti.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ketidakjelasan ini boleh menimbulkan persepsi ketidakadilan dan menghakis kepercayaan terhadap sistem sokongan negara. Oleh itu, komunikasi dasar yang telus dan konsisten amat penting.
Kesan perubahan subsidi bahan api juga berbeza mengikut lokasi dan corak kehidupan. Penduduk di luar bandar dan kawasan pinggir bandar lebih bergantung kepada kenderaan persendirian kerana kekurangan pengangkutan awam. Oleh itu, mereka lebih terkesan apabila subsidi dikurangkan.
Sebaliknya, penduduk bandar besar mempunyai lebih banyak pilihan mobiliti seperti pengangkutan awam. Perbezaan ini menunjukkan dasar subsidi perlu mengambil kira faktor geografi bagi memastikan keadilan yang lebih menyeluruh.
Dalam masa sama, konflik di Iran menekankan kepentingan memperkukuh keselamatan tenaga negara. Malaysia perlu mempelbagaikan sumber tenaga, membina rizab strategik dan meningkatkan pelaburan dalam tenaga alternatif seperti tenaga boleh diperbaharui.
Langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran global yang tidak menentu dan memastikan kestabilan ekonomi dalam jangka panjang.
Kerajaan juga perlu mengubah pendekatan daripada bersifat reaktif kepada lebih proaktif dalam merancang dasar tenaga. Pembaharuan perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan berpandukan data dan analisis yang tepat.
Selain itu, usaha memperkukuh pengangkutan awam, meningkatkan kesedaran penggunaan tenaga dan menggalakkan amalan bekerja dari rumah perlu diperluas sebagai langkah jangka panjang.
Isu subsidi bahan api dalam konteks konflik global mencerminkan cabaran besar dalam pengurusan ekonomi negara. Kerajaan perlu menyeimbangkan antara keperluan melindungi rakyat dan memastikan kestabilan fiskal.
Pendekatan yang berpandangan jauh, inklusif dan berasaskan keperluan sebenar rakyat amat penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara dalam dunia yang semakin tidak menentu.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Siti Sarawati Johar ialah Pensyarah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).











