MALAYSIA, negara bertuah yang pada ketikanya hari-hari bermakna akan kita telusuri bersama-sama. Salam Tahun Baharu Cina dan Salam mengimarahkan bulan Ramadan sebagai permulaan kepada meluaskan segala kebaikan.
Walaupun kita berlainan bahasa, warna kulit, etnik dan keturunan, semua kepelbagaian ini kita rangkumkan dengan semangat muhibah dan harmoni demi perpaduan Malaysia seutuhnya.
Menelusuri semangat Ramadan, kami berdua ingin berpesan agar semua kita terus tekal menjaga kesihatan diri dan juga persekitaran kita. Kami berharap semua kita dapat memulakan budaya pintar dalam setiap tindak-tanduk kita pada bulan yang mulia ini.
Mengapa budaya pintar? Budaya pintar akan membantu kita melaksanakan perancangan dengan teliti dan sudah tentu hasilnya juga akan dapat memberikan faedah atau manfaat kepada sekeliling kita.
Bulan Ramadan juga boleh dijadikan langkah awal untuk lebih pintar dalam menguruskan perbelanjaan diri dan keluarga.
Tidak bermakna anda tidak boleh menikmati juadah di bazar kegemaran anda, tetapi bagaimana dengan budaya pintar akan membuatkan anda dapat merancang semuanya dengan baik dan anda pasti berpuas hati dengan hasilnya kelak.
Kisah Ramadan pada tahun ini mungkin ada keunikan tersendiri kepada kita semua. Namun usahlah kita melupakan saudara-saudara kita yang mungkin dalam serba kekurangan pada saat ini. Program SARA 2026 oleh kerajaan rupa-rupanya sangat dinanti-nantikan oleh ramai orang.
Kita juga dapat merasakan kebahagiaan keluarga yang seronok berbelanja dengan menggunakan kad pengenalan masing-masing.
Kegembiraan ini lebih terpancar pada wajah anak-anak yang akhirnya dapat menggenggam sekotak air coklat yang dibenarkan oleh ibu ayah untuk membelinya. Kisah terpencil ini amat bermakna, kerana setiap kita berhak untuk menikmati bahagia walaupun dengan sekotak susu coklat.
Dalam keseronokan beli-belah, terdengar kata-kata yang dilafazkan oleh sesetengah daripada kita.
Kedengarannya tiada apa-apa yang salah tapi bila kata ‘bodoh’, ‘bebal’, ‘buta’, ‘bengap’ (sekadar contoh), meluncur laju daripada tutur kita pada bulan yang mulia ini, ayuh kita tuturkanlah kata-kata yang murni dan bijak setiap hari dan moga-moga tutur murni ini akan kekal selama-lamanya dalam diri kita.
Seluruh masyarakat perlu membudayakan hal yang pintar termasuk juga dalam pintar berbahasa.

Baru-baru ini, kerajaan telah melancarkan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 sebagai Pemangkin Pemerkasaan Bahasa Melayu.
Usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu ini turut selari dengan Pelan Strategik KPT 2026, yang menekankan pembangunan insan berteraskan nilai, identiti nasional dan daya saing global.
KPT meletakkan bahasa sebagai komponen penting dalam ekosistem pendidikan tinggi, bukan sekadar alat komunikasi akademik, tetapi sebagai wahana pembentukan pemikiran, nilai dan jati diri mahasiswa.
Dalam kerangka ini, bahasa Melayu terus diperkasa sebagai bahasa ilmu, bahasa penyelidikan dan bahasa penyatuan, tanpa menafikan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa lain dalam dunia global.
Isu berkaitan bahasa turut menerima titah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini iaitu sistem pendidikan baharu perlu selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras.
Kedengaran tegas namun dalam titah ini baginda Tuanku menekan kesatuan yang utuh dalam jiwa rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai etnik dan sejarah agar menghayati semangat dan kasih sayang seorang raja memerintah kepada seluruh rakyatnya.
Raja yang memerintah memiliki tanggungjawab mutlak agar rakyat yang dipimpinnya menghayati liku-liku sejarah negara ini dengan sebaik-baiknya dan sudah tentu perpaduan ini diperkukuh oleh bahasa kebangsaan kita.
Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa rasmi yang termaktub dalam dokumen perundangan, tetapi merupakan asas pembentukan jati diri, sejarah dan perpaduan nasional.
Dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia, bahasa kebangsaan berfungsi sebagai titik temu bersama yang memungkinkan rakyat daripada latar belakang berbeza berinteraksi di atas landasan yang sama.
Pelan Strategik KPT 2026 turut menekankan penghasilan graduan holistik yang mempunyai keupayaan dwibahasa dan pelbagai bahasa, namun tetap berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan simbol kontrak sosial negara.
Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat nilai hormat, termasuk hormat kepada bahasa, budaya dan sejarah negara.
Melalui pengukuhan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran, penulisan ilmiah, wacana intelektual dan komunikasi institusi, pendidikan tinggi berperanan sebagai benteng terakhir memelihara kemurnian bahasa kebangsaan dalam era tanpa sempadan.
Selain itu, KPT juga memberi penekanan kepada pemerkasaan budaya ilmu tempatan melalui penerbitan, penyelidikan dan inovasi berbahasa Melayu agar bahasa ini tidak terpinggir dalam arus globalisasi akademik.
Langkah ini penting bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa pemikiran tinggi, mampu membicarakan isu sains, teknologi, kemasyarakatan dan peradaban secara bermakna.
Dengan sokongan dasar yang konsisten, bahasa Melayu bukan sahaja kekal relevan, malah berfungsi sebagai jambatan antara generasi dan sebagai pengikat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
Peranan pelbagai pihak adalah penting dalam memastikan bahasa Melayu terus relevan dan berdaya saing:
• Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT): Memastikan bahasa Melayu digunakan secara efektif dalam pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi, sambil menggalakkan penguasaan pelbagai bahasa lain.
• Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM): Mengintegrasikan bahasa kebangsaan dalam kurikulum sekolah, membina asas jati diri dan memupuk nilai hormat terhadap bahasa, budaya, dan sejarah negara.
• Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP): Memperkasa standard bahasa, mendorong penghasilan bahan ilmiah dan kreatif berbahasa Melayu, serta memelihara kemurnian bahasa kebangsaan.
• Rakyat: Sebagai pengguna aktif bahasa Melayu, menyokong penggunaan bahasa ini dalam komunikasi harian, media, wacana intelektual dan inovasi budaya tempatan.
Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani, menjadikan bahasa Melayu sebagai simbol kontrak sosial negara, jambatan antara generasi, dan pengikat perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.
Dengan kerjasama semua pihak, bahasa Melayu bukan sahaja kekal relevan, malah mampu berkembang sebagai bahasa pemikiran tinggi dan bahasa ilmu di peringkat global.
Rakyat berpemikiran tinggi akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia dengan minda kelas pertama dalam apapun situasi.
Minda kelas pertama akan membudayakan dirinya menjadi pintar dan setiap yang dituturkannya juga adalah tutur yang pintar. – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










