Kembalikan kecemerlangan saintis Islam dalam negara

Kembalikan kecemerlangan saintis Islam dalam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN kegemilangan sains Islam pernah dicatatkan antara abad kelapan hingga abad ke-13, khususnya semasa pemerintahan Kerajaan Abbasiyah (750-1250 M).

Abad ke-9 hingga ke-11 dianggap zaman paling gemilang, namun selepas abad ke-14, perkembangan sains Islam merosot dan terus hilang momentum disebabkan faktor kestabilan politik, peperangan, penjajahan, perpecahan umat dan kelemahan institusi pendidikan.

Sejarah kegemilangan yang luar biasa dalam bidang sains dan teknologi Islam, ditunjukkan oleh nama-nama besar seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Battuta, Al-Razi dan Ibnu al-Haytham.

Bidang-bidang perubatan, astronomi, pelayaran, matematik, optik, kimia dan geografi menjadi rujukan dunia sains. Ketokohan mereka dan bidang yang dipelopori diiktiraf seluruh dunia dan menjadi asas kaedah saintifik moden.

Pembangunan sains moden mempengaruhi perkembangan dan kemajuan sains di Eropah. Antara ahli sains penting adalah Al-Khawarizmi yang memperkenalkan konsep aljabar dan algoritma. Konsep ini menjadi asas komputer moden.

Ibnu Sina pula menjadi rujukan utama dalam perubatan selama berabad-abad manakala Ibnu Battuta memperkayakan ilmu pelayaran dan hubungan antarabangsa melalui data geografi dan budaya.

Hari ini, ahli sains Islam terkemuka abad ke-21 berada di pusat-pusat akademik dan penyelidikan utama dunia Islam seperti Malaysia, Indonesia, Turkiye, Iran, Pakistan, Mesir, Arab Saudi, Qatar serta Emiriah Arab Bersatu (UAE), di universiti antarabangsa di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Mereka aktif dalam bidang sains moden seperti bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), fizik, kejuruteraan, perubatan dan kajian alam sekitar.

Ramai saintis Islam berkhidmat di universiti ternama seperti Oxford, Cambridge, Massachusetts Institute of Technology (MIT) serta Harvard, khususnya dalam bidang AI, data raya dan bioperubatan.

Walaupun begitu, institusi terkemuka di negara-negara Islam mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat kecemerlangan sains Islam.

Ahli sains Islam sebenarnya tidak boleh lari daripada tanggungjawab mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran dalam menguruskan dunia untuk keamanan dan kesejahteraan manusia.

 

MALAYSIA berpeluang besar menjadi pusat saintis Islam dunia asalkan berani melabur, serius bina bakat muda dan konsisten dengan hala tuju. -GAMBAR HIASAN

 

TANGGUNGJAWAB

Sebagai khalifah yang memimpin dan memelihara muka bumi ini, manusia mesti bertanggungjawab untuk memakmurkan dan menjaga keseimbangan semua aspek ciptaan-Nya, bukan untuk merosakkan. Menjadi tanggungjawab manusia memelihara ekosistem, menjaga hutan, sungai, laut dan kepelbagaian biologi agar tidak musnah.

Menguruskan sumber semula jadi, air, tanah dan tenaga secara lestari serta mengelakkan pencemaran air, tanah dan udara juga mesti menjadi perhatian utama.

Pendidikan dan penyelidikan menjadi perkara utama dalam menjanjikan kestabilan mahupun kelestarian ekosistem. Kegemilangan sains dan teknologi dalam kalangan umat Islam yang menghubungkan etika dalam ilmu sains, amanah dan ibadah mesti dibangunkan semula.

Dalam bidang ekologi dan keseimbangan alam sekitar, misalnya burung-burung hijrah yang terbang jauh daripada utara hemisfera ke selatan, memberikan pengajaran, kesedaran serta petunjuk kepada manusia tentang pemantauan kestabilan habitat dari segi kepelbagaian biologi, kesihatan ekosistem mahupun sosioekonomi tempatan.

Kejadian ini juga dikaitkan dengan kajian biologi, ekologi, genetik, pemuliharaan, perubatan, kejuruteraan dan amaran bencana.

Fenomena burung hijrah memberi inspirasi kepada kajian aeronautik dan fizik moden. Al-Quran memandu ahli sains berfikir secara bersepadu berkaitan alam sebagai tanda kebesaran Allah dan menjaga keseimbangan ciptaan-Nya.

Umat Islam juga sangat sensitif dengan makanan halal. Pertambahan penduduk Islam dunia memerlukan kajian dan pembangunan industri halal yang cekap dan memenuhi konsep halalan toyyiban.

Nikmat Allah berkaitan haiwan ternakan sebagai makanan, tunggangan, sumber tenaga serta minuman susu mestilah dimanfaatkan melalui sains dan teknologi, pendidikan, penyelidikan dan kebajikan tanpa menzalimi dan merosakkan alam.

Gabungan kajian sains pertanian dan penternakan yang lestari, sains halal, bioteknologi, robotik dan AI, menjadi fokus baharu era pasca-normal. Integrasi sains dan agama penting dalam memenuhi kehendak sains moden dan perlu menguasai bidang teknologi halal.

Industri halal bukan sahaja berkaitan makanan tetapi juga melibatkan farmaseutikal, kosmetik, bioteknologi dan AI yang menjamin kesejahteraan umat dengan konsep yang selamat, bersih dan beretika.

Persidangan Saintis Islam Serantau baru-baru ini membincangkan cabaran dunia pasca-normal, termasuk isu etika dalam penyelidikan, sains teknologi dan pembangunan lestari, AI, data raya, digital, sains iklim dan alam sekitar, perubatan dan sains kesihatan, serta industri halal.
Perbincangan ini menunjukkan kesedaran saintis Islam mesti memainkan peranan aktif dalam menangani cabaran global.

Pandemik Covid-19 misalnya, mendesak saintis Islam memberikan fokus pembangunan vaksin halal, penyelidikan perubatan beretika dan penghasilan teknologi kesihatan yang patuh syariah.

Untuk membangkitkan semula saintis Islam memerlukan pembangunan bakat muda. Kerana itu, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) perlu diperkukuh dari sekolah rendah hingga universiti.

Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan kepada agenda ini tetapi memerlukan kesungguhan dan dana besar serta penglibatan sektor swasta.

Semakan semula fokus kementerian berkaitan perlu dilaksanakan, agar selari dengan tren global dan Rancangan Malaysia (RMK) dengan melibatkan semua golongan ekonomi, politik dan pakar sains terkemuka.

Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hab saintis Islam sedunia. Dengan pengalaman dalam industri halal, jaringan pendidikan Islam dan kedudukan strategik di Asia Tenggara, Malaysia boleh memimpin gerakan pembangunan sains Islam serantau.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), misalnya, boleh diberi mandat untuk mengetuai usaha ini, dengan sokongan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti saintifik antarabangsa.-UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×