MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menyatakan hampir 50 peratus jemaah yang ditawarkan kuota tunai haji 2025 menolak tawaran akibat kekangan kewangan, manakala lebih 53 peratus pendeposit Tabung Haji (TH) memiliki simpanan kurang RM1,300.
Terdapat juga pandangan yang menyatakan TH semakin kurang dilihat sebagai tempat simpanan yang konsisten dan kompetitif, terutama bagi golongan yang mahu menabung untuk haji.
Kenyataan tersebut membawa mesej jelas yang TH perlu diperbaharui agar terus diyakini masyarakat.
Peremajaan bukan sahaja soal nama atau imej baharu tetapi melibatkan langkah yang menghidupkan kembali tujuan asal TH sebagai panduan umat Islam merancang haji secara bertanggungjawab. Antara yang boleh dilakukan :
Mempromosi relevansi TH dan prinsip amanah
TH ditubuhkan untuk memudahkan umat Islam menyimpan bagi menunaikan haji tanpa bergantung kepada pinjaman. Institusi ini membantu masyarakat mengurus kewangan secara patuh syariah dan mengelakkan tekanan hutang.
TH tidak boleh dilihat sebagai bank biasa, sebaliknya fungsi utama TH ialah membimbing simpanan bagi tujuan ibadah. Oleh itu, peremajaan perlu mengembalikan kefahaman asas ini.
Jika masyarakat menganggap haji hanya impian jauh, maka masyarakat akan menangguhkan tabungan. Jika masyarakat melihat haji sebagai visi hidup, maka masyarakat akan mula merancang dari awal.
Memberi kesedaran konsistensi tabungan dan simpanan
Penolakan tawaran haji bukan semata-mata kelemahan individu sebaliknya ekonomi semasa menyebabkan ramai terpaksa memberi keutamaan kepada hal lain.
Kos makanan, perumahan, pendidikan dan komitmen bulanan memberi kesan kepada tabungan. Bagi sebahagian orang, simpanan kecil dirasakan tidak membantu kerana sasaran haji terlalu besar.
Pandangan tersebut dilihat tidak tepat kerana Islam mengajar prinsip konsistensi.
Usaha kecil yang berterusan memberi kesan besar, begitu juga dengan TH. Nilai RM10 atau RM20 sebulan mungkin nampak kecil tetapi apabila berterusan, maka akan menjadi bukti kesungguhan dan disiplin.
Melaksanakan kempen mengubah naratif
Strategi peremajaan TH perlu bermula daripada naratif baharu. Tabungan haji bukan hanya soal duit tetapi ibadah dan masa hadapan. Ayat di bawah menyeimbangkan dua perkara iaitu simpanan dan persediaan rohani.
TH perlu membantu umat Islam melihat tabungan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah, bukan sekadar pengurusan ekonomi. Pendekatan pendidikan kewangan Islam wajar diperluaskan melalui masjid, universiti, media dan program komuniti.
Masyarakat perlu difahamkan simpanan kecil tetap bernilai jika konsisten. Setiap ringgit yang ditabung mencerminkan niat dan kesungguhan untuk menuju Tanah Suci melaksanakan rukun Islam.
Mewujudkan inovasi produk tabungan yang mesra pengguna dan generasi muda
Peremajaan TH perlu dilihat melalui inovasi produk. Ramai pendeposit muda bekerja secara bebas, bergaji harian atau mempunyai pendapatan tidak stabil.
Produk khas yang membenarkan simpanan mikro bulanan seperti RM10 atau RM20 akan memberi peluang kepada golongan ini memulakan langkah awal. Potongan automatik gaji, integrasi dengan e-dompet dan aplikasi kewangan menjadi keperluan semasa.
Keutamaan juga perlu diberikan kepada pengalaman pengguna. Aplikasi TH boleh memaparkan peta perjalanan simpanan. Fungsi ini membantu pendeposit melihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Elemen motivasi seperti penanda tahap ‘50 peratus ke sasaran’, ‘6 bulan konsisten’ atau ‘tabungan keluarga’ dapat menanam semangat berterusan.
Membudayakan pendidikan awal dan simpanan keluarga
Budaya menabung bermula daripada rumah.
Pendidikan kewangan ialah sebahagian daripada adab kehidupan. TH boleh memperkenalkan produk simpanan khas untuk ibu bapa dan anak. Langkah ini bukan sahaja menggalakkan simpanan tetapi juga memupuk rasa cinta terhadap ibadah haji sejak kecil.
Masyarakat Melayu-Islam sering menunggu ‘masa sesuai’ sebelum menyimpan, namun pendidikan awal akan membentuk paradigma baharu. Jika anak belajar sejak remaja yang haji ialah cita-cita yang perlu dirancang, pasti mereka akan lebih disiplin berbanding generasi yang menunggu usia dewasa.
Mempamerkan ketelusan tadbir urus sebagai sumber kepercayaan
Kepercayaan ialah nyawa sesebuah institusi. TH perlu mempamerkan ketelusan secara konsisten. Laporan prestasi perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami, bukan sekadar angka teknikal.
Pendeposit mahu melihat bagaimana dana diurus, bagaimana keuntungan dikongsi, bagaimana risiko dikawal.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak” (Surah al-Nisa’: 58). Ayat ini menekankan tanggungjawab menjaga kepercayaan masyarakat.
Ketelusan bukan tujuan kosmetik tetapi asas kelangsungan institusi. Jika kepercayaan kukuh, masyarakat akan kembali melihat TH sebagai tempat simpanan yang selamat dan berkat.
Membina ekosistem kewangan Islam
Peremajaan TH juga memerlukan rangkaian strategik. Kerjasama bersama institusi wakaf, zakat, takaful dan bank Islam boleh memperluas manfaat kepada umat.
Pelbagai instrumen kewangan patuh syariah boleh digabungkan bagi membantu pendeposit merancang kewangan keluarga, persediaan haji dan pengurusan harta. Konsep ta‘awun iaitu saling membantu dalam kebaikan perlu menjadi asas gerak kerja.
Ekosistem ini menjadikan TH bukan sekadar tabung haji tetapi pusat rujukan kewangan Islam yang menyeluruh.
Demikianlah, peremajaan TH bukan sekadar perubahan logo atau slogan semata-mata. Pembaharuan mesti menyentuh seluruh ekosistem merangkumi produk, pendidikan kewangan, komunikasi, teknologi, tadbir urus dan nilai Islam.
Masyarakat perlu dibimbing agar melihat tabungan haji sebagai usaha ibadah. Institusi pula wajib menunjukkan integriti, kecekapan dan keprihatinan.
Setiap ringgit yang disimpan walaupun kecil membawa maksud langkah menuju Kaabah, simbol kesungguhan hati dan tanda ketaatan.
Jika TH berjaya mengangkat kembali nilai ini, institusi tersebut akan terus relevan sebagai amanah umat dan pemangkin masa hadapan kewangan Islam yang lebih kukuh serta berkat.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).
DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.










