Universiti mesti kembali kepada peranan asasnya

Universiti mesti kembali kepada peranan asasnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2025-2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan usaha penting kerajaan untuk mengangkat pendidikan tinggi sebagai tiang seri pembinaan negara dalam dekad mendatang.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa universiti mesti kembali kepada peranan asasnya sebagai wahana pembinaan insan berfikir, beretika dan berdaya cipta, selari dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan kemanusiaan, keadilan dan daya inovasi.

Penekanan ini memberi isyarat jelas bahawa pendidikan tinggi tidak lagi diurus secara rutin pentadbiran. Sebaliknya, ia menjadi projek nasional yang menuntut kepimpinan politik, institusi dan intelektual secara serentak.

DALAM Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035, universiti dilihat bukan sekadar penyumbang kepada ekonomi tetapi juga pembentuk nilai, etika dan tanggungjawab sosial.

RPTM dan Bingkai Malaysia Madani
Secara normatif, RPTM 2025-2035 dibina dalam kerangka Malaysia Madani, di mana universiti dilihat bukan sekadar penyumbang kepada ekonomi tetapi juga pembentuk nilai, etika dan tanggungjawab sosial.

Perdana Menteri berulangkali menekankan bahawa kemajuan material tanpa pembinaan insan akan menghasilkan pembangunan yang rapuh.

RPTM ini bukan sekadar satu dokumen perancangan. Ia adalah peta masa depan pendidikan tinggi yang akan menentukan bagaimana universiti melahirkan bakat, memacu inovasi, mengangkat mobiliti sosial, dan memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam dekad akan datang.

Dalam konteks ini, RPTM mengangkat peranan universiti sebagai rakan strategik negara dalam menangani ketidaksamaan sosial, transformasi ekonomi, perubahan teknologi dan kemampanan alam sekitar.

Pendidikan tinggi digarap sebagai ruang penghasilan ilmu yang relevan kepada masyarakat, bukan terpisah daripada realiti sosial.

Apa yang menarik, aspirasi RPTM ini selari dengan misi APEX Universiti Sains Malaysia (USM) yang menekankan kelestarian, keterangkuman, keterlibatan komuniti dan ilmu untuk kesejahteraan insan.

Sejak awal, APEX USM membawa gagasan bahawa universiti perlu berfungsi sebagai agen perubahan sosial bukan sekadar institusi akademik berorientasikan persaingan kedudukan dalam carta institusi akademik.

Wacana yang sering diketengahkan oleh kepimpinan universiti khususnya Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan keperluan universiti untuk bersifat transformatif, berakar kepada masyarakat dan melengkapi model pendidikan tinggi melangkaui pasaran.

Dalam erti kata lain, RPTM menyediakan ruang dasar nasional untuk memperluas dan menormalisasikan pendekatan yang telah lama diuji di peringkat institusi seperti USM.

Di sinilah RPTM mempunyai potensi sebenar: Menjadikan amalan terbaik universiti terkehadapan sebagai norma sistem.

Janji Anjakan dan Realiti Lonjakan
RPTM 2025-2035 menggariskan agenda teras seperti autonomi universiti, fleksibiliti kurikulum, kebolehpasaran graduan, pengukuhan penyelidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendigitalan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, menegaskan bahawa universiti perlu diberi ruang untuk berinovasi, membina kerjasama strategik dan bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan global.

Isu Sistem, Bukan Sekadar Universiti
RPTM juga memberi penekanan besar kepada kebolehpasaran graduan, selari dengan kebimbangan awam. Namun isu ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu universiti.

Seperti yang diakui oleh Perdana Menteri sendiri, masalah ini berkait rapat dengan struktur ekonomi, kualiti pekerjaan dan hala tuju pembangunan negara.

Universiti seperti USM telah lama menekankan pendidikan holistik, kemahiran rentas disiplin dan pembelajaran berasaskan komuniti. Namun tanpa ekosistem ekonomi yang menyokong pekerjaan bernilai tinggi, usaha ini akan berdepan had struktur.

Realisme Reformasi Membina Negara
RPTM 2025-2035 wajar disokong kerana ia menyediakan naratif dasar yang betul pada masa yang tepat. Ia mengiktiraf bahawa pendidikan tinggi adalah teras kepada pembinaan negara Madani dan selari dengan misi universiti terkehadapan seperti USM.

Anwar juga menekankan RPTM tidak boleh menjadi satu lagi dokumen aspirasi yang gagal diterjemahkan ke dalam reformasi institusi sebenar. Kerajaan serius untuk autonomi diperkasakan, kepimpinan universiti mesti dipercayai, dan universiti dibenarkan memimpin perubahan.

RPTM akan berjaya kerana kepimpinan di Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti seperti USM berani menggalas tanggungjawab membawa RPTM dalam arus pelaksanaan menyeluruh.

Di situlah terletaknya ujian sebenar lonjakan pendidikan tinggi Malaysia kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

RPTM 2026-2035 bukan sekadar rancangan kementerian, tetapi agenda masa depan negara; membina bakat, memperkukuh inovasi, menjaga kesejahteraan pelajar dan memastikan universiti kekal relevan dalam dunia yang berubah pantas. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×