APABILA harga minyak meningkat, tumpuan masyarakat lazimnya beralih kepada kos mengisi tangki kenderaan. Namun, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif Budi Madani yang menyasarkan pemberian subsidi kepada warganegara Malaysia yang layak.
Melalui mekanisme ini, rakyat Malaysia yang memiliki MyKad serta lesen memandu yang sah boleh menikmati harga petrol bersubsidi dengan had penggunaan bulanan tertentu.
Sebelum ini, had subsidi ditetapkan sekitar 300 liter sebulan dan kemudiannya diselaraskan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April 2026 memandangkan ketidaktentuan harga minyak global serta tekanan terhadap bekalan tenaga.
Pelarasan ini dibuat berdasarkan dapatan bahawa purata penggunaan petrol dalam kalangan penerima subsidi hanya sekitar 100 liter sebulan, manakala sebahagian besar pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter.

Bagi kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan motosikal atau kenderaan kecil, jumlah ini masih mencukupi untuk keperluan mobiliti asas seperti perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan urusan harian.
Namun, cabaran sebenar bukan lagi tertumpu kepada kos bahan api semata-mata, sebaliknya kepada kesan tidak langsung kenaikan harga minyak terhadap kos sara hidup secara keseluruhan.
Walaupun kos petrol bagi pengguna yang layak masih terkawal, kesan sebenar kenaikan harga minyak lebih ketara berlaku secara tidak langsung dalam rantaian ekonomi.
Apabila kos bahan api meningkat, kos pengangkutan barangan dari kawasan pengeluaran ke pasar borong dan seterusnya ke kedai runcit turut meningkat.
Pembekal makanan, pengusaha logistik, peniaga kecil dan perkhidmatan penghantaran terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi, termasuk penggunaan diesel bagi lori pengangkutan, caj penghantaran serta kos penyelenggaraan kenderaan.
Kebiasaannya, peningkatan kos ini akan dipindahkan secara berperingkat kepada pengguna melalui pelarasan harga barangan.
Kesan ini amat ketara dalam sektor makanan kerana hampir semua bahan mentah perlu melalui proses pengedaran sebelum sampai kepada pengguna. Sayur-sayuran dari kawasan pertanian, ikan dari jeti pendaratan serta bahan mentah lain perlu dihantar menggunakan pengangkutan darat.
Apabila kos pengangkutan meningkat, harga runcit turut mengalami pelarasan. Walaupun kenaikan bagi setiap barangan mungkin kecil, kesannya menjadi besar apabila melibatkan keseluruhan bakul perbelanjaan isi rumah.
Kesan tidak langsung ini juga berlaku secara beransur-ansur. Harga makanan harian meningkat sedikit demi sedikit, kos perkhidmatan bertambah dan perbelanjaan rutin menjadi lebih tinggi tanpa disedari.
Caj penghantaran makanan, perkhidmatan e-hailing, kos pengangkutan peniaga kecil serta harga makanan di kedai dan gerai turut mengalami pelarasan.
Walaupun setiap kenaikan kelihatan kecil, kesannya terkumpul dan secara perlahan menghakis kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah. Inilah bentuk “tekanan senyap” yang menjejaskan kesejahteraan golongan miskin.
Mereka mungkin masih mampu mengisi minyak pada harga bersubsidi, namun bakul barang dapur dan perbelanjaan harian semakin mahal.
Ketahanan Isi Rumah
Kesan tidak langsung kenaikan harga minyak akhirnya memberi tekanan kepada ketahanan ekonomi isi rumah. Ketahanan ekonomi merujuk kepada keupayaan sesebuah keluarga menyerap peningkatan kos tanpa menjejaskan keperluan asas.
Apabila harga makanan, barangan dapur dan perkhidmatan meningkat secara beransur-ansur akibat kos tenaga, perbelanjaan bulanan isi rumah turut meningkat. Walaupun setiap kenaikan kelihatan kecil, kesannya menjadi ketara apabila melibatkan keseluruhan kos sara hidup.
Perbelanjaan yang sebelum ini mencukupi menjadi semakin ketat apabila harga makanan, pengangkutan barangan dan kos perkhidmatan meningkat serentak.
Dalam keadaan ini, isi rumah terpaksa menyesuaikan corak perbelanjaan harian seperti mengurangkan kuantiti pembelian, memilih barangan alternatif yang lebih murah atau mengehadkan perbelanjaan tertentu bagi memastikan keperluan asas masih dapat dipenuhi.
Apabila perbelanjaan harian meningkat dan simpanan semakin berkurang, isi rumah menjadi lebih terdedah kepada kejutan kewangan lain seperti kos kesihatan atau kerosakan kenderaan.
Dalam jangka panjang, keadaan ini menjadikan ketahanan ekonomi keluarga berpendapatan rendah semakin rapuh kerana sebarang kenaikan kos tambahan akan terus memberi tekanan kepada keseimbangan kewangan mereka.
Subsidi Bahan Api
Dari sudut dasar, subsidi bersasar bahan api merupakan langkah yang rasional kerana ia memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan serta mengurangkan ketirisan.
Namun, subsidi bahan api hanya mengurangkan beban langsung. Ia tidak mampu mengekang sepenuhnya kesan berantai kenaikan harga minyak terhadap kos barangan dan perkhidmatan. Oleh itu, perlindungan terhadap golongan miskin perlu melangkaui pendekatan subsidi semata-mata.
Dalam menghadapi kesan tidak langsung akibat kenaikan harga minyak, langkah dasar yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengawal peningkatan kos sara hidup.
Antara pendekatan penting ialah memperkukuh pemantauan harga barangan keperluan asas, terutamanya apabila berlaku perubahan ketara dalam kos tenaga dan logistik.
Penguatkuasaan terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan peningkatan kos tidak dipindahkan secara berlebihan kepada pengguna.
Program intervensi harga seperti jualan murah, pasar komuniti dan inisiatif jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna wajar diperluaskan.
Pendekatan ini dapat memendekkan rantaian pengedaran dan seterusnya mengurangkan kos yang akhirnya ditanggung oleh isi rumah berpendapatan rendah.
Bantuan bersasar yang responsif terhadap perubahan kos sara hidup juga boleh membantu isi rumah B40 mengekalkan tahap perbelanjaan asas mereka apabila harga barangan meningkat.
Pendekatan berasaskan komuniti turut penting dalam mengurangkan tekanan kos hidup. Koperasi pengguna, pembelian secara berkumpulan serta inisiatif pasar komuniti mampu membantu keluarga B40 mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.
Pembelian terus daripada pembekal tempatan atau pengeluar kecil juga boleh mengurangkan kos pengedaran. Walaupun langkah ini kelihatan kecil, kesannya menjadi signifikan apabila dilaksanakan secara kolektif dan berterusan.
Dengan subsidi bersasar yang telah mengurangkan beban langsung, cabaran sebenar kini terletak pada kesan berantai terhadap harga barang dan perkhidmatan.
Justeru, perlindungan terhadap golongan miskin memerlukan pendekatan yang lebih luas dan bersepadu merangkumi kestabilan harga makanan, bantuan bersasar yang responsif serta pengukuhan jaringan sokongan sosial di peringkat komuniti.
Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan jangka pendek, malah meningkatkan keupayaan isi rumah B40 untuk menghadapi ketidaktentuan harga minyak pada masa hadapan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










