MUKADIMAH
MELABELKAN UMNO sebagai parti yang membisu atau tunduk dalam Kerajaan Perpaduan tidak adil, kata Setiausaha Agung UMNO, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI.
Sebaliknya UMNO berperanan sebagai benteng semak dan imbang, memastikan Perlembagaan Persekutuan dihormati dan garis merah parti tidak dilangkaui.
Beliau menjelaskan setiap dasar yang menyentuh Islam, raja-raja Melayu serta kepentingan Melayu dan bumiputera diteliti dan ditentang secara terbuka jika bercanggah dengan prinsip asas negara.
Dalam masa sama, beliau berkongsi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang menghimpunkan 6,412 perwakilan dengan 662 usul diterima daripada bahagian 175 bahagian seluruh negara, tanpa satu pun desakan keluar kerajaan atau membincangkan kedudukan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh. Sebaliknya fokus akar umbi lebih tertumpu kepada tuntutan keadilan dan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain memperkuatkan parti.
Temu bual ini disertai wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN serta jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI.
UTUSAN : Kongsikan perjalanan dan pembaharuan PAU kali ini?
ASYRAF WAJDI : PAU akan bermula pada Selasa (hari ini) dengan beberapa program pemanas, termasuk Mutaqa Ilmu al-Islam yang menghimpunkan ulama, cendekiawan dan ahli akademik bagi membincangkan fiqh perimbangan dalam konteks masyarakat majmuk dan realiti politik negara.
Dari segi pembaharuan, PAU kali ini tidak menampilkan banyak perubahan bersifat kosmetik. Seperti lazimnya, perhimpunan ini kekal sebagai wadah penting parti untuk menghimpunkan suara akar umbi. Ia menjadi medan kepada kepimpinan UMNO yang mewakili bahagian, termasuk sayap-sayap parti, membawa pandangan dan keresahan ahli setelah persidangan di peringkat bahagian masing-masing.
Usul-usul inilah yang akan dibahaskan dan disampaikan oleh jurucakap negeri, termasuk wakil Wanita, Pemuda dan Puteri. Perhimpunan ini turut memberi ruang kepada wakil mahasiswa luar negara, UMNO Siswa dalam negara serta Veteran UMNO untuk menyuarakan pandangan.
Isu keluar kerajaan tidak dibahaskan dalam PAU kali ini sekali gus mezahirkan rasa kebimbangan tentang peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Ada yang kata UMNO sudah hilang taring. Komen Datuk?
Dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, UMNO meletakkan empat syarat asas iaitu memastikan kepentingan Islam, raja-raja Melayu, Melayu dan bumiputera terpelihara. Ini bermakna parti-parti lain yang bekerjasama tidak mengabaikan prinsip ini. Keputusan ini membolehkan kerajaan campuran berfungsi secara efektif, dengan semua parti memahami peranan masing-masing.
UMNO sentiasa mematuhi perlembagaan dan struktur parti. Setiap suara akar umbi dihargai, dibincang di cawangan, dibawa ke bahagian dan diwakili melalui negeri ke peringkat pusat. Parti ini tidak membuat keputusan secara individu atau berdasarkan tekanan media sosial. Perbezaan pandangan sentiasa diraikan dan keputusan dibuat melalui konsensus serta suara majoriti.
Keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan menunjukkan prinsip syura UMNO berfungsi dengan baik. Proses ini mengiktiraf kepelbagaian pandangan tetapi tetap mengekalkan ketertiban organisasi dan keutuhan parti. UMNO tetap parti demokratik yang mengutamakan struktur dan perlembagaan, bukan suara individu semata-mata.
Disebabkan isu ini, orang melihat UMNO seperti berpecah. Perkara ini terjadi dalam parti?
Hakikatnya, UMNO hari ini mempunyai pelbagai pandangan dan alhamdulillah, keadaan ini sebenarnya menunjukkan kematangan. Saya berpandangan inilah antara fasa terbaik dilalui UMNO. Kita tidak lagi berada dalam suasana seperti dahulu, yang ada team A dan team B, yang akhirnya membawa perpecahan dan penubuhan parti baharu. Begitu juga pengalaman lepas dengan label seperti kluster PWTC dan kluster Putrajaya.
Hari ini yang ada hanyalah perbezaan pandangan. Perbezaan itu pula tertumpu isu-isu tertentu, bukan semua perkara.
Sebagai contoh, dalam perbincangan mengenai konvensyen, ada yang berpendapat UMNO wajar keluar sekarang dan ada yang tidak bersetuju. Dalam isu Muafakat Nasional (MN) pula, ada yang mahu ia dihidupkan semula dan ada yang menolak. Malah, ada juga yang bersetuju keluar tetapi tidak bersetuju dengan MN. Jika diperhalusi, mungkin ada empat, lima atau 10 jenis pandangan berbeza.
Inilah yang perlu difahami dalam konteks demokrasi matang yang meraikan perbezaan pandangan, bukan cepat melatah, bukan cepat terasa, apatah lagi meroyan apabila pandangan kita tidak diikuti. Seorang pemimpin yang berjiwa besar tidak bersikap demikian.
Kita perlu bersedia untuk mengkritik dan pada masa sama bersedia untuk dikritik. Namun, mesti beradab dalam berbeza pandangan. Islam sendiri mengajar adab ikhtilaf. Tidak semua pandangan kita betul. Imam Syafie pernah menyebut, “pandanganku betul tetapi boleh jadi salah dan pandangan orang lain salah tetapi boleh jadi betul.”
Dalam UMNO, disiplin ini dipandu oleh Perlembagaan parti. Maka apabila perbezaan pandangan disuarakan, termasuk oleh Ketua Pemuda UMNO yang memberi bayangan untuk mengundurkan diri, perkara itu perlu dilihat secara matang. Seperti yang disebut oleh Presiden, perbezaan pandangan itu biasa dan tidak bermakna seseorang itu memusuhi kepimpinan.
Saya sendiri pernah berada di posisi Ketua Pemuda. Saya pernah membawa keputusan Exco Pemuda supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berehat. Namun apabila dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT), pandangan saya ditolak sepenuhnya. Tetapi saya tidak keluar parti, tidak membentuk kelompok, tidak memberontak. Saya membawa pandangan Pemuda dan akur bila suara majoriti tidak bersama kami.
Selepas itu, Pemuda tidak bertindak melemahkan parti kerana apa yang kita mahukan ialah parti yang kuat untuk menjaga agama, bangsa dan rakyat. UMNO ialah parti yang mentadbir negara lebih 60 tahun dan memahami selok-belok mengurus kepentingan serta kebajikan rakyat. Jika kepentingan peribadi diletakkan melebihi perjuangan parti, maka perjuangan itu akan kehilangan makna.
Anak muda biasanya lebih bersemangat, emosinya lebih kuat dan pandangannya lebih lantang. Itu perkara biasa. Sejarah juga membuktikan perbezaan pandangan dalam UMNO bukan perkara baharu. Ramai pemimpin pernah melalui fasa tersebut, termasuk Presiden sendiri yang pernah menjadi Ketua Pemuda. Sebab itu beliau memahami dinamika ini dan tidak melatah dengan perbezaan pandangan.
Sebagai pemimpin yang lebih senior, tugas kita ialah membimbing generasi muda, bukannya menyingkirkan mereka.
Jika benar akar umbi mahu sesuatu keputusan, salurannya jelas iaitu melalui cawangan, bahagian, negeri dan akhirnya PAU. Sejarah menunjukkan presiden UMNO tidak pernah melawan keputusan PAU.
UMNO mempunyai perlembagaan, disiplin dan struktur organisasi. Semua ini wujud supaya parti kekal tersusun dan kuat. Jika kita mengabaikannya, maka tiada gunanya kita mempunyai sebuah parti yang berperlembagaan.
Adakah kehilangan besar sekiranya Dr. Akmal benar-benar meninggalkan parti?
Kita perlu ingat, UMNO bukan milik mana-mana individu. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi parti tetap kekal. Setiap ahli memikul tanggungjawab terhadapnya. Apabila menyertai UMNO, kita mesti jujur menilai niat sendiri, adakah semata-mata mengejar jawatan atau benar-benar memperjuangkan asas perjuangan parti? Nawaitu yang betul memastikan setiap tindakan menguatkan, bukan melemahkan parti.
Setiap ahli, daripada presiden hingga ke peringkat kampung, mempunyai nilai tersendiri. Nilai UMNO adalah milik bersama, bukan milik individu. Isu kedudukan Dr. Akmal contohnya, tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik sebaliknya fokus perbincangan adalah tentang kepentingan parti dalam kerajaan dan pembentangan konvensyen. Semua wakil diberi peluang bersuara dan pandangan itu dirumus oleh presiden.
Sebagai pemimpin, kita perlu berjiwa besar, menerima perbezaan pendirian dan menyerahkan keputusan kepada proses syura serta kebijaksanaan kolektif, di situlah kekuatan sebenar UMNO.
Persoalan yang kerap dibangkitkan adakah perjuangan UMNO semakin tersasar dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya berkaitan empat prinsip asas parti yang Datuk katakan tadi?
Kita perlu bercakap berdasarkan fakta dan contoh yang jelas, bukan sekadar persepsi. Jika dikatakan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan kepentingan orang Melayu semakin terhakis sejak UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka berikan contoh yang konkrit.
Setakat ini, tiada satu contoh pun yang menunjukkan UMNO ‘mengalah’ atau memberi laluan kepada DAP sehingga mengorbankan prinsip perjuangan parti.
Sebagai contoh, UMNO menentang cadangan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Hasilnya, adakah pilihan raya PBT dilaksanakan? Tidak.
Kedua, cadangan melantik individu bukan Islam ke dalam jawatankuasa mengkaji undang-undang syariah. Cadangan ini datang daripada pimpinan tertinggi DAP. UMNO menyatakan pendirian tegas menolak cadangan tersebut. Saya sendiri menghubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan kepastian sama ada itu keputusan parti atau individu. Jawapannya, pandangan individu. Namun, kerana ia datang daripada pemimpin kanan, UMNO memberi respon sebagai parti. Akhirnya, pihak berkenaan memohon maaf secara terbuka dan isu itu selesai.
Ketiga, cadangan Nga Kor Ming berkaitan kampung-kampung Cina untuk diangkat sebagai tapak warisan UNESCO. UMNO membantah kerana jika diiktiraf, akan memberi implikasi kepada orang Melayu. Disebabkan bantahan UMNO, perkara itu tidak dibawa ke Kabinet dan tidak dilaksanakan.
Contoh terkini ialah isu Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) terhadap status peribumi. Dalam Perlembagaan, peribumi di negara ini adalah Melayu. UMNO mengadakan persidangan khas untuk membincangkan implikasinya kerana rang undang-undang (RUU) itu melalui bacaan pertama tanpa perbincangan menyeluruh. Hasil desakan UMNO, pelaksanaannya ditangguhkan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan. Ini menunjukkan peranan UMNO sebagai benteng kepada kepentingan orang Melayu dan Islam dalam kerajaan.
Dari sudut dasar pula, UMNO bukan sekadar menentang tetapi turut memacu agenda pembelaan. Antaranya ialah Dasar Tahfiz Negara. Adakah dasar ini dicabar? Tidak. Begitu juga Dasar TVET Negara yang diwujudkan bagi menangani isu keciciran pelajar dengan penyertaan sekitar 240,000 hingga 250,000 pelajar setiap tahun dan 85 peratus daripadanya adalah bumiputera. Dasar ini diwujudkan bagi menaik taraf kemahiran dan memastikan anak-anak Melayu tidak terpinggir. Dasar ini dipersetujui Kabinet, dilancarkan Perdana Menteri dan Ahmad Zahid mempengerusikan Majlis TVET Negara.
Begitu juga dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Peruntukan Mara meningkat dari tahun ke tahun, berbeza dengan era Pakatan Harapan (PH) 1.0 yang menyaksikan pemotongan sehingga RM400 juta. Hari ini, bajet Mara mencecah RM4.1 billion, lebih besar daripada beberapa kerajaan negeri. Mara membiayai lebih 135,000 pelajar di dalam dan luar negara serta mengurus lebih 270 institusi TVET yang memberi tumpuan kepada anak-anak Melayu yang tercicir.
Perkara ini dibawa ke Kabinet dan Parlimen. Adakah ia dicabar oleh menteri-menteri DAP? Tidak.
Begitu juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Dahulu, peruntukan sekitar RM800 hingga RM900 juta sering dipersoalkan di Parlimen. Namun hari ini, apabila peruntukan mencecah hampir RM2 bilion, persoalan itu tidak lagi timbul. Ini kerana Islam sebagai agama Persekutuan adalah garis merah yang diletakkan oleh UMNO dalam perjanjian Kerajaan Perpaduan.
Menteri-menteri UMNO tidak berdiam diri. Setiap kali mesyuarat Kabinet, akan ada perbincangan awal dalam kalangan menteri UMNO untuk meneliti kertas-kertas Kabinet sama ada memberi kesan kepada kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera. Inilah perjuangan UMNO.
Hari ini, UMNO juga diberi amanah menjaga kementerian dan agensi strategik yang majoriti penerimanya adalah orang Melayu dan bumiputera. Antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dibawahnya ada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) , Mara, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan, begitu juga peranan timbalan-timbalan menteri.
Kesemua portfolio ini membawa dua tanggungjawab utama untuk memastikan rakyat terbela dan memastikan asas perjuangan UMNO iaitu Islam, Melayu dan bumiputera kekal terpelihara.
Selagi asas ini dipertahankan, selagi itulah UMNO perlu terus memainkan peranan secara aktif dan proaktif dalam kerajaan demi membela nasib Islam dan masyarakat keseluruhannya.
Tetapi Datuk, ada yang melihat UMNO seperti tunduk kepada DAP dan tidak benar-benar memimpin dalam kerajaan. Bagaimana mahu menghakis pandangan ini?
Sebab itu saya minta satu contoh yang benar-benar jelas. Ambil isu pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) . Ya, kita bersuara. Kita nyatakan pendirian. Tetapi akhirnya, pelantikan itu tetap berlaku. Diakui, kita gagal menghalangnya kerana ia adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
Namun, implikasinya tidak berhenti di situ. Kedudukan Hannah kini berada di bawah mikroskop. Setiap dasar dan tindakan selepas ini akan diperhatikan dengan teliti sama ada memberi manfaat atau memudaratkan kepentingan orang Melayu bandar. Dalam hal ini, UMNO tidak akan berdiam diri. Jika ada dasar yang menggadaikan kepentingan Melayu oleh seorang menteri DAP, sudah tentu UMNO akan bersuara.
Ini kerana dasar kementerian bukan ditentukan oleh seorang menteri secara bersendirian tetapi perlu melalui Kabinet. Dalam Kabinet ada wakil Melayu, menteri-menteri UMNO. Jadi dari segi struktur, masih ada mekanisme semak dan imbang.
Persepsi yang timbul dalam kalangan rakyat ialah DAP jadi menteri, maka mereka boleh buat apa sahaja. Kita faham persepsi ini. Kita juga suarakan bantahan terhadap pelantikan tersebut. Tetapi realitinya, UMNO hanyalah sebahagian daripada kerajaan, bukan kerajaan satu parti. Kita bukan kerajaan PH semata-mata. Kita adalah kerajaan campuran yang dianggotai pelbagai parti politik.
Dalam kerajaan campuran, keputusan bukan ditentukan oleh satu parti atau seorang Perdana Menteri sahaja. Sebab itulah saya ulang soalan sama, beri satu contoh jelas yang mana sejak UMNO berada dalam kerajaan, kedudukan Islam benar-benar terhakis atau kepentingan Melayu digadaikan dengan persetujuan UMNO.
Tetapi Datuk, kita melihat banyak kepentingan Melayu dicabar. Tidakkah perkara begini menyebabkan UMNO dianggap lemah?
Memang benar, kepentingan Melayu sering dicabar tetapi cabaran tidak sama dengan penggadaian. Contohnya, pelantikan Hannah dan isu pilihan raya PBT menimbulkan kebimbangan, namun UMNO tetap mengekalkan prinsipnya. Keresahan akar umbi sentiasa didengar dan garis merah parti tidak pernah dilanggar, sama ada di peringkat negeri atau nasional seperti isu pajakan 999 tahun di Perak.
Tindakan individu bukanlah keputusan kerajaan dan dalam banyak kes, Perdana Menteri serta Presiden UMNO menegur apabila wujud penyimpangan. Tiada contoh UMNO mengalah kepada tuntutan DAP yang mengorbankan Islam atau kepentingan Melayu.
Adakah komen beberapa pemimpin DAP yang tidak sensitif terhadap keputusan berkaitan isu Titah Adendum mencerminkan sikap mereka yang tidak menghormati UMNO?
UMNO bersuara secara terbuka bila perlu, termasuk mempertahankan kedudukan Najib tanpa membuang adab. Perbezaan pendirian wujud kerana setiap parti membawa agenda sendiri tetapi UMNO berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan terus memerhati supaya dasar kerajaan tidak melanggar garis merah. Parti lain boleh memperjuangkan kepentingan mereka, namun UMNO terus mempertahankan kepentingan yang diwakilinya.
Dengan apa yang terjadi, adakah kerjasama dengan DAP bukanlah pilihan yang terbaik dan perlu dipertimbangkan semula dalam PRU16?
Presiden menjelaskan UMNO mempertahankan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran rakyat sehingga PRU16. Selepas itu, tiada siapa boleh menghalang UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak. Pendirian itu sudah jelas.
Hari ini bukan musim pilihan raya dan kita tidak berada dalam keadaan terdesak untuk membuat keputusan muktamad. Keputusan besar seharusnya dibuat apabila Parlimen dibubarkan dan landskap politik benar-benar jelas.
Fokus sekarang adalah kestabilan kerajaan dan kebajikan rakyat. Segala keputusan besar akan dibuat pada masa yang tepat, bukan tergesa-gesa.-UTUSAN










