Sekat penggunaan internet kanak-kanak

Sekat penggunaan internet kanak-kanak

KEMAJUAN teknologi tanpa panduan nilai hanya mempercepatkan keruntuhan akhlak generasi muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEJAK mencapai kemerdekaan, negara dan kerajaan amat mengutamakan program pendidikan dengan memberikan peruntukan perbelanjaan yang besar… Tetapi semua itu akan tinggal sebagai angka dan erti sebenar pendidikan tidak tercapai kalau jiwa anak-anak masih kosong dari segi nilai, apabila fokus pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir dan punya arah hidup yang betul.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hasil kajian neurologi secara konsisten membuktikan pendedahan berterusan terhadap peranti digital mencetuskan perubahan negatif terhadap perkembangan otak kanak-kanak. 

Selari dengan dapatan ini, penggunaan media sosial turut memberi implikasi yang merisaukan terhadap keupayaan interaksi sosial kanak-kanak serta menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, khususnya dalam kalangan remaja.

Antara implikasi paling ketara daripada fenomena ini adalah lonjakan insiden tingkah laku antisosial dalam kalangan pelajar sekolah, termasuk gejala buli. 

Ketua Polis Negara, dalam kenyataan pada Oktober lalu, melaporkan peningkatan signifikan statistik kes buli sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, dengan hampir 70 peratus insiden buli berlaku di sekolah menengah.

Menyedari ancaman ini, pakar neurologi serta sarjana dalam bidang keibubapaan secara kolektif menegaskan keperluan untuk menghadkan penggunaan peranti digital bagi pengguna bawah umur. 

Bahkan pertubuhan aktivis sosial yang memperjuangkan kelestarian institusi keluarga turut menggesa campur tangan kerajaan melalui perangkaan dasar awam dan penggubalan undang-undang yang komprehensif agar layar tidak menjadi guru tanpa nilai dan suara asing tidak membentuk jiwa yang masih mentah.

Kesannya, banyak negara serata dunia mula memperkenalkan rangka perundangan khusus bagi memantau dan menghadkan akses internet pengguna bawah umur. 

Thailand misalnya melaksanakan kawal selia permainan dalam talian seawal 2003. Langkah ini diikuti Vietnam pada 2011 yang turut mengenakan larangan aktiviti permainan dalam talian pada waktu malam. 

Korea Selatan pula memperkenalkan pendekatan lebih menyeluruh melalui aplikasi pemantauan yang membolehkan ibu bapa mengawal kandungan serta tempoh penggunaan peranti.

Di Eropah, negara seperti Itali, Norway dan Denmark mewajibkan kebenaran ibu bapa bagi pendaftaran akaun media sosial pengguna bawah umur. Malah, Perancis dan Sepanyol kini mempertimbangkan undang-undang yang lebih tegas termasuk pengharaman media sosial bagi kanak-kanak bawah usia tertentu serta pengharaman penuh teknologi berisiko seperti deep fake dan mekanisme loot box, iaitu mekanisme permainan yang menggalakkan pembelian dalam permainan digital secara rawak.

Selain elemen keganasan dalam permainan digital, kanak-kanak juga terdedah kepada kandungan seksual di laman web khususnya melalui media sosial.

Natijahnya, peningkatan tabiat hiperseksual kini semakin jelas dengan lonjakan kesalahan seksual di mana kedua-dua pelaku dan mangsa adalah bawah umur.

Sebagai contoh, statistik kehamilan remaja serta laporan insiden jenayah seksual yang berlaku kebelakangan ini mencerminkan implikasi serius pendedahan digital tanpa kawalan. 

November lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaporkan seramai 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin, hamil sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.

Minggu lalu, kita digemparkan dengan berita seorang pelajar berusia 16 tahun meliwat rakan sekolah berusia 14 tahun di asrama sekolah. 

Minggu ini pula, negara dikejutkan dengan berita kejadian sumbang mahram di mana seorang remaja perempuan 16 tahun dilaporkan membuang bayinya yang baru lahir hasil hubungan terlarang dengan adik lelaki yang berusia 14 tahun.

Pelaporan insiden sebegini bagaikan cermin retak yang memantulkan keruntuhan akhlak dalam kalangan kanak-kanak, rapuh dipukul arus dunia digital yang terlalu awal untuk mereka harungi. 

Meskipun mustahil untuk masyarakat moden berpatah balik ke zaman tumbesaran kanak-kanak yang bebas sepenuhnya daripada sentuhan teknologi digital, hakikatnya inisiatif agresif bagi menyelia akses internet bagi pengguna bawah umur adalah mustahak.

Pengumuman Menteri Komunikasi berhubung pengenalan dasar serta perundangan bagi memantau penggunaan media sosial dalam kalangan remaja wajar disambut sebagai langkah awal yang berani dan berpandangan jauh. 

Ia ibarat menyalakan pelita di lorong gelap dunia digital, memberi isyarat  kebebasan tanpa sempadan tidak boleh dibiarkan membentuk jiwa muda sesuka hati. 

Tidak mustahil, pada suatu ketika nanti, Malaysia turut melangkah lebih tegas dengan mencontohi pendekatan kerajaan China dalam mengawasi kandungan yang disebarkan oleh pempengaruh sosial tanpa kelayakan, agar suara yang bergema di alam maya bukan sekadar lantang tetapi juga berkelayakan, beretika dan bertanggungjawab.

Besar harapan masyarakat dengan penggarapan dasar yang lebih berwaspada dalam memantau penggunaan media sosial serta akses internet bagi kanak-kanak, tahun 2026 dapat menyaksikan suasana yang lebih baik. 

Masyarakat yang memelihara adab dan budi pekerti anak-anak, seiring usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka, akan melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah luhur akhlaknya dan teguh nilai kemanusiaannya.

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×