UMNO-BN sudah tidak boleh solo

UMNO-BN sudah tidak boleh solo

MOHD. KURNIAWAN NAIM MOKTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN MOHD. KURNIAWAN NAIM MOKTAR , 32, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, minggu lalu bukan sekadar kejayaan seorang calon muda atau kesinambungan legasi keluarga, sebaliknya menunjukkan isyarat politik yang UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh bergerak sendirian.

Walaupun berjaya mempertahankan kerusi disandang bapanya sejak 1999 dan mengangkat sumpah kelmarin sebagai Ahli Parlimen, namun realiti di sebalik kemenangan itu jauh lebih besar daripada simbol warisan politik semata-mata.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu percaya kekuatan UMNO-BN hari ini bukan lagi berdiri atas nama parti secara solo tetapi lahir daripada kerjasama, kesepaduan dan sokongan gabungan parti politik.

Katanya, lonjakan majoriti yang ketara berbanding pilihan raya terdahulu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil penyatuan jentera, sokongan parti-parti rakan dan strategi politik yang berasaskan realiti baharu landskap politik Sabah. Ini sekai gus menandakan era dominasi satu parti telah berakhir dengan politik menuntut kebijaksanaan membaca sentimen rakyat, kesanggupan bekerjasama dan keberanian mengakui kelemahan sendiri.

 


UTUSAN: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dijangka dalam masa dua tahun, bagaimana kedudukan UMNO-BN khususnya di Sabah? Masih boleh bergerak secara solo?

NAIM MOKTAR: Kalau kita lihat realiti politik Sabah hari ini, UMNO memang sudah tidak boleh bergerak secara solo. Di Sabah memang perlu ada kerajaan gabungan. Ini bagi membolehkan setiap calon mendapat kelebihan.

Apabila berlaku pertembungan, kemenangan sering diraih dengan majoriti yang sangat kecil. Tetapi apabila ada sokongan daripada gabungan atau parti lain, kemenangan menjadi jauh lebih besar dan meyakinkan.

 

Adakah formula kerjasama itu terbukti berkesan?

Ya, sangat terbukti. Lihat sahaja contoh di Kinabatangan. Apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan sokongan menyebabkan majoriti kemenangan meningkat dengan mendadak.

Kalau sebelum ini majoriti di Lamag hanya sekitar 153 undi, kali ini melonjak kepada 5,681 undi. Itu peningkatan yang berganda-ganda, bukan sedikit.

Di Parlimen Kinabatangan pula, majoriti 14,214 undi, dengan jumlah undi keseluruhan 19,852. Ini jelas menunjukkan formula kemenangan bukan lagi solo tetapi kerjasama.

 

Jadi, untuk PRU16, ini adalah formula yang paling sesuai di Sabah?

Formula yang paling realistik ialah kerajaan gabungan. Kerajaan gabungan ini bukan sahaja pada peringkat kerajaan tetapi juga parti. Sama ada BN bekerjasama dengan GRS atau rakan-rakan lain tetapi yang penting kesepaduan itu sangat penting dan bagi memastikan kemenangan.

Setiap calon akan mendapat kelebihan apabila semua jentera bergerak bersama. Jentera UMNO, jentera GRS dan rakan-rakan lain semuanya menyumbang kepada kekuatan keseluruhan.

 

Ada yang kata kemenangan itu kerana faktor simpati. Betul ke?

Ya, kita akui faktor simpati memang wujud. Itu salah satu elemen. Tetapi simpati semata-mata tidak cukup. Kalau calon itu tidak betul, jentera tidak bekerja dan kempen tidak tersusun. Simpati sahaja tidak akan membawa kemenangan.

Dalam politik, calon, jentera dan kesepaduan mesti bergerak seiring. Hari itu, jentera tambahan turun dari seluruh bahagian. UMNO menurunkan 25 bahagian, GRS sendiri turun membantu. Ini menunjukkan kesepaduan yang jelas.

 

Siapa sahaja yang terlibat membantu ketika itu?

Ramai tokoh dan jentera turun membantu, termasuk daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah). Antaranya tokoh-tokoh seperti Mohd. Sany Hamzan. Mereka turun memberi sokongan dan membantu kempen. Kesepaduan inilah yang membawa kepada peningkatan majoriti yang ketara.

 

Dengan kerjasama ini, berapa kerusi realistik boleh dimenangi di Sabah dalam pilihan raya akan datang?

Jika gabungan ini kukuh dan konsisten, kerajaan perpaduan berpotensi mengekalkan sekitar 21 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen di Sabah pada PRU16. Itu jumlah yang stabil dan cukup kuat untuk memastikan kestabilan politik.

 

Bagaimana pula dengan parti lain seperti Parti Warisan (Warisan) dan calon Bebas?

Warisan masih wujud sebagai pesaing dan calon Bebas juga semakin ramai. Namun, kewujudan banyak calon bebas sebenarnya memecahkan undi dan ini boleh memberi kelebihan kepada gabungan yang lebih tersusun dan bersatu.

 

Sebagai satu-satunya wakil Pemuda UMNO di Dewan Rakyat, bagaimana melihat isu calon muda bertanding dalam pilihan raya? Adakah parti bersedia?

Calon muda memang perlu diberi peluang tetapi bukan sekadar muda atas kertas. Parti perlu menilai kredibiliti, kemampuan bekerja, turun kawasan dan kebolehan berinteraksi dengan rakyat. Calon muda yang hanya ‘duduk di rumah’ tidak akan diterima.

Ini juga bayangan arwah Bung Moktar dan hasrat ini disampaikan kepada presiden parti untuk menggalakkan lebih banyak calon muda bertanding di peringkat Parlimen.

Sebelum ini ada beberapa calon muda diketengahkan dalam PRN tetapi tidak diterima, bagi saya mereka ini kurang bekerja.

 

Adakah calon muda perlu diketengahkan lebih awal?

Ya, perlu bermula lebih awal. Parti tidak boleh hanya menampilkan wajah baharu ketika pilihan raya hampir tiba. Di Indonesia, contohnya, parti akan mengenal pasti calon berpotensi lebih awal dan memberi peruntukan supaya mereka boleh bekerja di lapangan.

Sebagai ahli Parlimen, usaha membantu parti sedaya mungkin perlu dilakukan supaya calon dikenali lebih awal. Politik ini mahal dan anak muda selalunya tidak mempunyai kemampuan kewangan yang besar. Sebab itu sokongan awal sangat penting.

 

Ada rungutan bahawa Pemuda terlalu ke hadapan berbanding Puteri UMNO. Bagaimana melihat isu ini?

Sebenarnya isu ini bukan soal lelaki atau perempuan. Yang paling penting ialah siapa yang mampu bekerja. Pada waktu tertentu, Pemuda mungkin lebih menonjol kerana mereka dilihat aktif dan bersedia. Ada masa juga Puteri lebih menyerlah.

Cadangan untuk mengetengahkan Pemuda ini juga lahir daripada komitmen kepimpinan terdahulu yang mahu memberi ruang kepada generasi muda. Tetapi akhirnya, ukuran sebenar ialah prestasi, bukan jantina.

 

Mengapa wajah baharu penting untuk PRU16?

Kerana politik hari ini sangat bergantung kepada data, fakta dan angka. Parti perlu melihat saluran undi, demografi dan trend semasa. Di Sabah, sekitar 58 peratus pengundi berumur 40 tahun ke bawah. Jika sokongan golongan ini dapat ditarik, maka peluang kemenangan sangat tinggi.

Tambahan pula, umur mengundi kini 18 tahun. Media sosial seperti TikTok, Treads dan platform lain menjadi medan utama. Anak muda lebih mudah didekati oleh calon yang memahami dunia mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN