BM, sejarah tidak boleh sekadar lulus sahaja

BM, sejarah tidak boleh sekadar lulus sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERKINI ada ura-ura tentang cadangan gred lulus sahaja pada mata pelajaran sejarah peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sebagai antara syarat bagi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu). Walaupun khabar angin sahaja, ia sudah dibantah keras oleh sesetengah pihak.

Ini kerana ia bukan syarat yang pernah mahu dikenakan pada satu ketika dahulu. Pada masa itu, syarat mata pelajaran bahasa Melayu peringkat SPM sahaja yang mahu dikenakan. Oleh itu, syarat mata pelajaran sejarah kini dianggap sebagai tidak menghormati rundingan dahulu.

Sebenarnya syarat sebahagian SPM sahaja, yakni hanya kelulusan kedua-dua mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah pada gred yang ditentukan, adalah langkah salah dari awalnya lagi. Ini kerana SPM tidak boleh sesekali diduduki sedemikian, iaitu hanya diambil sebahagian sahaja.

Sebaliknya, SPM hendaklah diduduki sepenuhnya untuk apa-apa jua tujuannya. Ini termasuklah untuk tujuan pengiktirafan UEC. Ini penting agar lepasannya ikut dapat memohon dengan bebasnya, untuk kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam persekutuan dan sektor pekerjaan kerajaan pusat.

SYARAT hanya lulus bagi kedua-dua mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah adalah langkah salah dari awal lagi.

Sesetengah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menawarkan UEC, mempunyai program yang pelajarnya juga mengambil SPM dengan sepenuhnya. Inilah antara cara yang afdal sifatnya. Sehubungan ini, sepatutnya SMPC juga ikut menawar STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) untuk diduduki oleh pelajarnya.

Natijahnya ialah hanya SPM dan STPM dan bukan yang lain-lain, termasuklah peperiksaan A-Level dan segala macam yang lain dari barat. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan, iaitu hanya mengguna pakai sijil peperiksaan kendalian kita sendiri sahaja.

Dengan ini, tempat terhad di kesemua universiti awam persekutuan akan pertama-tamanya diberikan kepada pelajar yang setia mengikuti sistem pendidikan kebangsaan sepenuhnya. Sebenarnya mereka inilah yang menjayakan sistem pendidikan negara yang dicemuh pihak tertentu sehingga tidak mahu berada di dalamnya.

Sebenarnya syarat kelulusan hanya dua mata pelajaran peringkat SPM itu adalah bukan sahaja perhitungan terbaik, juga ia tawaran yang menguntungkan. Namun oleh sebab sikap rakus, ia masih mahu ditawarkan lagi.

Dari satu segi, ia terbaik dan lumayan sekali kerana hanya dua mata pelajaran sahaja yang diperlukan untuk syarat SPM itu. Namun sebagai kelompok rakus, mereka ini tetap mahu keuntungan pada sepanjang masa. Dalam hal ini, mereka masih terus-terusan mahu kelebihan lagi dalam keadaan yang sudah pun banyak menguntungkan mereka.

Dari segi lain, bantahan tentang syarat kelulusan mata pelajaran sejarah memperlihat sikap kurangnya semangat kebangsaan pada mereka ini. Ini kerana sejarah merupakan pendidikan penting, malah wajib dalam proses pembentukan negara bangsa, lebih-lebih lagi tentang naratif tanah air dalam konteks patriotisme.

Apa-apa jua, SPM tidak boleh sesekali digantikan dengan hanya mengambilnya secara sebahagian sahaja dan pula dengan hanya memperoleh gred lulus yang sederhana sahaja. Sewajarnya SPM hendaklah diambil sepenuhnya sebagai sijil persekolahan di negara ini dengan peraturan lulus yang telah ditetapkan.

Dengan adanya bantahan terhadap syarat mata pelajaran sejarah dan tiadanya keyakinan terhadap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, walaupun oleh sebahagian rakyat sahaja, kita sebenarnya menghadapi masalah besar.

Ia tidak lain tidak bukan kegagalan proses pembentukan negara bangsa. Sehubungan ini, negara bangsa merujuk kepada ikatan rakyat dari semua etnisiti sebagai komuniti nasional yang bersatu padu, untuk sama-sama mendukung untuk menjayakan aspirasi nasional.

Dengan ini, ia bermakna etnik Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak hendaklah bergerak sederap sebagai satu kesatuan dalam merealisasikan hasrat negara.

Sesungguhnya sebagai negara bangsa, tidak boleh ada satu etnisiti pun atau puak dalam etnisiti itu, yang tidak mahu bersama-sama dalam usaha menjadikan hasrat negara tertentu itu sebagai kenyataan nasional.

Antara aspirasi nasional itu ialah gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, yang berperanan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Selain ini, aspirasi nasional lain ialah kesediaan berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu oleh etnik bukan Melayu setelah diberikan kerakyatan.

Malangnya setelah hampir tujuh dasawarsa tertubuhnya negara ini, kita masih mendapati adanya rakyat, lebih-lebih lagi daripada golongan hari ini, yang tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik, apatah lagi menguasainya pada tahap tinggi.

Begitu juga halnya apabila adanya golongan hari ini yang tidak mengetahui cara hidup etnik lain. Ini dapat dilihat dengan jelas sekali pada etnik bukan Melayu, khususnya Cina yang terus-terusan jahil terhadap budaya etnik Melayu yang merupakan kelompok asal selain majoriti dan dominan di negara ini.

Kejahilan ini antaranya adalah sebab etnik Cina tidak mahu berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu secara integratif. Yang terjadi pada proses integrasi itu ialah ia dilakukan sekadar untuk tujuan instrumental semata-mata.

Hal ini dapat dilihat pada pengetahuan bahasa Melayu yang hanya diperoleh untuk syarat lulus kepujian pada mata pelajaran bahasa Melayu sahaja. Ia tidak mahu dipelajari lebih daripada itu.

Antaranya untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu, yakni bukan sahaja cekap, juga bangga berbahasa Melayu sebagai salah satu daripada bahasa penting etnik Cina.

Sebenarnya bahasa Melayu tidak pernah mahu dianggap penting oleh etnik Cina. Ini dapat dilihat pada ulasan mereka di media sosial kini. Sebenarnya sikap tidak positif terhadap bahasa Melayu dalam kalangan etnik Cina sudah lama wujud. Ia mulai dikesan apabila bahasa Melayu mahu dimartabatkan sebagai bahasa negara.

Sehubungan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, ia boleh dikatakan tidak ditentang langsung dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Ini antaranya kerana sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah hanya simbolisme untuk sebilangan perkara. Ini termasuklah kedaulatan selain wadah perpaduan negara.

Dengan kata lain, bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak ada unsur penggunaannya yang wajib. Ini sangat berbeza dengan peranan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu wajib digunakan dalam semua sistem negara. Antaranya pendidikan, perundangan dan pentadbiran.

Dalam ranah rasmi dan formal inilah penggunaan bahasa Melayu mahu ditentang, kekadang dengan habis-habisan. Penentangan ini jelas kelihatan dalam sistem pendidikan negara apabila peranan bahasa Melayu mahu diserlahkan lagi atas pelbagai alasan munasabah.

Antaranya penambahan waktu pendidikan bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang muridnya rata-rata sangat lemah dalam mata pelajaran ini. Ia ditentang dengan kuat kerana dikhuatiri tindakan penambahan itu akan pasti menjejaskan identiti SJKC.

Sebenarnya ia usaha pendidikan murni, iaitu untuk memastikan setiap rakyat mempunyai pengetahuan baik dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Sebenarnya inilah hasrat setiap negara berdaulat yang ingin melihat rakyatnya ikut menguasai bahasa negara pada tahap tinggi, yakni betul-betul cekap semasa berkomunikasi dan bukan hanya cemerlang pada keputusan peperiksaan semata-mata. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN