BEBERAPA tahun kebelakangan ini, pendidikan Malaysia melalui pelbagai reformasi struktur dan dasar. Kementerian Pendidikan (KPM) menekankan kepentingan kemenjadian murid, kesejahteraan guru dan keberkesanan pentadbiran pendidikan.
Namun begitu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai penghubung antara KPM di Putrajaya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah masih berfungsi dalam kerangka lazim, lebih bersifat pentadbiran dan kawal selia.
Dalam konteks pendidikan abad ke-21 yang menuntut pendekatan berasaskan data, inovasi dan kolaborasi komuniti, fungsi tradisional PPD sebagai pengurus dan penyelia sekolah tidak lagi memadai.
Berdasarkan data, terdapat 155 buah PPD di seluruh negara yang menguruskan 10,243 buah sekolah dengan lebih 430,000 guru dan hampir lima juta murid.
Dalam ekosistem sebesar ini, keupayaan PPD sebagai institusi penggerak perubahan menjadi kunci keberkesanan dasar pendidikan di lapangan.
Persoalannya adakah struktur semasa PPD masih relevan untuk menghadapi cabaran pendidikan baharu seperti keciciran digital, jurang literasi, salah laku murid, penglibatan industri-komuniti serta ketidaksamaan peluang pendidikan antara bandar dan luar bandar?
Secara tradisional, peranan PPD tertumpu kepada tiga fungsi utama iaitu sebagai penyelia, pelaksanaan dasar pendidikan di peringkat daerah; menyelaras sumber dan peruntukan kepada sekolah selain berperanan memantau prestasi sekolah.
Namun, model birokratik ini yang semakin kurang sesuai dalam konteks digitalisasi pentadbiran awam.
Hari ini, banyak urusan sekolah seperti penyediaan data enrolmen, laporan kewangan dan pelaporan prestasi boleh dilaksanakan terus ke peringkat KPM melalui sistem seperti e-Operasi, Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan e-Perolehan.
Dalam keadaan ini, fungsi tradisional PPD berisiko menjadi usang dan tidak diperlukan lagi. Oleh itu, PPD perlu beralih daripada peranan tradisional sebagai ‘pengurus pelaksanaan’ kepada ‘pemikir pembangunan pendidikan daerah’.
PPD harus menjadi institusi yang menggerakkan aktiviti wacana ilmu, penyelidikan tindakan dan pembinaan strategi pembangunan pendidikan berasaskan konteks setempat.
Malaysia mempunyai kepelbagaian konteks sosioekonomi dan budaya pendidikan. Terdapat daerah yang bergelut dengan kadar keciciran tinggi, manakala ada daerah lain yang berhadapan isu kesesakan bilik darjah atau kekurangan guru opsyen.
Data KPM (2023) menunjukkan kadar keciciran murid tertinggi direkodkan di Sabah (4.6 peratus) dan Kelantan (3.1 peratus), berbanding hanya 0.5 peratus di Selangor. Ini membuktikan setiap daerah mempunyai cabaran pendidikan berbeza dan memerlukan strategi pendidikan bersasar, bukan penyelesaian seragam di seluruh negara.
Di sinilah peranan ‘baharu’ PPD menjadi penting sebagai pusat titik temu antara pengumpulan data, wacana dasar dan pelan tindakan.
PPD perlu mempunyai unit penyelidikan pendidikan di peringkat daerah yang menjalankan analisis berasaskan data sekolah, kajian tindakan guru dan maklumat komuniti setempat. Hasil data ini akan membolehkan PPD menggubal Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan Daerah yang lebih kontekstual dan realistik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, KPM melaporkan peningkatan kes disiplin serius termasuk buli dan pergaduhan. Menurut laporan KPM 2024, sebanyak 18,450 kes disiplin serius direkodkan pada 2023, meningkat 11 peratus berbanding 2022. Namun, agihan kes ini tidak sekata, ada daerah dengan kes tinggi, ada pula yang daerah yang hampir sifar.
Dalam konteks ini, tindakan berasaskan sentimen seperti kempen nasional ‘Kami Benci Buli’ tidak mampu menyelesaikan punca sebenar. Sebaliknya, analisis daerah perlu dilakukan untuk mengenal pasti faktor demografi, ekonomi keluarga dan persekitaran sosial yang menyumbang kepada peningkatan kes buli di sesebuah daerah.
Melalui data yang tepat, PPD boleh melaksanakan intervensi bersasar seperti program mentor-mentee, unit sokongan psikososial daerah dan bekerjasama dengan polis komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat tempatan.
Pendekatan ini lebih lestari berbanding arahan umum dari Putrajaya yang ada ketikanya kurang sesuai dengan realiti daerah.
PELBAGAI PLATFORM
Ekosistem pendidikan tidak hanya terdiri daripada sekolah dan guru tetapi juga komuniti yang lebih luas. Ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak industri, masjid, rumah ibadat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan NGO ialah rakan strategik penting.
Dalam konteks ini, PPD harus menjadi platform kolaboratif daerah, menghubungkan sekolah dengan sumber dan kepakaran setempat.
Konsep Pembangunan Pendidikan Berasaskan Komuniti akan menjadikan PPD pemacu pembangunan sosiopendidikan daerah, bukan sekadar penyelia dasar pendidikan semata-mata.
Malah, dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), fungsi PPD perlu disokong sistem digital pintar. PPD wajar membangunkan Pusat Data Pendidikan Daerah yang mengintegrasikan maklumat enrolmen, prestasi akademik, kehadiran murid dan penglibatan komuniti.
Melalui papan pemuka pintar ini, pegawai PPD dapat memantau pola data secara masa nyata serta mengenal pasti sekolah berisiko. Jika PPD gagal menyesuaikan diri dengan pendigitalan, mungkin pada akhirnya sekolah akan terus berurusan ke JPN atau KPM, sekali gus meminggirkan peranan PPD.
Oleh itu, nilai tambah PPD mesti bersifat intelektual dan analitik, bukan sekadar administratif.
Sebagai langkah ke hadapan, disarankan agar setiap PPD distruktur semula menjadi Pusat Pembangunan Pendidikan Daerah (PPPD). PPPD akan mempunyai tiga teras utama.
Pertama, sebagai peneraju penyelidikan dan Pusat Data Pendidikan Daerah. Institusi PPD berfungsi menjalankan kajian tindakan dan analisis data pendidikan daerah untuk mengenal pasti trend prestasi, keciciran mahupun kesejahteraan murid.
Kedua, PPD sebagai pusat pemikiran dan wacana pendidikan daerah melalui penganjuran seminar, bengkel, forum dan wacana dasar pendidikan dengan melibatkan guru, ibu bapa dan komuniti.
Ketiga, PPD sebagai pengerak kolaborasi komuniti pendidikan dengan membina rangkaian strategik antara sekolah, industri dan agensi daerah dalam memperkukuh ekosistem pendidikan.
Dengan peranan ini, PPD ibarat ‘universiti kecil’ untuk pembangunan pendidikan daerah, tempat lahirnya idea baharu, inovasi dan tindakan berpaksikan data.
PPD perlu berperanan sebagai pemikir dan pemimpin perubahan di peringkat daerah, bukan sekadar pelaksana dasar.-UTUSAN
DR. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM).










