KECENDERUNGAN yang menjadi-jadi untuk menggunakan nama dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi untuk entiti rasmi negeri serta negara, bukan sahaja tidak nasionalistik dan patriotik malah hendaklah dihentikan dengan serta-merta dengan penuh kesedaran juga keinsafan.
Ini kerana kecenderungan sebegini menjejaskan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Oleh itu, perkara ini tidak boleh lagi dibenarkan berterusan tanpa adanya rasa bersalah, termasuklah oleh kerajaan sendiri.
Ini dapat dilihat apabila kerajaan hanya bukan sahaja membiarkannya berlaku dengan acapnya, malah perbuatan itu tidak ditegur.
Sehubungan ini, bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang berperanan sekali gus selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak dihormati langsung antaranya dalam sektor awam dan swasta.
Terbaharu sebuah stadium di ibu negara yang mahu dijadikan pusat sukan sepak takraw diberikan jolokan ‘Home of Sepak Takraw’. Sewajarnya hanya jolokan dalam bahasa Melayu yang patut digunakan.
Ini mungkin bagi sesetengah pihak penggunaan ayat ‘Rumah Sepak Takraw’ sebagai jolokan dalam bahasa Melayu kurang menarik. Hal ini kerana rumah adalah perkataan biasa sahaja selain tidak mempunyai nilai eufoni, yakni tidak cukup enak dari segi pendengaran.
Apa-apa jua, syabas kepada pihak terbabit kerana tidak langsung mengkesampingkan bahasa Melayu, walaupun dalam bentuk terjemahan daripada yang dalam bahasa Inggeris.
Kekhuatiran utama ialah jolokan dalam bahasa Melayu mungkin jarang digunakan atau cepat dilupakan sejurus diperkenalkan. Sebaliknya, jolokan dalam bahasa Inggeris berpotensi menjadi popular dan dijadikan satu-satunya panggilan untuk stadium itu.
Apabila perkataan seperti ‘rumah’ dianggap biasa dan tiada keistimewaan, maka penggunaan istilah bahasa Melayu lain boleh memastikan nama itu bukan sahaja menjadi popular tetapi diterima dengan baik oleh masyarakat.
Contohnya, perkataan ‘pangkalan’ boleh digunakan. Namun, ia mungkin dianggap kurang sesuai kerana masih perkataan biasa dan agak panjang, dengan tiga suku kata.
Mengenai kepanjangan perkataan, etnik Melayu sebagai penutur asli bahasa Melayu biasanya kurang gemar menggunakannya. Oleh itu, ramai yang memendekkan perkataan panjang, terutamanya yang mempunyai tiga suku kata atau lebih.
Sebagai contoh, perkataan ‘dahulu’, ‘hadapan’, ‘sahaja’ dan ‘semenjak’ dipendekkan menjadi ‘dulu’, ‘depan’, ‘saja’ dan ‘sejak’. Walaupun proses ini bermula sebagai fenomena bahasa lisan yang tidak formal, namun banyak bentuk yang dipendekkan kini diterima sebagai bentuk baku, sesuai untuk penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.
Seterusnya didapati sebilangan perkataan empat suku kata dipendekkan. Antaranya ’bahagian’ dan ‘senantiasa’ menjadi ‘bagian’ dan ‘sentiasa’.
Berbalik perkataan ‘pangkalan’, walaupun panjang tetapi penggunaannya tepat dalam pergertiannya sebagai pusat bagi permainan sepak takraw.
Malah penggunaan perkataan ‘hab’ daripada bahasa Inggeris ‘hub’, yang diserapkan ke dalam bahasa Melayu, boleh digantikan dengan perkataan bahasa Melayu pusat.
Ini kerana perkataan pusat memang mendukung maksud yang ada pada hab yang kini sudah dijadikan antara kosa kata bahasa Melayu.
Dengan ini, memang tiada keperluan langsung untuk menggunakan perkataan bahasa Inggeris. Dalilnya adalah perkataan ‘pusat’ mampu membawa makna tempat terpenting untuk sesuatu, antaranya kegiatan, sama seperti yang didukung perkataan hab.
Oleh itu, untuk keperibadian kebangsaan dalam konteks kedua-dua identiti nasional dan budaya, menjadi kewajipan nasional untuk kita mengungkapkan sesuatu itu sepenuhnya dalam bahasa negara sahaja.
Sehubungan ini, bentuk bahasa Melayu, khususnya yang sudah mantap penggunaannya walaupun merupakan kata serapan daripada bahasa lain, apatah lagi yang memang asal bahasa Melayu, wajib digunakan.
Sehubungan ini, Stadium Titiwangsa bukan Hab Sepak Takraw dengan jolokan ‘Home of Sepak Takraw’. Ia harus digantikan Pusat Sepak Takraw dengan jolokan ‘Pangkalan Sepak Takraw.’
Dengan namanya dalam bahasa Melayu, stadium berkenaan adalah tempat paling penting untuk sepak takraw dari segala sisi, yakni pusat untuk sukan atau permainan itu. Manakala sebagai pangkalan, stadium itu merupakan tempat untuk apa-apa sahaja tentang sepak takraw, sama ada latihan, pertandingan mahupun sebarang perkara yang lain tentang sukan atau permainan itu.
Jika perkataan ‘pangkalan’ mahu ditolak kerana terlalu panjang, maka boleh sahaja digantikan dengan perkataan ‘bagan’ atau ‘markas’. Dalam hal ini, ‘bagan’ adalah kata seerti kepada ‘pangkalan’.
Manakala markas adalah kiasan untuk kediaman dalam bahasa Inggeris.dan rumah dalam bahasa Melayu.
Natijahnya, menjadi kesalahan nasional untuk tidak mahu menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dalam hal rasmi rasmi ataupun tidak.
Di Malaysia, penamaan yang menggunakan bahasa asing bukan sahaja kurang sesuai, malah boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara. Fenomena ini berlaku apabila bahasa kebangsaan diketepikan demi bahasa asing yang lebih berkuasa, berprestij dan glamor.
Keadaan ini sangat bahaya kerana boleh menyebabkan kepupusan bahasa, sama ada hilang sepenuhnya, berkurangan dalam masyarakat atau melemahkan kesinambungan generasi terhadap bahasa Melayu.

PERANJAKAN BAHASA
Bentuk kepupusan bahasa Melayu yang kini berlaku ialah peranjakan bahasa. Ia merujuk keadaan bahasa Melayu, yang dahulu besar dan penting, kini menjadi bahasa yang kecil dan kurang dihargai.
Peranan bahasa Melayu semakin tergantikan oleh bahasa Inggeris, sama ada secara mendadak atau perlahan-lahan. Gejala ini boleh membawa kepada kepupusan bahasa Melayu, di mana bahasa yang pernah penting kini kehilangan kedudukan.
Oleh itu, kita perlu memastikan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam penamaan, terutamanya bagi entiti rasmi negara. Jangan sekali-kali menggantikan atau mencampurinya dengan bahasa Inggeris. Nama sesuatu entiti harus dalam bahasa Melayu sahaja, supaya dikenali dan dihargai, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Dalam hal ini, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian PO.1.1.1, yang diperkuatkan pada Oktober 2025 bagi menyokong Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020, menjadi rujukan yang penting dan wajib dipatuhi. Pekeliling ini menekankan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan kerajaan, termasuk nama, tema, tajuk dan kandungan program.
Dalam urusan penamaan, kerajaan perlu menjadi teladan yang baik supaya rakyat turut membanggai, menyayangi dan mentaati bahasa Melayu. Sebagai bahasa negara, yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa Melayu wajar disanjungi sepenuhnya. Gunakan bahasa Melayu sahaja, kerana ia menjadi penanda identiti dan nasionaliti kita. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










