PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu implikasi ‘kuasa’ surat sokongan projek oleh pihak atasan yang masih belum dapat dibanteras secara menyeluruh walaupun terdapat surat pekeliling larangan atas amalan yang melanggar peraturan pentadbiran kerajaan tersebut.
Pendedahan maklumat atau bukti yang tular menerusi media sosial terlalu pantas dan sukar untuk disembunyikan. Setiap lembaran surat sokongan lengkap dengan cop kementerian dan tandatangan politikus terlibat.
Ayat-ayat sokongan dalam bentuk arahan dan tidak dapat diabaikan. Hal ini jelas menunjukkan budaya campur tangan politik dalam urusan teknikal kerajaan masih berleluasa dan aktif.
Lebih membimbangkan, budaya ini muncul dalam era panji reformasi, integriti dan ketelusan. Namun, realiti yang berlaku menunjukkan keadaan di sebaliknya. Proses perolehan kerajaan yang sepatutnya berpaksikan merit dan profesionalisme, masih dibayangi amalan melobi dengan menggunakan surat sokongan.
MCW mewakili suara rakyat mendesak agar kerajaan bertindak pantas dalam hal ini dan mengeluarkan arahan larangan tegas terhadap amalan pengeluaran surat sokongan oleh menteri, timbalan menteri atau mana-mana anggota pentadbiran bagi tujuan perolehan kerajaan dan kelulusan teknikal.
SAKAU 2.0
Jika sakau dahulu dilakukan secara gelap dan tidak berjejak, hari ini hadir dalam bentuk lebih ‘profesional’ melalui surat rasmi dan cop kementerian.
Ayat surat sokongan dengan nada “saya sokong / tiada halangan / mohon pertimbangan dan sokongan (cc) kepada beberapa pegawai tinggi” walaupun kelihatan sopan, natijahnya sangat bahaya.
Ayat-ayat tersebut menekan penjawat awam secara halus dan membuka ruang kesalahan campur tangan luar dalam keputusan teknikal, kontraktor tidak layak mendapat ‘laluan istimewa’, merit diketepikan dan kesan akhirnya projek akan terbengkalai, kos meningkat malah paling bahaya menyebabkan keselamatan rakyat terancam.
Budaya ini masih berterusan walaupun kerajaan mengeluarkan Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan (JPM 2024) yang jelas menegah amalan tersebut, terutamanya jika terdapat percanggahan kepentingan, niat rasuah atau tawaran suapan (Perenggan 11) .
SURAT SOKONGAN JADI TEKANAN
Dokumen rasmi kerajaan menetapkan apa-apa bentuk sokongan, sama ada ‘disokong’, ‘tiada halangan’ atau ‘sila teliti’ , tidak boleh dianggap sebagai kelulusan atau merit untuk mempengaruhi keputusan urusan kerajaan (Perenggan 7) .
Namun realiti yang berlaku, pegawai terasa ‘terikat moral’ dengan nama ahli politik berkenaan. Lembaga tender mungkin berasa tergugat dan syarikat bersaing tidak dapat berlawan secara adil.
Walaupun garis panduan menyatakan sokongan itu tidak mengikat (Perenggan 13) , persepsi tekanan tetap wujud dan inilah yang merosakkan integriti keseluruhan sistem pentadbiran negara.
Sekiranya perkara ini dibiarkan dan tidak dibendung akan menjadi punca utama monopoli tender dan ketidakadilan kepada pihak yang berhak mendapatkan projek tertentu berdasarkan kepakaran mereka.
KEROSAKAN SISTEM
MCW melihat implikasi surat sokongan sebagai ancaman berbahaya terhadap tiga komponen utama sistem tadbir urus:
– Keadilan dalam perolehan kerajaan
Proses tender akan lebih bernilai jika persaingan dilakukan berdasarkan merit dan bukan atas sokongan politik.
– Integriti penjawat awam
Penjawat awam tidak sepatutnya dipaksa ‘membaca niat’ dalam surat sokongan yang dikepilkan sebagai arahan wajib.
– Keselamatan projek nasional
Projek kritikal seperti hospital, jambatan, sistem pertahanan, infrastruktur tidak boleh diserahkan kepada syarikat yang menang menerusi lobi dan bukan kelayakan.
Sekiranya ‘surat restu’ menjadi pasport politik untuk memintas prosedur, maka negara bukan sahaja kehilangan integriti malah lebih bahayakan rakyat.
Garis panduan kerajaan mengingatkan anggota pentadbiran larangan menyatakan sokongan jika wujud konflik kepentingan (Perenggan 11).
Mereka wajib melaporkan sebarang tawaran suapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Perenggan 10).
Sokongan yang dikeluarkan demi kepentingan diri, saudara atau sekutu boleh disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan dihukum (Perenggan 14-15).
Kesemua ini membuktikan surat sokongan bukan amalan remeh tetapi kesan akibatnya boleh menjadi kesalahan jenayah.
REFORMASI GAGAL
Laungan reformasi seolah-olah semudah menulis manifesto. Namun, untuk membina kekuatan integriti bagi menuntut keberanian dalam membuat keputusan mencantas amalan lama ini, dilihat sukar dilaksanakan sekiranya masih ada dalam kalangan menteri atau anggota pentadbiran tidak berintegriti.
Apalah gunanya perubahan kerajaan, slogan Malaysia Madani dan pembaharuan institusi sekiranya budaya melobi ini tidak dapat dihapuskan!
Reformasi bukan istilah atau isu penjenamaan, sebaliknya berkaitan keberanian ‘memotong urat saraf’ budaya salah guna kuasa.
Oleh itu, MCW mencadangkan lima langkah besar seperti berikut:
– Pengharaman sepenuhnya surat sokongan dalam semua urusan perolehan dan kelulusan teknikal
Tiada pengecualian untuk projek sama ada pembinaan, pembelian peralatan, pembekalan dan perkhidmatan profesional teknikal.
Jika berkaitan kebajikan rakyat, pendidikan atau bantuan sosial boleh dipertimbangkan dalam format berbeza dan tiada kaitan perolehan.
– Sistem e-Log sokongan politik berskala nasional
Semua bentuk sokongan wajib direkodkan untuk audit, selaras dengan Perenggan 5-6 garis panduan .
– Pengukuhan ‘perlindungan’ kepada penjawat awam
Ini bagi memastikan mereka tidak takut menolak campur tangan politik.
-Latihan Integriti Wajib kepada semua anggota pentadbiran
Setiap menteri mesti mengikut modul khas mengenai konflik kepentingan dan peruntukan Akta SPRM.
-Denda berat terhadap syarikat yang melobi menerusi surat politik
Jika syarikat berkenaan didapati menggunakan saluran ‘sokongan politik, wajar disenarai hitam.
Kini, sudah tiba masanya kita mengatasi punca penyakit amalan surat sokongan yang sudah lama menapak dalam negara.
Pengharaman secara tegas dan menyeluruh terhadap amalan surat sokongan bukan tindakan ekstrem sebaliknya langkah asas untuk menyelamatkan integriti negara.
Kemajuan Malaysia tidak akan melonjak hebat ke hadapan seperti negara maju yang lain sekiranya sistem perolehannya masih dipengaruhi amalan budaya ‘surat pintu belakang’.
Justeru, MCW sekali lagi menekankan kerajaan wajib melakukan reformasi secara menyeluruh, bukan sekadar menghapuskan surat sokongan menteri dalam urusan perolehan dan budaya sakau 2.0 malah lebih teliti terhadap setiap peraturan atau undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan amalan tidak berintegriti ini.
Arahan tegas ini perlu dilaksanakan untuk mencapai aras reformasi unggul budaya tata kelola dalam sistem pentadbiran kerajaan, perolehan yang telus dan persaingan secara sihat bagi mengekalkan kualiti projek demi untuk memulihkan martabat serta imej integriti negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










