Membangunkan negara perlu bermula dari rakyat

Membangunkan negara perlu bermula dari rakyat

PEMBANGUNAN sosioekonomi Malaysia berjaya dicapai melalui evolusi progresif, pendidikan berkualiti, dan revolusi minda rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTUKAN, perkembangan dan pembangunan masyarakat Malaysia dalam semua aspek kehidupan berlaku dalam bentuk pembangunan sosioekonomi yang terancang.

Usaha ini berjalan sejak negara mencapai kemerdekaan menerusi pelbagai dasar sosioekonomi nasional yang berstrategi dan berwawasan.

Sebelum kemerdekaan, kita sangat bergantung kepada polisi penjajahan yang tidak sama sekali mempunyai agenda untuk mengangkat taraf sosioekonomi anak bangsa.

Cuma segolongan kecil dari golongan atasan atau bangsawan yang dibantu pihak penjajah, terutama dalam bidang pendidikan. Itu pun atas kepentingan tertentu pihak penjajah.

Hanya selepas merdeka, barulah kita dapat membawa haluan dan acuan sendiri dalam membangun sosioekonomi anak bangsa.

Usaha pembangunan secara terancang ini membawa kepada ‘evolusi progresif’ yang menonjolkan perubahan sosioekonomi yang dinamik mengikut tuntutan dan perubahan masa.

Perubahan yang dinamik ini dilalui secara berperingkat, tersusun tetapi pantas dan menyeluruh. Pembaharuan yang dibawa melalui pendekatan evolusi progresif dan dinamik ini berjaya merubah masyarakat dengan begitu berkesan terutamanya ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN), iaitu satu gabungan politik berhaluan sederhana atau berhaluan tengah ditubuhkan pada 1974 bagi menggantikan Parti Perikatan.

Pendekatan pembangunan sosioekonomi ini bebas dari unsur paksaan dan kekerasan yang memberi kebebasan kepada seluruh rakyat berpartisipasi dalam arus pembangunan sosioekonomi negara secara bebas dan terbuka.

Bagi menyedarkan rakyat agar turut serta aktif dalam pembangunan negara, kerajaan menekankan konsep ‘revolusi mental’ dan ‘revolusi sikap’, supaya agenda pembangunan sosioekonomi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat.

Pemimpin dan rakyat bersama-sama merevolusikan minda dan sikap ke arah mencapai wawasan nasional yang ditetapkan. Revolusi minda ini penting bagi membangkitkan ‘daya tenaga’ masyarakat, mendorong semangat dan keinginan untuk melakukan perubahan, sekali gus melonjakkan transformasi sosioekonomi ke arah negara yang maju dan berdaya saing.

Melalui ‘revolusi minda’, rakyat menunjukkan perubahan sikap, paradigma pemikiran, tingkah laku dan mengubah kebiasaan diri supaya menjadi warganegara yang proaktif dan bercita-cita tinggi bagi menjayakan agenda wawasan negara.

Pendidikan formal yang dibentuk melalui dasar pendidikan nasional sangat memainkan peranan besar dalam perubahan mentaliti dan sikap anak bangsa kita.

Kesannya, rakyat aktif berpartisipasi dalam proses pembangunan negara yang membawa kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Pembangunan yang dinikmati itu dicapai melalui masyarakat berilmu hasil dari pendidikan nasional yang terancang dan terarah. Langkah ini melahirkan pekerja yang mahir untuk mendukung proses pembangunan negara.

Segala bentuk perubahan dan transformasi dilaksanakan kerajaan dalam lebih enam dekad lalu adalah untuk menjadikan masyarakat Malaysia maju yang mendukung kehidupan berbudaya tinggi dengan menolak fahaman bercanggah dengan semangat demokrasi.

Dalam erti kata lain, kita tidak serasi dengan fahaman sosialis, teokrasi dan liberalisme yang bercanggah atau bertentangan dengan semangat kepemimpinan demokrasi.

Apatah lagi ‘politik revolusi’ yang boleh membawa anarkisme dan menghancurkan negara.

Kamus Dewan (2007) memberikan pengertian ‘revolusi’ sebagai perubahan yang dilakukan secara radikal dan kekerasan. Bidang sains politik mentakrifkan makna revolusi sebagai perlakuan atau tindakan untuk merubah sistem pemerintahan secara radikal atau kekerasan.

Hakikatnya, ‘politik revolusi’ mengandungi elemen pemberontakan, rusuhan, keganasan dan kebencian yang lebih banyak menghancurkan daripada membina.

Justeru, tidak hairanlah beberapa tokoh tersohor Islam seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Iman al-Ghazali, Imam as-Syaukani dan Ibnu Taimiyyah menolak kaedah politik revolusi kerana kaedah itu lebih cenderung membawa keburukan daripada kebaikan.

Namun, sejarah menunjukkan apabila pemerintah diktator menindas rakyat sehingga pintu demokrasi tertutup, maka kaedah revolusi boleh digunakan untuk menumbangkan kerajaan yang mengongkong dan zalim, bagi mengembalikan suara demokrasi yang adil dan terarah untuk semua rakyat.

Justeru, penting bagi kita memiliki kerajaan yang mampu mempertahankan semangat demokrasi.

KEPENTINGAN KERAJAAN DEMOKRATIK
Jangan mencampurkan demokrasi dengan fahaman lain. Ini kerana, apabila fahaman yang bercanggah dengan prinsip demokrasi diserap atau bercampur dalam pentadbiran kerajaan, ia akan menimbulkan pelbagai pertentangan yang boleh melemahkan keupayaan pentadbiran dan menjejaskan proses pembangunan sosioekonomi rakyat serta negara.

Pembangunan yang terlalu memihak kepada golongan kapitalis boleh mendorong munculnya pemerintah diktator. Kerajaan sebegini cenderung mengabaikan nasib rakyat dan lebih mesra kepada golongan kapitalis yang rakus dan menindas.

Malah, hak rakyat tidak dilindungi secara adil, malah sering ‘dilunakkan’ dengan pemberian sementara untuk meredakan kemarahan. Kepimpinan diktator juga cenderung membuat keputusan sendiri, termasuk dalam urusan perjanjian dengan negara luar, sehingga berisiko menggadaikan kebebasan dan kemerdekaan negara dalam menentukan dasar perdagangan dan pentadbiran.

Justeru, kita memerlukan kerajaan demokratik yang mampu melindungi hak rakyat, merancang pembangunan sosioekonomi secara adil dan bebas serta menjauhkan pengaruh kuasa luar yang boleh mengikat negara dalam pelaksanaan dasar. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN