Setiap kali tiba 8 Mac, iaitu Hari Wanita Sedunia, media sosial tiba-tiba akan menjadi sangat romantik. Bunga muncul di mana-mana walaupun sebenarnya bukan semua wanita sukakan bunga. Ucapan tentang betapa hebatnya wanita juga bertalu-talu. Sama ada daripada lelaki atau sesama wanita.
Tetapi itulah, ikhlas atau tidak ucapan itu, tolak tepi dulu. Yang penting bagi ucapan. Esok lusa semuanya kembali macam biasa.
Begitulah ironinya sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Ia sebenarnya bukan sekadar hari untuk memberi bunga atau ucapan puitis. Hari ini wujud kerana sejarah panjang perjuangan wanita yang tidak mahu lagi hidup dengan ‘menunggu dan menerima seadanya’.
Sejarahnya bermula pada awal abad ke-20 apabila pekerja wanita di Amerika dan Eropah mula bangkit menuntut hak pekerjaan yang lebih adil dan gaji setimpal, waktu kerja munasabah dan hak mengundi.
Pada tahun 1910, aktivis Jerman, Clara Zetkin mencadangkan satu hari khas untuk memperjuangkan hak wanita dalam persidangan wanita sosialis antarabangsa.
Cadangan itu diterima. Maka lahirlah sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut setiap 8 Mac. Maknanya jelas, ini hari memperingati perjuangan. Bukan hari minta simpati mahupun minta dipuji.
Di Malaysia, sumbangan wanita sebenarnya terlalu banyak untuk dihitung. Ada yang memimpin organisasi besar. Ada yang mencipta dasar negara. Ada juga yang diam-diam memastikan masyarakat terus dibantu tanpa pernah masuk berita utama atau heboh-heboh dalam media sosial.
Contohnya, semangat luar biasa guru-guru wanita di sekolah luar bandar yang serba kekurangan dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa atau jururawat dan doktor yang merawat dan berjaga malam menjaga pesakit yang bukan keluarga sendiri atau pengasuh yang menjaga bukan anak-anak sendiri ketika ibu bapa mereka bekerja.
Ada wanita yang membuka perniagaan kecil dari dapur rumah menjual kuih, nasi lemak, atau kek secara dalam talian. Perniagaan yang mungkin nampak kecil pada orang lain, tetapi dari situlah yuran sekolah anak-anaknya dan sewa rumah dibayar. Mereka ibu tunggal atau isteri yang tidak pernah lelah membantu suami.
Cuba bayangkan negara ini tanpa mereka!
Sumbangan wanita bukan hanya di parlimen, masuk politik atau di bilik lembaga pengarah. Ia juga berlaku di dapur, di kelas sekolah, di kaunter klinik, atau di dalam kereta Grab ketika menghantar penumpang. Mereka ini juga memberi inspirasi tentang kekuatan dan semangat kepada orang lain.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di negara ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 10 Mac ini dengan tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”.
Namun dalam keghairahan memperkatakan tentang ‘memartabatkan wanita’, ada satu perkara yang perlu disebut dengan jujur bahawa martabat tidak datang daripada belas ihsan. Ia datang daripada usaha.
Kadang-kadang kita terlalu berharap dunia memberi ‘kelonggaran’ kepada wanita. Kononnya kerana kita wanita, maka kita perlu diberi laluan khas. Janganlah ada gerakan feminisme membuta tuli.
Hakikatnya dunia jarang begitu baik. Kalau baik pun, selalu ada makna di sebaliknya.
Bagi saya, jika wanita mahu dihormati, wanita perlu memastikan kerja-kerjanya sukar dipertikaikan. Bukan ‘menjual gender’ atau kecantikan untuk mendapatkan tempat. Tetapi menjual hasil kerja.
Ini mungkin ayat yang pedih, tetapi perlu disebut. Dalam dunia profesional, gender dan kecantikan mungkin membuka pintu. Tetapi sebenarnya hanya kemampuan yang membuat orang terus membuka pintu itu untuk kita.
Jadi, untuk wanita yang benar-benar mahu dihormati dalam pekerjaan, prinsipnya hanya satu iaitu kerja keras. Lupakanlah stigma yang wanita ada ‘laluan ekspres’ sebab rupa atau kelembutan. Itu semua karut.
Jawatan tidak sepatutnya datang kerana gender dan bermulut manis tetapi perlu ada ilmu, kemahiran, disiplin dan jangan hanya mahu kerja senang. Inilah mata wang sebenar dalam dunia kerja.
Sebab itu wanita yang benar-benar dihormati dan dipandang tinggi bukan sekadar pandai bergaya tetapi boleh bekerja keras tanpa alasan dan tidak menjadikan keluarga, anak, suami sebagai satu kekangan untuk memberikan komitmen.
Tokoh wanita, Tan Sri Rafidah Aziz sebelum ini secara terbuka menyatakan rasa kurang senang dengan sistem kuota (seperti kuota 30% wanita dalam lembaga pengarah). Bagi beliau, wanita tidak seharusnya menjadi sekadar ‘pengisi kuota’ (quota fillers) kerana ia boleh merendahkan martabat mereka; wanita perlu dilantik berdasarkan kecekapan, kemahiran, dan merit.
Beliau yang amat sinonim dengan gelaran ‘iron lady’ itu juga menghormati wanita yang memilih untuk berhenti kerja demi keluarga. Baginya, sumbangan seorang ibu yang membesarkan anak-anak yang berguna kepada masyarakat adalah sama bernilainya dengan seorang CEO, asalkan ia adalah pilihan sendiri yang mendatangkan kepuasan.
Dan pada setiap kali sambutan Hari Wanita juga, pasti ada juga soalan klasik dalam media sosial yang muncul: “Kalau ada Hari Wanita, kenapa tiada Hari Lelaki?” Sebenarnya ada. Ia dipanggil Hari Lelaki Antarabangsa, disambut pada 19 November.
Cuma bezanya, ia tidak begitu popular. Bukan kerana lelaki tidak penting. Tetapi kerana sejarah sambutan Hari Wanita lahir daripada gerakan perjuangan hak yang panjang sesuatu yang tidak berlaku dalam konteks yang sama untuk lelaki.
Lagi pun, marilah kita jujur sedikit. Lelaki tidak pernah perlu memperjuangkan hak untuk bekerja, mengundi atau memiliki harta seperti yang wanita lakukan dahulu. Jadi, tidak hairanlah jika Hari Wanita mempunyai sejarah yang lebih dramatik.
Namun dalam dunia moden hari ini, perjuangan sebenar bukan lagi sekadar antara lelaki dan wanita. Ia tentang kemampuan. Wanita tidak perlu meminta ruang jika mereka mampu membina ruang itu sendiri.
Dan sebenarnya ramai wanita Malaysia sudah melakukannya dalam senyap, tidak perlu bising-bising. Mereka hanya bekerja.
Jadi, apabila tiba 8 Mac hari ini, mungkin kita boleh menerima ucapan “Selamat Hari Wanita” dengan senyuman. Tetapi martabat wanita tidak datang daripada satu hari sambutan. Ia datang daripada ribuan hari bekerja keras. Dan wanita yang benar-benar memahami makna itu tidak menunggu dunia atau sesiapa sahaja memberikan mereka tempat. Mereka yang membinanya sendiri.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










