Sukarelawan wira ketika banjir

Sukarelawan wira ketika banjir

SUKARELAWAN Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan di SMK Dato’ Sheikh Ahmad yang terjejas teruk akibat banjir di Arau, Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM tengkujuh yang melanda Perlis pada penghujung November baru-baru ini sekali lagi menguji ketabahan rakyat negeri itu. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Pada 27 November, rekod perpindahan terbesar dicatatkan dengan 7,533 mangsa ditempatkan di 23 PPS, angka yang memberi tekanan besar kepada agensi penyelamat, pasukan keselamatan serta pihak berkuasa tempatan yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan nyawa penduduk.

Namun di sebalik angka statistik itu, terdapat kelompok yang sering terpinggir daripada liputan iaitu sukarelawan. Mereka hadir tanpa publisiti, tanpa tunggu arahan dan tanpa mengharapkan balasan.

Dalam setiap bencana yang melanda, merekalah nadi pemulihan awal masyarakat dan wira yang jarang dipuji tetapi besar jasanya.

Setiap kali banjir melanda kawasan rendah dan berhampiran sungai, sukarelawan antara individu terawal tiba membantu penduduk sebelum ketibaan pasukan penyelamat rasmi.

Mereka terdiri daripada golongan muda, persatuan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jiran tetangga dan orang perseorangan yang merasakan penderitaan orang lain sebagai tanggungjawab moral yang wajib disahut. Kekuatan mereka bukan pada bilangan tetapi pada kesanggupan bekerja melebihi kemampuan demi menyelamatkan orang lain.

Bantuan yang mereka berikan pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang mendukung warga emas dan kanak-kanak yang terperangkap di rumah, ada yang membersihkan sekolah, masjid serta PPS dan ada yang memasak untuk ribuan mangsa setiap hari.

Tidak kurang juga yang memberikan bantuan teknikal seperti membaiki pendawaian elektrik, menyediakan lampu kecemasan, memindahkan perabot rosak, malah menguruskan data logistik bagi memudahkan agensi kerajaan menyelaras tugas. Walau berbeza peranan, matlamat mereka serupa untuk mengembalikan kestabilan komuniti secepat mungkin.

Dalam budaya Melayu, semangat saling membantu ini bukan perkara baharu. Ia termaktub dalam peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘bagai aur dengan tebing’ yang menggambarkan hubungan saling bergantung ketika musibah melanda. Tradisi gotong-royong dan keprihatinan inilah yang terus menjadi kekuatan masyarakat Perlis ketika krisis berlaku.

Peranan besar sukarelawan turut disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan kejayaan operasi bencana tidak mungkin tercapai tanpa sokongan masyarakat.

Walaupun kerajaan menyediakan bantuan kemudahan, peralatan dan keselamatan, namun sukarelawanlah penyokong utama yang menggerakkan tindakan di lapangan. Malah, kehadiran mereka bukan sahaja membantu dari segi fizikal tetapi juga memberikan sokongan emosi kepada mangsa.

Dalam suasana penuh trauma akibat kehilangan harta benda, rumah berkecai serta tekanan psikologi namun kehadiran sukarelawan dengan senyuman dan kata-kata semangat amat besar ertinya. Sekadar berbual untuk menenangkan mangsa atau membantu mengemas rumah yang berselut lumpur sudah cukup meniup kembali kekuatan untuk bangkit. Ramai mangsa mengakui mereka seakan hilang arah dan di saat genting itulah sukarelawan menjadi tempat berpaut.

Namun begitu, jasa mereka masih kurang diangkat. Ramai antara mereka bekerja berhari-hari tanpa rehat, berdepan risiko kesihatan seperti jangkitan kulit atau leptospirosis, malah ada yang membeli peralatan dan bahan keperluan menggunakan wang sendiri. Walau begitu, mereka tidak merungut kerana percaya kerja sukarela adalah urusan kemanusiaan, bukan mencari penghargaan.

Semangat kesukarelawanan di Malaysia pula unik kerana diperkukuh oleh kepelbagaian budaya. Apabila bencana berlaku, perbezaan kaum, agama atau ideologi tidak lagi menjadi batas. Yang tinggal hanyalah nilai kemanusiaan yang menyatukan.

Sukarelawan bukan hanya datang daripada NGO besar malah kelompok kecil seperti surau, persatuan penduduk, kelab motosikal, pelajar universiti dan pertubuhan wanita turut memainkan peranan besar. Mereka membuktikan tanggungjawab sosial adalah milik semua.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut memainkan peranan apabila lebih 300 pelajar sanggup mengorbankan cuti semester untuk membantu operasi pembersihan.

Menurut Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli, pelajar terlibat digerakkan ke beberapa sekolah seperti di SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SK Seri Indera dan Sekolah Tengku Budriah, selain membantu membersihkan hampir 20 rumah kakitangan yang terjejas. Komitmen ini menggambarkan semangat kesukarelawanan berkembang subur dalam kalangan generasi muda.

PERHEBAT

Namun untuk memastikan peranan sukarelawan lebih berkesan, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan. Antaranya latihan asas bencana perlu diperluas supaya sukarelawan memahami prosedur keselamatan, pengendalian mangsa trauma, pengurusan logistik dan pertolongan cemas.

Kerajaan wajar menyediakan sistem penyelarasan lebih teratur agar tenaga sukarelawan dapat digunakan secara optimum, termasuk dengan mewujudkan pangkalan data sukarelawan berdaftar.

Kemudahan seperti pusat komuniti, stor peralatan dan sistem komunikasi bersepadu perlu dipertingkat bagi menyokong operasi penyelamatan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bertitah menegaskan kepentingan memperkemas pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bantuan, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Wang Kelian yang sering terputus akses. Penggunaan dron, peta digital dan teknologi pemantauan moden perlu dimaksimumkan untuk memudahkan penghantaran bantuan ke lokasi yang sukar ditembusi.

Dalam masa sama, pengiktirafan formal juga wajar dipertimbangkan. Bukan untuk memuja tetapi untuk menghargai sumbangan mereka sama ada melalui pensijilan, insurans perlindungan atau insentif kecil yang dapat meningkatkan motivasi tanpa menjejaskan keikhlasan kerja kebajikan.

Banyak negara maju menjadikan sistem sokongan sukarelawan sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan bencana nasional dan Malaysia tidak terkecuali daripada keperluan ini.

Sukarelawan juga memainkan peranan sebagai jambatan sosial yang merapatkan jurang antara masyarakat. Peribahasa ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ tepat menggambarkan kejayaan pemulihan pascabencana bergantung kepada kesatuan semua pihak.

Banjir besar Perlis kali ini menunjukkan nilai kemanusiaan mengatasi segala cabaran fizikal. Sukarelawan hadir tanpa dipanggil, bekerja tanpa gaji, namun memberikan sinar harapan kepada ribuan mangsa. Mereka mungkin tidak terpampang di muka akhbar tetapi jasa mereka terukir dalam hati masyarakat.

Ketika segala runtuh dan air bah menenggelamkan harapan, hanya satu perkara yang tinggal iaitu kita saling memerlukan.

Seperti peribahasa Melayu mengingatkan, ‘Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’ Dalam setiap komuniti, selalu ada wira-wira seperti ini. Terima kasih, sukarelawan.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN