SETIAP kali musim graduasi, kita dengar dua ayat yang bunyinya seperti bercanggah. Industri hotel dan makanan-minuman (F&B) kata “orang tak cukup”, tetapi graduan pula kata “susah nak dapat kerja yang setara”.
Kedua kenyataan ini betul kerana masalah utama bukan semata-mata peluang kerja tetapi ketidaksepadanan antara kemahiran yang dibawa graduan dengan yang benar-benar digunakan dalam operasi harian.
Statistik rasmi menunjukkan gambaran ini dengan jelas. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan jumlah graduan meningkat kepada 5.98 juta orang pada 2024 dan kadar pengangguran graduan menurun kepada 3.2 peratus.
Namun, pekerjaan tidak sepadan dengan kemahiran graduan masih 32.2 peratus iaitu lebih kurang 1.6 juta graduan bekerja dalam pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih rendah daripada kelayakan mereka.
Lebih membimbangkan, kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah mencatat kadar tertinggi iaitu 66 peratus.
Dalam hospitaliti pula, isu tenaga kerja memang ketara. Persatuan hotel melalui kenyataan bersama menyebut sektor ini berdepan kekurangan tenaga kerja yang akut, khususnya posisi operasi seperti pengemasan dan F&B, hingga pengusaha terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk memastikan operasi berjalan.
Bila industri kekurangan orang tetapi graduan pula terjebak kerja tidak setara, jelas ada jurang yang perlu ditutup dan jurang ini banyak berkait dengan bagaimana kita melatih.
Jadi, apa set kemahiran sebenar pelajar katering atau hospitaliti perlukan supaya bukan sahaja dapat kerja tetapi dapat kerja yang sesuai, berkembang, dan kekal dalam industri?
Kemahiran teknikal tetap asas tetapi asas sahaja tidak mencukupi. Dunia kerja servis hari ini bergerak pantas dan kemahiran yang ‘mahal’ ialah kemahiran yang boleh menyelesaikan masalah ketika tekanan tinggi. Malah, Forum Ekonomi Dunia menjangka 39 peratus kemahiran teras pekerjaan akan berubah menjelang 2030, antara yang paling cepat berkembang ialah kecerdasan buatan (AI) dan data raya, literasi teknologi, serta kemahiran manusia seperti pemikiran kreatif dan daya tahan.
Berikut lima blok kemahiran yang paling kritikal untuk pelajar katering/hospitaliti:
-Kemahiran menyelamatkan situasi
Dalam servis, isu bukan ‘kalau’ berlaku, tetapi ‘bila’ pesanan tersalah, makanan lambat, pelanggan marah, alahan tidak dimaklumkan, tempahan bertindih. Nilai sebenar pelajar terserlah apabila mereka mampu kekal tenang, mendengar dengan empati, memohon maaf dengan tulus, menawarkan pilihan yang adil dan menyelesaikan isu secara profesional.
-Komunikasi kerja sebenar dan pasukan
Hospitaliti ialah rantaian dapur–perkhidmatan–kaunter–stor–penyelia. Komunikasi bukan sekadar pandai bercakap tetapi termasuk taklimat ringkas, pertukaran syif, arahan jelas dan adab ketika berdepan pelanggan. Ini kemahiran yang nampak biasa tetapi sering membezakan staf yang cepat naik dengan statik.
-Disiplin operasi masa, kebersihan, konsistensi
Ramai boleh masak sedap tetapi industri perlukan kualiti yang sama berulang kali, dalam tempoh yang ketat. Di sinilah persediaan awal, aliran kerja, kebersihan stesen dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membezakan pelajar dengan profesional.
Dalam hospitaliti, konsistensi itu ‘mata wang’ kepercayaan.
-Literasi digital hospitaliti
Operasi F&B hari ini bergantung pada sistem jualan, e-dompet, sistem tempahan dan ulasan pelanggan. Pada tahap asas pun, pelajar yang boleh baca angka ringkas seperti menu mana cepat habis, item mana margin tinggi, di mana pembaziran berlaku dan lebih cepat dipercayai untuk memegang tanggungjawab.
-Daya tahan emosi dan etika kerja
Industri servis ialah industri manusia. Pelajar perlu tahu urus stres, terima teguran, minta bantuan bila perlu dan pada masa sama berani menetapkan sempadan bila berdepan layanan tidak profesional.

RAPATKAN JURANG
Sekarang persoalannya: bagaimana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh merapatkan jurang ini, khususnya dalam konteks Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) UTHM?
UTHM melalui FPTV menawarkan Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Katering) dengan Kepujian dan program empat tahun ini yang memfokuskan latihan pendidik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) .
Program sebegini membolehkan graduannya bergerak dua hala iaitu menyumbang dalam industri dan membina bakat industri melalui pendidikan. Jadi, kurikulum perlu setaraf industri, realistik, boleh diukur dan selari dengan perubahan kerja.
Empat langkah praktikal yang boleh dibuat (dan tidak semestinya mahal) ialah tukar rubrik penilaian, wujudkan ‘pasport kemahiran’, jadikan kampus ‘makmal hidup’ melalui projek mikro pelanggan sebenar dan pemantauan pra latihan industri.
Pada masa sama, industri juga memainkan peranan besar. Jika sektor benar-benar berdepan kekurangan pekerja, maka pengalaman latihan industri patut dijaga seperti saluran bakat. Mentor yang jelas, tugasan yang adil, jadual syif yang munasabah dan maklum balas berkala boleh buat pelajar rasa dihargai dan bukan rasa digunakan.
Di pihak universiti, setiap latihan industri perlu disusuli sesi ulasan yang jujur, kemahiran mana paling kerap digunakan, di mana pelajar menghadapi cabaran dan aspek kursus mana yang perlu dikemas kini. Pendekatan ini selari dengan amalan organisasi yang serius tentang peningkatan dan pembelajaran semula kemahiran kerana mereka lebih bersedia mengurus perubahan kemahiran secara terancang.
Fakta menunjukkan 32.2 peratus bekerja di bawah kelayakan dan 66 peratus graduan muda menghadapi ketidakpastian pada fasa awal kerjaya.
Fasa awal kerjaya pelajar adalah paling rapuh. Jika kita mahu graduan hospitaliti masuk industri dengan yakin dan kekal lama, maka kemahiran mereka mesti selaras dengan realiti jadual kerja dalam dunia yang bergerak pantas.
Kita tidak mahu pelajar sekadar dapat kerja tetapi mahukan mereka mendapat pekerjaan yang setara, bermaruah dan menawarkan laluan kenaikan pangkat.
TVET hospitaliti seharusnya dipandang sebagai latihan profesional menyeluruh menyentuh kemahiran teknikal yang mantap, operasi yang realistik, digital yang relevan dan keupayaan manusiawi yang tahan lasak.
Pelaburan sebegini pasti memberi pulangan besar, bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk seluruh industri.-UTUSAN
DR. Mohd. Zulfakar Mohd. Nawi, ialah Pensyarah Kanan Jabatan Ikhtisas Pendidikan & Siswazah, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)










