UPACARA ‘menurun’ atau trance bukan sesuatu yang baharu dalam kalangan orang India dan Cina. Sama ada seorang sami atau bomoh ‘menurun’ untuk mengubati penyakit, atau orang awam mengalami trans atau sawai, sudah menjadi sebahagian budaya dan kepercayaan dalam komuniti.
Semasa perayaan keagamaan di kuil pula, sering kali penganut beragama Hindu mengalami trans, sama ada atas kerelaan atau di luar kawalan.
Dari segi perubatan dan psikiatri, gangguan sawai dan kerasukan (trance and possession disorder) merujuk kepada situasi di mana seseorang dilaporkan seolah-olah mengalami kehilangan identiti dan kesedaran buat satu tempoh.
Individu terbabit kelihatan pula seperti dirasuk kuasa luar atau makhluk halus.
Saya tertarik untuk memperkatakan bagaimana tayangan filem Thunaivan (1969) dan Aathi Parasakthi (1971) di pawagam membuatkan beberapa penonton mengalami trans dan dilaporkan pula di media pada waktu itu.
Adakah peristiwa berkenaan berkaitan kekuatan pegangan agama atau ada sebab lain yang kurang diperkatakan?
Dari 1992 hingga 1997, sejumlah 55 pesakit yang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Woodbridge, Singapura dijadikan sampel kajian oleh Dr. Ng Beng Yeong dan Dr. Nicholas Chew.
Agak menarik, 70 peratus pesakit yang dikaji pernah menyaksikan atau turut mengambil bahagian dalam upacara trans berciri keagamaan. Saksi (ahli keluarga) yang diwawancara pula menceritakan individu (pesakit) yang mengalami trans biasanya seperti ‘dirasuk’ (possessed) oleh dewa atau dewi mengikut agama anutan masing-masing.
Dr. Beng Yeong dan Dr. Nicholas mengenal pasti beberapa ciri dan persamaan pada individu mengalami trans. Misalnya, mereka tidak merasai apa-apa kesakitan, termasuk apabila dicucuk dengan objek tajam.
Identiti dan personaliti mereka berubah mengikut dewa atau dewi yang dikatakan ‘menurun’ ke dalam tubuh.
Pada pandangan mereka, kejadian trans mungkin menjadi tanda-tanda kecelaruan mental. Tekanan perasaan boleh membawa kepada gangguan sawai (trance disorder). Tambahan pula jika selepas episod ‘menurun’, individu terbabit mengalami kesukaran menumpukan perhatian kepada tugas hakiki dan akiviti seharian secara normal.
Filem Thunaivan (1969) arahan M. A. Thirumugam pernah dibikin semula dalam bahasa Hindi dengan judul Maalik (1972). Pelakon utama ialah A. V. M. Rajan dan Sowkar Janaki, manakala Sridewi yang berumur sekitar enam tahun memegang watak Dewa Murugan.
Pada 8 Julai 1970, lebih 30 penonton mengalami trans sewaktu menonton filem Thunaivan di Pawagam Rex, Butterworth, Pulau Pinang.
Menurut kenyataan pengurus pawagam, Lee Poh Teik di muka depan akhbar bahasa Inggeris pada keesokan hari, sekurang-kurangnya 200 orang lagi dijangka mengalami perkara sama semasa baki tayangan selama dua hari.
Pada setiap kali tayangan filem itu, katanya, 10 hingga 30 orang pasti mengalami trans semasa babak merak bertarung dengan tedung untuk menyelamatkan seorang bayi.
Agak menarik, insiden hampir sama dilaporkan berlaku di Pawagam Lido, Kota Bharu, Kelantan pada 10 November 1970. 10 penonton, termasuk tiga wanita, dari Ladang Kerala (Kerilla), Kuala Krai mengalami trans semasa babak pertarungan sama.
Pengurus pawagam, Robert Tah terpaksa mengarahkan tayangan dihentikan sementara dan lampu dipasang sehingga kesemua mangsa pulih.
Lebih kurang setahun kemudian, pada Januari 1972, sewaktu filem Thunaivan ditayangkan pula di Pawagam Ravi, Renggam, Johor, hampir 50 orang mengalami trans dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
Jurucakap pawagam, K. Balakrishnan mengesahkan, kejadian berlaku semasa babak merak bertarung dengan tedung untuk menyelamatkan bayi.
KEJADIAN LAIN
Sebuah lagi filem Tamil yang menimbulkan fenomena hampir sama ialah Aathi Parasakthi (1971) arahan K. S. Gopalakrishnan. Filem ini juga begitu berkesan sehingga dialih bahasa kepada Hindi dengan judul Jai Jagat Janani (1976).
Gemini Ganesan berlakon sebagai Shiva sementara Jayalalitha membawakan watak-watak Shakti, Sati, Parvathi dan Meenakshi. Padmini pula muncul sebagai Meenakshi, Vishalakshi, Kamakshi dan Mariamman, manakala S. Varalakshmi sebagai Adi Parashakti dan Durga. Sridewi yang berumur lapan tahun muncul sekali lagi sebagai Murugan.
Pada 8 Jun 1972, polis terpaksa dipanggil ke Royal Theatre di North Bridge Road, Singapura kerana disangka berlaku pergaduhan kumpulan gengster. Rupa-rupanya, dua remaja lelaki tiba-tiba mengalami trans sewaktu menonton filem itu.
Akhbar melaporkan, mereka menjerit-jerit dan menari di pawagam. Sekumpulan penonton cuba mengawal mereka, lalu menimbulkan sangkaan dua kumpulan gengster India sedang merusuh atau bergaduh.
Polis merenjis air ke muka kedua-dua remaja terbabit untuk memulihkan mereka daripada keadaan sawai. Kemudian, tayangan filem diteruskan.
Enam bulan kemudian, berita ringkas tiga perenggan di akhbar bertarikh 14 Disember 1972 melaporkan peristiwa 68 penonton, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, mengalami trans sewaktu tayangan filem sama.
Dinyatakan insiden berlaku semasa babak membawa kavadi di kuil. Saya mengandaikan ia merujuk babak lagu Aayi Mahamaayi nyanyian P. Susheela di mana seorang wanita membawa belanga berisi arang dan api.
Dalam insiden di Pawagam Rex, Muar, Johor pada 21 Februari 1973 pula, filem sama dan lagu sama menyebabkan 16 lelaki dan empat wanita mengalami trans. Mereka yang rata-rata merupakan pekerja estet dilaporkan melompat dan mula menari seperti dirasuk.
Kemudian, apabila sedar daripada trans, mereka tidak ingat apa yang sebenarnya berlaku atau apa yang membuatkan mereka menari.
Dalam usaha lebih memahami kejadian trans atau sawai dalam komuniti India-Hindu, saya meneliti artikel ilmiah bertajuk Trance and Possession Disorder With Underlying Dysthymia: A Case Report” dalam Cureus Journal of Medical Science (Februari 2024).
Dihuraikan hakikat gangguan sawai dan kerasukan (TPD) bukan semata-mata fenomena keagamaan atau budaya. Sebaliknya, satu bentuk manifestasi gangguan mental kompleks yang memerlukan perhatian psikiatri dan rawatan profesional. Tentu menarik jika ada kajian lanjut dalam hal ini.
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).-UTUSAN










