PEMBANGUNAN pesat teknologi, perubahan gaya hidup manusia serta tren pemikiran baharu dalam masyarakat menuntut perubahan mendalam dalam sistem pendidikan negara.
Kadar perubahan mungkin berbeza bergantung kepada faktor lokasi, tahap pendidikan dan kedudukan ekonomi, namun hakikatnya kerajaan mesti bergerak pantas dalam mentransformasikan pendidikan seawal pra sekolah hingga ke universiti.
Pendidikan sepanjang hayat juga perlu diberi perhatian kerana teknologi maklumat berkembang dengan pantas dan menuntut rakyat sentiasa bersedia menyesuaikan diri. Asas pendidikan yang kukuh hingga ke tahap penyelidikan dan penerokaan ilmu baharu amat penting untuk menjamin daya saing negara.
Transformasi pendidikan di Malaysia perlu dilihat secara menyeluruh. Matlamat utama ialah melahirkan rakyat berilmu, berkemahiran, berakhlak mulia serta mampu bersaing di peringkat global. Kurikulum mesti sentiasa relevan dengan zaman, menekankan keseimbangan antara teori dan amali serta mengintegrasikan nilai kemanusiaan berasaskan budaya dan kepercayaan.
Di peringkat pra sekolah, kurikulum memberi tumpuan kepada perkembangan kognitif, sosial dan emosi kanak-kanak. Sekolah rendah pula menekankan asas literasi, numerasi dan pembentukan jati diri.
Menjelang sekolah menengah, kurikulum diperluas kepada bidang akademik, vokasional dan teknikal. Pengenalan semula mata pelajaran seperti Kemahiran Hidup, Sains Pertanian, Sains Rumah Tangga dan Seni Perusahaan amat penting untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga mahir dalam bidang praktikal serta prihatin terhadap alam sekitar.
Dengan asas pengetahuan yang kukuh, mahasiswa dan penyelidik dapat digalakkan untuk meneroka bidang penyelidikan dan inovasi pada tahap lebih tinggi. Kurikulum di universiti pula mesti disesuaikan dengan cabaran masa hadapan agar pembangunan profesionalisme akademik terus relevan.
Guru sekolah dan pensyarah universiti merupakan tunjang utama dalam kejayaan transformasi pendidikan. Pengetahuan dan kemahiran mereka mesti dikembangkan mengikut bidang dan peringkat.
Guru pra sekolah perlu mahir dalam pedagogi awal kanak-kanak, manakala guru sekolah menengah dan pensyarah universiti perlu menguasai bidang khusus serta kaedah pengajaran yang inovatif.
Institut Pendidikan Guru (IPG) memainkan peranan besar dalam melatih guru baharu. Dengan 27 IPG di seluruh negara, ribuan guru dapat dilatih setiap tahun.
Program latihan termasuk kursus wajib sekurang-kurangnya tujuh hari setahun bagi meningkatkan kompetensi guru dalam pedagogi, teknologi pendidikan, serta pengurusan bilik darjah. Latihan berterusan ini memastikan guru sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu dalam sistem pendidikan. Begitu juga dengan
Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang perlu dikembangkan peranannya untuk melahirkan pemimpin akademia yang cekap, berwibawa dan profesional dalam bidang pentadbiran, pengurusan serta kepakaran masing-masing.
Selain guru, pentadbir sekolah juga perlu dilatih agar cekap dan berkemahiran tinggi. Institut Aminuddin Baki (IAB) berperanan menyelaras latihan kepimpinan dan pengurusan sekolah untuk pengetua, guru besar, guru kanan serta pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah.
Latihan ini menekankan aspek kepimpinan strategik, pengurusan sumber manusia, serta kecekapan dalam melaksanakan dasar pendidikan. Pentadbiran yang mantap akan memastikan pelaksanaan kurikulum berjalan lancar tanpa menambah beban kepada guru.
Transformasi pendidikan turut menekankan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Program TVET boleh dimulakan seawal Darjah 4 hingga Tingkatan 3 dengan pendekatan khas.
Pengenalan semula mata pelajaran praktikal seperti Kemahiran Hidup, Sains Pertanian, Sains Rumah Tangga dan Seni Perusahaan akan memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai kemahiran asas sebelum memilih aliran vokasional atau sains tulen di sekolah menengah atas.
Di peringkat universiti dan kolej vokasional, TVET diperkukuh dengan modul teori dan amali yang seimbang mengikut subjek. Ini penting untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), tenaga baharu dan industri masa hadapan.

PERKEMAS PENILAIAN PENCAPAIAN
Malaysia terkenal dengan perancangan pendidikan yang rapi melalui Rancangan Malaysia (RMK) dan amanat tahun baharu tetapi banyak perkara tidak tercapai sepenuhnya. Oleh itu, sistem penilaian pencapaian mesti diperkemas agar lebih cekap, berkesan dan tidak membebankan guru dan pensyarah.
Pembelajaran dan pengajaran mesti berkesan dan menjamin kemenjadian murid di peringkat sekolah. Penilaian berasaskan hasil pembelajaran sebenar, projek amali dan portfolio pelajar boleh dijadikan alternatif kepada peperiksaan tradisional. Pelajar sekolah yang berkualiti akan melonjakkan pencapaian individu semasa di universiti dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Transformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan sahaja. Peranan guru, ibu bapa dan masyarakat sangat penting. Kerjasama antara sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu diperkukuh untuk memastikan pendidikan dekat dengan rakyat.
Pendidikan yang memasyarakatkan rakyat akan melahirkan generasi yang bukan sahaja bersedia untuk kerjaya tetapi juga membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Dalam mengejar cita-cita negara maju berteknologi tinggi, rakyat Malaysia tidak boleh melupakan akar budaya dan nilai kemanusiaan. Rukun Negara yang dibangunkan pada tahun 1970 menjadi tonggak keharmonian, hormat, toleransi, kelestarian dan kesejahteraan rakyat. Pendidikan mesti menanamkan nilai Madani agar masyarakat berbilang kaum dapat hidup bersama secara aman.
Transformasi pendidikan di Malaysia menuntut perhatian serius terhadap matlamat, reka bentuk kurikulum, latihan guru, kecekapan pentadbiran, pembangunan TVET, serta penglibatan masyarakat. Bilangan guru mahir yang mencukupi, kemudahan pembelajaran yang sempurna serta sistem penilaian yang cekap adalah kunci kepada kecemerlangan pelajar.
Dengan pendekatan holistik ini, Malaysia mampu melahirkan rakyat berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berpendapatan baik dan berakhlak mulia.
Pendidikan yang dekat dengan rakyat akan memastikan pembangunan sumber manusia bukan sahaja untuk kerjaya tetapi juga untuk membina masyarakat yang harmoni, sejahtera dan bersatu padu.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.










