DALAM era media sosial dan ledakan maklumat, peranan ahli akademik semakin disalah tafsir.
Pandangan pantas lebih dihargai berbanding penelitian mendalam. Keyakinan sering disamakan dengan kebenaran, manakala keraguan dianggap kelemahan.
Hakikatnya, dalam zaman seperti inilah peranan sebenar ilmuwan menjadi semakin penting. Seorang akademik bukan dinilai kerana kelantangan suaranya, tetapi kerana keberanian berfikir secara bebas yang digandingkan dengan disiplin terhadap bukti dan kaedah ilmiah.
Al-Quran telah lama mengingatkan prinsip asas ini: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati — semuanya akan dipertanggungjawabkan.” (Surah Al-Isra’ 17:36).
Fikiran bebas tanpa ilmu bukanlah keberanian, tetapi kecuaian. Pandangan tanpa ketelitian bukan pencerahan, tetapi sekadar kebisingan dan banyak suara yang hari ini dianggap “pemikiran berani” akan kekal sebagai bunyi bising semata-mata dalam catatan sejarah.
Sejarah membuktikan bahawa kemajuan sebenar lahir daripada ilmuwan berdisiplin, bukan pemberontak kosong sepeti yang boleh kita amati dari beberapa petikan dari alam akademik.
Ignaz Philipp Semmelweis, seorang doktor Hungary abad ke-19, mendapati kadar kematian ibu bersalin sangat tinggi di wad yang diuruskan doktor berbanding bidan. Beliau mengenal pasti tangan yang tercemar sebagai puncanya dan mewajibkan amalan mencuci tangan dengan larutan khas.
Kadar kematian menurun dengan ketara. Namun, beliau dihina, disingkirkan dan akhirnya dimasukkan ke hospital sakit jiwa.
Beliau meninggal dunia sebelum teori kuman diterima dunia sains. Beliau bukan sekadar melawan arus, tetapi berdiri teguh bersama data.
Begitu juga kisah Barbara McClintock, seorang ahli genetik Amerika yang menemui gen yang boleh “melompat” dalam kromosom.
Penemuannya bercanggah dengan fahaman sains ketika itu dan ditolak selama puluhan tahun. Beliau tidak mencari populariti, tidak merendahkan karyanya untuk penerimaan umum.
Beliau terus bekerja dengan disiplin dan kesabaran. Akhirnya, pada tahun 1983, beliau dianugerahkan Hadiah Nobel. Karyanya membuktikan bahawa kebenaran tidak memerlukan sorakan, hanya memerlukan ketekunan.
Stanley B. Prusiner pula dicemuh apabila mencadangkan bahawa penyakit otak tertentu disebabkan oleh protein rosak yang dinamakan prion, tanpa melibatkan DNA atau RNA.
Idea ini dianggap mustahil oleh ramai saintis. Namun beliau mengukuhkan bukti, menajamkan metodologi dan membuka datanya untuk disemak. Pada tahun 1997, beliau menerima Hadiah Nobel, bukan kerana bersifat menentang, tetapi kerana berdisiplin terhadap kebenaran.
Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa pemikiran bebas hanya bernilai apabila ia berpaksikan ketelitian. Hari ini, ramai yang melabel diri sebagai “pemikir bebas” dari penjajahan akademik tetapi tidak mengemukakan data, tiada metodologi dan enggan diuji.
Idea mereka tidak membesar menjadi ilmu, tidak matang menjadi kebijaksanaan. Ia kekal seperti asalnya bunyi bising yang menyamar sebagai keberanian. Dan sehingga hari ini, kebisingan itu terus wujud tanpa membawa manfaat kepada peradaban.
Dalam dunia moden, kerosakan akibat mengabaikan ketelitian semakin jelas.
Krisis “replikasi” dalam bidang psikologi dan sains perubatan membongkar bagaimana tekanan untuk menerbitkan hasil pantas melahirkan kajian lemah dan statistik dimanipulasi. Semasa pandemik Covid-19, terdapat ahli akademik yang membuat kenyataan tegas tanpa asas data mencukupi.
Kerosakan bukan kerana mereka berfikir secara bebas, tetapi kerana mereka berbicara tanpa disiplin. Hingga kini, banyak kenyataan tersebut kekal bukan sebagai kebijaksanaan, tetapi sebagai bising yang dirakam oleh sejarah.
Tradisi intelektual Islam telah lama memberi amaran tentang bahaya ini.
Imam Al-Ghazali mengumpamakan ilmu tanpa disiplin seperti senjata di tangan orang gila. Jalaluddin Rumi pula mengingatkan bahawa kebijaksanaan yang digerakkan oleh ego membutakan hati, manakala keinsafan membuka jalan kepada kebenaran.
Islam tidak pernah meraikan pandangan kosong; Islam memuliakan tafakur yang berdisiplin.
Bagi Malaysia, pengajaran ini sangat relevan. Sebagai negara yang mengharmonikan Islam, sains, tradisi dan kemodenan, universiti kita mesti melahirkan sarjana yang berani mencabar konsensus yang lemah, tetapi cukup rendah hati untuk tunduk kepada bukti yang kukuh.
Kemajuan sesebuah negara bukan diukur dengan banyaknya suara, tetapi dengan kedalaman pemikiran.
Akhirnya, pada pendapat saya, akademik sejati adalah gabungan pemberontak dan pengadil. Pemberontakan tanpa ketelitian melahirkan kekacauan. Pengadil tanpa keberanian melahirkan kebekuan. Namun, ilmuwan yang menggabungkan keberanian berfikir dengan disiplin metodologi akan menjadi penjaga masyarakat.
Allah S.W.T mengajar manusia ilmu, tetapi turut mengingatkan bahawa setiap dakwaan akan dipersoalkan. Pemikiran bebas itu perlu.
Namun tanpa bukti, tanpa ketelusan dan tanpa kerendahan hati, ia bukan kemajuan. Ia hanyalah bising. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah Prinsipal (Akademik dan Pengantarabangsaan) di Pejabat Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kampus Gombak.










