DALAM landskap politik Malaysia, jawatan nombor dua kelihatan sebagai kedudukan strategik iaitu hampir dengan kuasa dan berpotensi menimbulkan ketegangan.
Kerusi timbalan presiden parti kerap dikaitkan dengan konflik dalaman, seolah-olah membawa badi yang berulang dari satu generasi ke generasi.
Fenomena ini bukan asing, ia berlaku dalam UMNO diulang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini kembali menghantui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Coraknya hampir sama yang mana hubungan bermula dengan kerjasama bertukar menjadi persaingan dan akhirnya mencetuskan perpecahan terbuka atau senyap.
Dalam UMNO, perseteruan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi rujukan utama, setiap kali isu kerusi nombor dua dibincangkan.
Anwar pada suatu ketika dilihat sebagai pelapis paling berpotensi yang mana kenaikannya yang pantas, sokongan akar umbi meluas dan imejnya menonjol di peringkat antarabangsa.
Namun, kedudukan sebagai timbalan presiden bukan sekadar peranan pentadbiran, ia simbol penggantian. Apabila seorang timbalan presiden dilihat terlalu bersedia, presiden pula mula berdepan persoalan tentang kedudukan sendiri.
Krisis Ekonomi Asia 1997 mempercepatkan pertembungan tersebut. Perbezaan pandangan berubah menjadi krisis kepercayaan.
Akhirnya, UMNO menyaksikan perpecahan paling besar dalam sejarahnya dengan kesan politik yang masih dirasai hingga hari ini.
PKR yang lahir daripada konflik UMNO itu sendiri, tidak terkecuali daripada episod sama. Kali ini, Anwar berada di kerusi presiden manakala Mohd. Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden tampil dengan gaya kepemimpinan berbeza.
Mohd. Rafizi bukan timbalan presiden yang pasif. Beliau aktif membentuk naratif, mencorakkan strategi dan sering tampil ke hadapan dalam isu nasional.
Keadaan ini mewujudkan dinamika unik dalam parti iaitu bukan konflik terbuka tetapi pertembungan pendekatan.
Anwar dikenali dengan gaya berhati-hati dan berlapik manakala Mohd. Rafizi lebih langsung dan analitikal. Perbezaan ini memperkaya wacana parti, namun pada masa sama menimbulkan persoalan tentang pusat kuasa sebenar dalam PKR.
Badi kerusi nombor dua dalam konteks ini hadir bukan sebagai krisis tetapi sebagai tekanan berterusan terhadap kesatuan kepemimpinan.
Dalam Bersatu, perseteruan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin memperlihatkan pengulangan pola sama. Dalam parti yang masih mencari kestabilan, peranan timbalan presiden menjadi lebih signifikan.
Hamzah dilihat memainkan peranan besar dalam menggerakkan parti, terutamanya dalam rundingan politik dan penyusunan strategi. Namun, dominasi peranan ini turut menimbulkan persepsi wujudnya dua arus kepemimpinan.
Apabila kepercayaan mula terhakis, isu perlembagaan parti, kesetiaan dan legitimasi kepemimpinan menjadi bahan perdebatan. Sekali lagi, kerusi nombor dua menjadi titik tumpu krisis.
Terdapat beberapa faktor yang menjadikan jawatan ini sentiasa berisiko.
Pertama, timbalan presiden ialah simbol kesinambungan kuasa. Kehadirannya secara automatik menimbulkan persoalan tentang tempoh kepemimpinan presiden.
Kedua, budaya politik tempatan masih kuat dengan unsur personaliti dan kesetiaan individu, bukan institusi. Perbezaan pandangan sering ditafsir sebagai cabaran.
Ketiga, ketiadaan mekanisme peralihan kuasa yang jelas menjadikan persaingan dalaman bersifat tertutup dan berpanjangan.
Badi kerusi nombor dua bukanlah fenomena mistik tetapi refleksi kepada budaya politik yang belum matang sepenuhnya.
Selagi jawatan timbalan presiden dilihat sebagai ancaman dan bukan pelengkap, konflik sebegini akan terus berulang.
Kerusi nombor dua bukan sekadar tempat menunggu giliran tetapi ujian kepercayaan dan kematangan kepemimpinan.
Dalam politik Malaysia, ujian ini sering kali gagal dilalui dan sejarah terus berulang dengan watak berbeza tetapi skrip yang hampir sama. – UTUSAN
HADI Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










