ROMBAKAN Kabinet pada 16 Disember lalu menandakan langkah strategik penting dalam landskap pentadbiran negara.
Perubahan dalam pentadbiran negara ini tidak wajar dilihat sebagai perubahan kosmetik atau sekadar mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya sebagai ikhtiar serius untuk memperkukuh keupayaan kerajaan dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks.
Dalam tradisi kepimpinan yang matang, rombakan Kabinet adalah instrumen pembetulan dan penambahbaikan, selaras dengan prinsip Islam yang menuntut muhasabah berterusan demi mencapai kebaikan yang lebih besar.
Rombakan ini membuka ruang kepada pemimpin baharu dan timbalan menteri yang menunjukkan prestasi cemerlang untuk membuktikan kemampuan di peringkat kementerian penuh. Langkah ini mencerminkan keberanian politik dan keyakinan terhadap bakat sedia ada dalam kerajaan.
Tokoh pengurusan moden, Peter Drucker, pernah menyatakan “pengurusan melakukan sesuatu dengan betul manakala kepimpinan melakukan perkara yang betul.” Dalam konteks ini, rombakan Kabinet merupakan usaha ‘melakukan perkara yang betul’ demi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan oleh individu yang paling berkeupayaan dan berintegriti.
KEPIMPINAN YANG AMANAH
Dalam kerangka Kerajaan Madani, rombakan Kabinet juga perlu difahami sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju cita-cita besar Baldatun thoyyibatun warabbun ghofur, sebuah negara yang baik, sejahtera dan mendapat keampunan Allah.
Negara yang baik tidak lahir daripada struktur semata-mata tetapi daripada kepimpinan yang amanah, adil dan berjiwa besar. Al-Quran mengingatkan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.
Rombakan Kabinet adalah manifestasi usaha tersebut, iaitu kesediaan untuk berubah demi kebaikan rakyat dan negara.
Keputusan ini memberi peluang kepada pemimpin baharu serta membawa mesej penting yang prestasi dan potensi diiktiraf, bukan sekadar senioriti atau kedudukan lama.
Ini selari dengan pandangan Ibn Khaldun yang menegaskan kelangsungan sesebuah tamadun bergantung kepada keupayaan kepimpinan membaca perubahan zaman dan menyesuaikan diri dengan realiti baharu (Ibn Khaldun, Al-Muqaddimah, Dar al-Fikr).
Kabinet dinamik dan berwawasan merupakan prasyarat kerajaan yang mampu bertahan dan berjaya.
KEPIMPINAN WANITA
Antara dimensi penting yang wajar terus diperkukuh dalam rombakan Kabinet ialah pengangkatan kepimpinan wanita. Dalam konteks Malaysia hari ini, wanita bukan lagi sekadar penyokong di belakang tabir tetapi membuktikan keupayaan sebagai pembuat dasar, pentadbir dan pemimpin berwibawa.
Islam sendiri tidak pernah menafikan peranan wanita dalam kepimpinan selagi memenuhi kriteria amanah dan kompetensi. Sayyidah Aisyah RA, misalnya, diiktiraf sebagai tokoh ilmu dan rujukan utama umat Islam, sehingga Imam Az-Zuhri menyatakan ilmunya mengatasi ramai sahabat lelaki (Ibn Sa‘d, Tabaqat al- Kubra).
Mengangkat wanita ke jawatan menteri penuh bukanlah konsesi politik tetapi pengiktirafan terhadap realiti kemampuan dan sumbangan mereka.
Bekas Canselor Jerman, Angela Merkel pernah menyatakan “kompromi bukanlah lambang kelemahan tetapi cerminan kebijaksanaan” sempena krisis Eropah pada 2015.
Dalam konteks kepimpinan wanita, kebijaksanaan, ketelitian dan keupayaan membina konsensus menjadi nilai tambah yang besar kepada pentadbiran negara.
BERSEDIA MEMPERBAIKI KEADAAN
Rombakan Kabinet juga memberi isyarat kerajaan bersedia memperbaiki kelemahan dan tidak terikat kepada keputusan lampau. Ini menepati prinsip muhasabah dalam Islam, yang menuntut pemimpin menilai diri sebelum dinilai oleh rakyat dan Tuhan.
Saidina Umar al-Khattab pernah berpesan, “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab” (riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman).
Rombakan Kabinet, jika dilakukan dengan niat yang betul menjadi sebahagian daripada proses ‘hisab diri’ di peringkat negara.
Dalam masa sama, rakyat juga wajar melihat rombakan ini sebagai peluang untuk memperbaharui kontrak kepercayaan antara kerajaan dan masyarakat.
Harapan rakyat bukanlah kepada wajah semata-mata sebaliknya bergantung pada hasil kerja, keberkesanan dasar dan kejujuran kepimpinan.
Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah mengingatkan “seorang pemimpin umpama penggembala yang berada di belakang kelompoknya, membiarkan yang paling tangkas mendahului.”
Kabinet baharu perlu bergerak sebagai satu pasukan, memberi ruang kepada yang berpotensi dan memastikan setiap kementerian berfungsi demi kepentingan rakyat.

MENJAGA MASLAHAT MANUSIA
Dalam kerangka Madani, rombakan Kabinet juga perlu menegaskan nilai rahmah, keadilan dan ihsan dalam pentadbiran. Kementerian bukan sekadar pusat kuasa tetapi medan khidmat.
Pemimpin yang diangkat mesti memahami jawatan adalah amanah, bukan keistimewaan.
Al-Ghazali mengingatkan tujuan kuasa dalam Islam adalah untuk menjaga maslahat manusia dan menolak kemudaratan (Al-Ghazali, Al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul). Prinsip ini wajar menjadi kompas moral kepada setiap menteri baharu.
Akhirnya, rombakan Kabinet Kerajaan Madani harus dilihat sebagai fasa baharu dalam usaha membina negara yang lebih adil, inklusif dan berdaya saing. Perubahan ini membuka peluang kepada bakat baharu, termasuk wanita, untuk menyumbang di peringkat tertinggi dan memperkukuh keupayaan kerajaan dalam merealisasikan aspirasi rakyat.
Seperti yang ditegaskan oleh Peter Drucker, masa hadapan tidak sekadar diramal tetapi dicipta melalui keputusan berani hari ini.
Jika rombakan ini disertai dengan komitmen bekerja, integriti yang tinggi dan kesediaan mendengar suara rakyat, maka boleh menjadi antara langkah penting menuju Baldatun thoyyibatun warabbun ghofur.
Negara yang baik dan diberkati bukan dibina oleh individu sempurna tetapi pemimpin yang sanggup belajar, berubah dan berkhidmat dengan penuh amanah demi kesejahteraan semua. –UTUSAN
ATRIZA Umar ialah Calon Ijazah Kedoktoran Kepimpinan Wanita.











