SOLAT merupakan ibadat yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT sehingga dianggap sebagai tiang agama. Bukti keistimewaan ibadat ini ialah kefarduannya diterima oleh Rasulullah SAW pada peristiwa Israk Mikraj, di Sidratul Muntaha.
Ia merupakan satu tempat di mana Rasulullah SAW adalah satu-satunya makhluk Allah yang dapat sampai ke situ.
Namun, apa yang berlaku hari ini amat membimbangkan di mana kita mendapati telah berlaku normalisasi pengabaian solat dalam kalangan masyarakat.
Kita dapat melihat ramai kaum lelaki Muslim masih berjual beli di pusat membeli belah, menjamu selera bersama keluarga di restoran dan berehat di taman rekreasi ketika azan solat Jumaat sedang berkumandang.
Gejala ini tidak boleh diremehkan kerana solat merupakan ibadat yang wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan selagi seseorang itu masih bernyawa, sama ada ketika sihat, sakit, senang, susah, aman mahupun perang.
Justeru, bersempena sambutan Israk Mikraj, transformasi minda terhadap solat perlu dilakukan bagi menarik hati dan perhatian setiap individu Muslim agar mencintai solat.

Bertitik tolak daripada itu, solat haruslah dilihat sebagai jemputan Allah SWT kepada hamba-hambaNya untuk mereka berjumpa denganNya lima kali sehari, siang dan malam tanpa ada sebarang perantaraan.
Berhubung hal ini, Syeikh Ramadan al-Buti menyatakan bahawa: “Solat ialah jemputan Allah SWT kepada hamba-hambaNya untuk kembali ke pangkuanNya agar Dia mengampunkan dosa-dosa mereka.” Ia selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bertanya kepada para sahabat Baginda:
“Apakah pendapat kamu sekiranya di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu terdapat sebuah sungai, lalu dia mandi di sungai itu setiap hari sebanyak lima kali, adakah akan tinggal kotoran pada dirinya?” Mereka menjawab: “Tidak akan tinggal sedikit pun kotorannya.”
Baginda bersabda: “Demikianlah perumpamaan solat lima waktu, dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa.” (Hadis Riwayat Muslim)
Di samping itu, lafaz azan yang bermaksud: “Marilah mendirikan solat” jelas menzahirkan jemputan Allah SWT yang memanggil hamba-hambaNya ke hadratNya.
Sekiranya kita menetapkan minda bahawa solat ialah jemputan Allah SWT, raja kepada sekalian raja di muka bumi ini, maka kita dapat merasakan betapa istimewa dan agongnya jemputan ini sehingga tidak ada sesuatu pun yang lebih besar daripada jemputan ini.
Justeru, kita sanggup meninggalkan semua perkara yang sedang kita lakukan demi menyahut jemputan Tuhan Yang Maha Besar.
Tranformasi minda terhadap solat perlu dilakukan dengan memandang solat sebagai platform untuk kita berkomunikasi terus dengan Allah SWT tanpa orang tengah.
Mengenai hal ini, Ibn ‘Atoillah al-Sakandari dalam salah satu kata hikmahnya berkata: “Solat ialah tempat munajat.”
Ketika menghuraikan kata hikmah ini, Syeikh Ramadan al-Buti berkata: “Munajat yang berasal daripada perkataan “munajah” bermaksud “musyarakah” iaitu penyertaan yang berlaku di antara dua pihak. Justeru, dapat kita fahami bahawa berlaku komunikasi di antara seorang hamba dengan Tuhannya ketika dia menunaikan solat. Allah SWT memberi respons terhadap setiap kata-kata yang diucapkannya. Hal ini terbukti dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Allah berfirman: “Aku membahagikan solat antara Aku dan hambaKu kepada dua bahagian, dan bagi hambaKu apa yang dimintanya. Apabila hamba itu berkata: “Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Allah SWT berfirman: ‘HambaKu telah memujiKu.”
Dan apabila hamba itu berkata: “Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”, Allah SWT berfirman: “HambaKu telah menyanjungKu…” (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya kita sangat berhajat untuk berkomunikasi dengan Allah SWT. Ini kerana Dialah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu, merintih serta mencari penyelesaian kepada semua masalah yang kita hadapi.
Hanya Dia sahaja yang mampu melepaskan kita daripada segala kesusahan yang kita lalui.
Oleh itu, Allah SWT menyediakan satu platform untuk kita berkomunikasi denganNya iaitu melalui solat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Baqarah ayat 45)
Justeru, jika ditukar cara pandang terhadap solat dengan menjadikannya sebagai ruang untuk berkomunikasi dengan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Perkasa yang berkuasa memberi kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat, maka solat tidak akan lagi terasa sebagai bebanan yang berat untuk kita dirikan.
Transformasi minda terhadap solat boleh direalisasikan dengan melihat solat sebagai sumber ketenangan. Realitinya, setiap individu tidak dapat lari daripada pelbagai bentuk ujian hidup yang menyebabkan kegelisahan.
Kegelisahan ini tidak boleh dibiarkan, malah perlu dirawat kerana lama-kelamaan ia akan membawa kepada serangan penyakit-penyakit yang merbahaya.
Justeru, solat perlu didirikan untuk menghilangkan kegelisahan dan mendapatkan ketenangan. Ini kerana solat ialah salah satu bentuk zikir yang mengingatkan Allah SWT. Dia akan memberi ketenangan kepada sesiapa yang mengingatiNya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)
Solat merupakan ibadat yang paling mendekatkan seseorang hamba kepada Tuhannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Posisi seorang hamba yang paling dekat dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Sudah pastinya seseorang yang berada dekat dengan Allah SWT akan disiram hatinya dengan ketenangan. Dengan itu, dia dapat menghadapi segala bentuk ujian hidup dengan redha, sabar dan tabah.
Sesungguhnya jika kita meletakkan minda bahawa solat dapat memberi ketenangan kepada kita, maka kita tidak akan meninggalkannya. Ini kerana kita tidak dapat lari daripada kegelisahan akibat bergelut dengan seribu satu ujian dalam kehidupan di dunia ini.
Justeru, kita akan menjadikan solat sebagai ruang untuk recharge semula jiwa kita yang penat.
Begitulah transformasi minda terhadap solat yang perlu kita lakukan. Peristiwa Israk Mikraj berulang saban tahun mengingatkan kita tentang pensyariatan ibadat solat ini.
Namun, persoalannya adakah kualiti solat kita semakin meningkat dengan pertambahan tahun, atau pun masih berada pada tahap yang sama, atau semakin menurun? Malah, lebih buruk lagi, adakah kita meninggalkan solat?
Dengan mengambil semangat sambutan Israk Mikraj tahun ini, marilah sama-sama kita tingkatkan kualiti solat dengan lebih banyak mendalami ilmu mengenai solat dan mempraktikkannya.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang sangat lumayan kepada sesiapa yang menjaga solat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminun ayat 9-11) – UTUSAN
DR. Syed Sultan Bee Packeer Mohamed ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










