HIDUP pada zaman fitnah ini begitu banyak cabarannya. Sering kali kita terpedaya dengan naratif dimainkan pihak tertentu yang sengaja memanipulasikan keadaan bagi mencapai apa sahaja mereka hajatkan.
Dalam budaya internet masa kini, amalan rage-bait atau umpan berang menjadi semakin popular. Keadaan ini apabila seseorang sengaja melakukan sesuatu untuk membangkitkan rasa marah sesetengah orang dalam kalangan warga maya.
Akibatnya, ramai yang terpedaya dan tidak sedar mereka masuk perangkap, lantas secara halus dipergunakan oleh si pelaku bagi mencapai agenda tertentu.
Mereka yang terpancing oleh umpan berang ini selalunya bangkit bertindak secara melulu dan melampau bagi menzahirkan rasa marah terhadap naratif yang dimainkan.
Ramai yang mencaci, memaki-hamun dan mengugut si pelaku, tanpa menyedari tindakan melampau seperti itulah tindak balas yang mahu dicetuskan oleh si pelaku.
Perbuatan mengumpan berang tambah berleluasa dengan adanya teknologi terkini seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) yang bukan hanya menjadikan kerja mengumpan jerat lebih mudah tetapi juga lebih berkesan.
Sejak kebelakangan ini semakin banyak video AI dijana dan ditularkan di alam maya. Ada yang dibuat untuk tujuan hiburan semata-mata, namun ada juga video yang dihasilkan dengan tujuan mengundang kemarahan dan kebencian golongan tersasar.
Sebagai contohnya, baru-baru ini tular beberapa video AI yang menghina agama Islam, lantas menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang ramai.
Video-video yang menggambarkan Kaabah di Masjidilharam seakan-akan menyambut perayaan agama lain jelas merupakan umpan berang yang menyasarkan umat Islam.
Sudah pasti saya menentang keras tindakan pihak yang menyalahgunakan teknologi bagi tujuan tidak baik serta mengganggu-gugat orang lain, terutamanya apabila melibatkan kesensitifan agama.
Namun ada yang menzahirkan kemarahan dengan cara menyebarkan luas video tersebut sambil mendesak orang lain untuk turut berbuat sedemikian. Alasan mereka ialah, kita perlu kongsikan video tersebut agar orang Islam sedar agama kita sedang dihina.
Dengan memetik kata-kata Hamka, “jika diam saat agamamu dihina, maka gantilah bajumu dengan kain kapan,” mereka mengutuk sesiapa sahaja yang tidak kongsikan video berkenaan.
Namun persoalannya, bukankah tindakan sedemikian akan membantu menyebarluaskan lagi video yang menghina agama kita sendiri? Sudah tentu perbuatan kita itu memberi keuntungan kepada si penghina.

FIKIR SEBELUM BERTINDAK
Sebaliknya, dalam situasi ini, perkara utama yang perlu kita lakukan adalah untuk membuat laporan agar video tersebut ditarik balik. Seboleh-bolehnya, kita tidak mahu sesiapa pun melihat video tersebut dan bukan menyebarkannya lagi.
Di dalam Bayan Linnas ke-325 oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jelas dikatakan tindakan menularkan video sebegitu hanya akan memberi kredit kepada kandungan tersebut, malahan akan tersebar dengan lebih meluas.
Tambahan lagi, perbuatan menularkan kandungan menghina Islam ditakuti akan memasukkan kita dalam kalangan orang-orang yang membantu dalam keburukan.
Inilah padahnya apabila bertindak tanpa berfikir panjang. Tanpa sedar, termakan umpan berang orang yang menghina kita. Tindakan kita hanya memakan diri dan membantu mereka yang ingin menyebarkan kebencian.
Ambillah pengajaran daripada kisah yang terjadi di sebalik kemarahan umat Islam di seluruh dunia setelah majalah Charlie Hebdo di Perancis membuat lukisan satira menghina Rasulullah SAW.
Lanjutan daripada kejadian tersebut, pada 2015, dua orang adik-beradik beragama Islam bertindak balas dengan menembak rambang di pejabat penerbitan tersebut kerana tidak ingin berdiam tatkala agama dihina.
Namun, tindakan ganas seperti itu salah di sisi agama Islam. Tambahan lagi, ia turut memberi gambaran yang buruk tentang Islam, malah kejadian tersebut sebenarnya membangkitkan lagi sentimen Islamofobia di seluruh dunia apabila ramai yang mengutuk kononnya Islam merupakan agama yang tidak boleh bertoleransi dengan kartun.
Di dalam hadis Sahih al-Bukhari, 6256, Saidatina Aisyah RA meriwayatkan kisah bagaimana Rasulullah SAW pernah disapa seorang Yahudi dengan ucapan “Assamualaika” (ucapan bermaksud kematian kepada kamu).
Pada asalnya, Aisyah berbalas “Alakumussamu walaknah” (kepada kamu juga kematian serta kecelakaan). Namun, beliau ditegur oleh Rasulullah yang bersabda “Bertenanglah, Aisyah. Kerana sesungguhnya Allah mencintai sesiapa yang berbaik hati dalam segala perkara.”
Ini menunjukkan dengan jelas Islam tidak pernah mengajar untuk bertindak menurut rasa marah termasuk apabila dihina, dicela, malah dicerca.
Sebaliknya, Islam mendidik supaya bersabar dan sentiasa mengawal perasaan dalam apa jua keadaan, apatah lagi ketika marah.
Perasaan, khususnya amarah, boleh menjadi alat ampuh kepada syaitan untuk membawa ke jalan yang salah. Apabila hati dikabuti perasaan berang yang amat, kita lebih mudah melakukan perkara dengan penuh emosi tanpa pertimbangan.
Atas dasar inilah, kita juga disuruh untuk menjaga perasaan semasa berpuasa, kerana amarah dan ketidaksabaran merupakan antara nafsu memudahkan kita ke arah kemungkaran.
Malang sekali, ramai merasakan tindakan mereka itu demi agama, tidak kira apa kelakuannya. Hanya kerana jiwa dipenuhi semangat, kita dengan mudahnya boleh dimanipulasi orang lain untuk melakukan sesuatu yang salah.
Lebih teruk lagi, kita mengutuk orang lain kerana tidak melakukan tindakan yang kita lakukan. Ada juga yang menggelar sesiapa yang tidak menuruti kelakuan mereka sebagai munafik atau boneka musuh Islam.
Di sinilah kekritikalan minda penting. Apabila terlalu terburu-buru, sering tidak perasan akan padah kelakuan kita, ibarat anjing melepaskan tulang mengejar bayang sendiri.
Berfikirlah secara bijaksana menggunakan akal yang waras dalam semua keadaan. Jangan sampai demi menyatakan cinta terhadap agama, kita membiarkan diri bertindak sambil dibakar api kemarahan sehingga membawa kepada kemurkaan Allah.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










