BUAT sekian kalinya, ketetapan yang harus dipatuhi secara perundangan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, khususnya pada papan tanda premis perniagaan terus diingkari dalam pelbagai cara. Walaupun peraturan itu jelas dan sah di sisi undang-undang, namun masih ada pihak mengelak mematuhinya dengan pelbagai helah licik dan keterlaluan.
Antaranya, tiada langsung penggunaan apa-apa jua bentuk bahasa Melayu. Kadang-kadang memang sengaja dilakukan sebegitu dengan menggunakan cara licik.
Isu papan tanda premis perniagaan di negara ini sebenarnya tertakluk sepenuhnya kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang turut merangkumi Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982. Perundangan kecil iklan ini adalah satu-satunya kanun menetapkan bagaimana papan tanda harus dipamerkan, dengan bahasa Melayu.
Dalam hal iklan ini, penggunaan bahasa Melayu dikanunkan secara jelas lagi tegas. Dengan ini, menjadi hukum untuk menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa aspek ditentukan. Saiz huruf mesti jauh lebih besar, kedudukan perkataan patut berada di tempat yang lebih strategik dan gunakan warna yang lebih signifikan.
Walaupun dengan adanya perundangan sedemikian namun penggunaan bahasa lain tidak dilarang. Ini bermakna lebih daripada satu bahasa lain boleh digunakan, cuma ia tidak boleh ‘wujud’ secara bersendirian. Dengan kata lain, harus diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu pada papan iklan itu juga.
Dalam hal papan iklan, perkara paling penting untuk dipatuhi ialah penggunaan bahasa Melayu yang bukan sahaja wajib, juga yang tidak boleh sama sekali dikompromikan. Sehubungan ini, bahasa Melayu wajib ada pada setiap masa untuk menyampaikan mesej perniagaan, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat bahasa lain di papan iklan.
Dalam hal nama dan logo perniagaan yang dipamerkan itu, ia hendaklah mengambil bentuk yang didaftarkan sebagai syarikat atau barangan perniagaan. Dalam hal ini, nama dan logo itu boleh mengambil bentuk bahasa lain dan tidak semestinya dalam bahasa Melayu sahaja. Ini kerana ia dibenarkan sebegitu.
Perkara terpenting dalam hal penamaan ini ialah tidak boleh terdiri daripada perkataan sensitif, selain tidak boleh sama dengan atau menyerupai nama dan logo lain yang sedia ada pada apa-apa perniagaan sebelumnya. Di samping unsur sensitif dan kesamaan ini, tidak boleh sesekali bersifat mengelirukan, sama ada tentang jenis perniagaan atau status syarikat perniagaan.
Walaupun nama dan logo dalam bahasa lain dibenarkan, namun maksudnya perlu diperjelaskan sewaktu pendaftaran. Sehubungan ini, nama dan logo yang mendapat kelulusan itu tidak perlu diterjemahkan pun ke dalam bahasa Melayu.
Sebaliknya yang diwajibkan pada papan permis perniagaan ialah mesej perniagaan yang ingin disampaikan. Sehubungan ini, wajib menggunakan bahasa Melayu mengikut setiap ketetapan pada perundangan iklan.
Mesej perniagaan yang disampaikan dalam hanya satu bahasa lain atau sebilangan bahasa lain, tanpa apa-apa jua maklumat perniagaan dalam bahasa Melayu sebagai padanannya, tidak sesekali dibenarkan. Ini kesalahan besar di sisi perundangan iklan walaupun barangan niaga itu dikhususkan penjualannya kepada pelanggan dari etnik tertentu sahaja.
Hal ini Ini kerana premis perniagaan terletak di ruang awam yang dapat dilihat oleh semua pihak, walaupun tidak dikunjungi etnik lain untuk membeli barangan niaga itu.
Dalam konteks faktor ruang awam ini juga, ada kewajaran, malah kewajipan untuk dipastikan mesej perniagaan pada papan niaga difahami dengan mudah oleh semua pihak untuk apa-apa jua tujuan agar dapat bertindak dengan sewajarnya.
Natijahnya, setiap rakyat Malaysia berhak memahami mesej yang disampaikan melalui apa-apa pemakluman awam, walaupun perkara itu mungkin tiada kaitan langsung dengan mereka. Apa sahaja yang dipamerkan di ruang awam bukan lagi bersifat peribadi, sebaliknya menjadi maklumat bersama.
Oleh itu, bahasa yang digunakan mestilah dapat difahami semua, agar hak setiap warga untuk mengetahui dan memahami tidak terpinggir.
Sebaliknya, salah sama sekali jika ada pihak yang berkeras menolak kepentingan ini. Bagi mereka, tiada keperluan atau kewajipan untuk menyampaikan mesej perniagaan secara menyeluruh, terutama apabila hanya melibatkan kelompok etnik tertentu. Pendekatan sebegini mengabaikan hak masyarakat umum untuk mendapat maklumat yang jelas dan boleh difahami oleh semua.
Pemikiran begini bukan sahaja sangat mementingkan diri sendiri, juga tidak nasionalistik langsung, malah antinasional sifatnya. Ini kerana mengutamakan kepentingan etnik sendiri sahaja dalam negara yang sama-sama didiami pelbagai etnik lain.
Sehubungan itu, wajar disemak semula proses pembentukan negara bangsa kita, yang mungkin menyumbang kepada sikap segelintir rakyat sebegini. Mereka cenderung mengamalkan budaya individualistik secara berterusan, yang berpotensi menyinggung pelbagai pihak lain.
Selain itu, golongan ini bukan sahaja mengabaikan kepentingan masyarakat majoriti, malah menolak budaya kolektivisme iaitu satu cara hidup unggul dan wajar bagi masyarakat yang berbilang kaum.

TAMBAH BAIK
Seperkara penting, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah terhad. Peruntukan yang digubal pada 1957 hanya merangkumi urusan dengan kerajaan pusat, negeri dan badan awam, antaranya bagi surat menyurat serta dokumentasi rasmi sahaja.
Oleh itu, sudah tiba masanya cakupan ini diperluas dan diperhalus, termasuk bagi semua pemakluman yang disampaikan di ruang awam, yang seharusnya diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sahaja.
Dengan itu, sepanduk yang menggunakan bahasa Mandarin misalnya, sama ada sebahagian atau sepenuhnya, yang digantung di tepi jalan, tidak seharusnya dibenarkan kerana mesejnya tidak difahami oleh semua orang yang berhak mengetahui kandungannya.
Perundangan iklan itu yang digubal pada 1982 juga perlu diteliti semula. Ini penting agar apa-apa jua kelompongan dapat ditutupi untuk kebaikan negara. Ini kerana hanya memaparkan nama dan logo perniagaan, walaupun sepenuhnya dalam bahasa Melayu, tidak boleh dianggap mencukupi sebagai pematuhan penggunaan bahasa Melayu seperti yang ditetapkan.
Dalam hal ini, ia masih dianggap tidak memenuhi ketetapan perundangan iklan kerana kandungan lain, terutamanya mesej perniagaan, tidak disediakan dalam bahasa Melayu seperti yang sepatutnya.
Sikap mengambil kesempatan atas kelompongan undang-undang dan enggan menggunakan bahasa Melayu jelas tidak patriotik dan wajar dihindari. Selepas sekian lama negara terbina, sepatutnya tiada rakyat yang menolak bahasa kebangsaan kerana penting bukan sahaja untuk menegakkan kedaulatan negara tetapi juga memupuk identiti budaya dan jati diri sebagai warganegara Malaysia.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










