Parti bukan agama, boleh tukar jika langgar prinsip - Utusan Malaysia

Parti bukan agama, boleh tukar jika langgar prinsip

TENGKU ZAFRUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Meninggalkan dunia korporat untuk melangkah ke arena politik bukanlah perjalanan mudah bagi DATUK SERI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ.

Mengimbau pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat, terasa begitu kerdil dan berdebar untuk berbahas di hadapan barisan wakil rakyat. Namun, selepas dua penggal memegang jawatan senator, beliau kini tampil lebih yakin dan selesa.

Keselesaan itu bagaimanapun tidak berpanjangan apabila tempoh senator bakal berakhir Disember ini. Situasi tersebut menuntut beliau menyusun strategi baharu demi memastikan kelangsungan politiknya tidak tenggelam begitu sahaja.

Dengan restu daripada PKR Cabang Ampang, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu dilihat sedang mengintai peluang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Mengakui ini adalah pertama kali ditemu bual secara eksklusif tentang isu politik, Tengku Zafrul menjawab persoalan Mingguan Malaysia dengan nada lebih santai, dan turut mengulas isu-isu penting lain termasuk tarif dan impaknya terhadap negara.

Ikuti temu bual bersama wartawan, JUANI MUNIR ABU BAKAR, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto, SADDAM YUSOF.

MINGGUAN MALAYSIA: Penilaian Datuk Seri tentang PKR?Hakikatnya, tiada parti yang sempurna, saya kena akui perkara itu. Kalau saya cakap parti ini sempurna, itu tidak benar. Setiap parti ada cabaran, ada kelemahan dan ruang penambahbaikan.

Sama juga dengan PKR. Jadi, fokus kita adalah kepada isu yang dibangkitkan ahli parti dan juga rakyat. Contohnya, isu kos sara hidup. Sejak enam tahun lalu, malah dalam perbincangan dengan cabang-cabang parti, inilah antara isu utama yang sering timbul.

PKR perlu serius melihat bagaimana ia boleh ditangani. Harapan kita, Belanjawan 2025 yang dibentangkan nanti dapat memberi penyelesaian.

Setakat yang saya dengar, ada perkembangan positif. Malah industri automotif baru-baru ini menyuarakan kebimbangan tentang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kos operasi. Ini semua perlu diperbaiki.

Ada tiga perkara penting yang boleh dirumuskan hasil pengalaman dalam tiga kerajaan.

Pertama, dari segi politik, kerajaan hari ini lebih stabil sehingga membolehkan keputusan yang dibuat tidak semata-mata populis. Ada permintaan daripada industri yang masuk akal tetapi kita perlu menilai sama ada rakyat bersedia atau tidak.

Kedua, dari segi ekonomi, pertumbuhan kita sebenarnya kuat tetapi limpahannya tidak sekata. Ada sektor merasai manfaat, ada yang tidak.

Begitu juga dengan rakyat. Golongan pertengahan misalnya, dulu gaji mereka naik 10 hingga 20 peratus, sekarang hanya sekitar lima peratus.

Walaupun masih ada peningkatan, mereka rasa terbeban kerana dibandingkan dengan masa lalu. Isunya bukan sekadar angka tetapi bagaimana rakyat merasai pertumbuhan itu. Kita tidak boleh sekadar kata “negara lain pun sama” sebab rakyat mahu penyelesaian. Itu pengajaran penting.

Ketiga, dari segi pelaksanaan dan komunikasi. Kita pandai merancang tetapi kadang kadang pelaksanaannya lemah atau penjelasan tidak meyakinkan. Sebab itu, orang di luar rasa ragu.

Kita perlu turun padang dan menerangkan berkali-kali dengan sabar, walaupun penjelasan itu kadang-kala lewat. Rakyat secara semula jadi lebih skeptikal sekarang, jadi kita perlu gandakan usaha untuk meyakinkan.

Secara keseluruhan, dari segi prinsip, hala tuju masih jelas, kita mahu naikkan siling dan lantai ekonomi. Dalam masa sama, kena akui ada perkara perlu diperbaiki. Perdana Menteri dan kerajaan pun sedar, kita semua perlu bekerja lebih keras menutup jurang dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Maksudnya, kerajaan hari ini lebih stabil berbanding sebelum ini?
Pada waktu pentadbiran lalu, keadaan sangat mencabar. Kita berdepan dengan Covid- 19, yang bukan sahaja menjejaskan Malaysia tetapi seluruh dunia. Ketika itu, politik negara juga tidak stabil.

Sebagai Menteri Kewangan, tugas saya lebih sukar kerana setiap kali mahu meluluskan belanjawan atau pakej rangsangan, perlu melalui Parlimen.

Dengan majoriti terlalu tipis, hanya beberapa undi ahli Parlimen boleh menentukan sama ada belanjawan diluluskan atau kerajaan jatuh. Suasana itu ibarat undi tidak percaya.

Sekarang keadaannya agak berbeza. Walaupun ada cabaran, namun keputusan dasar lebih mudah dibuat kerana suasana politik lebih stabil. Ini membolehkan kerajaan beri tumpuan kepada dasar jangka panjang dengan gangguan politik yang lebih minimum.

PEMIMPIN PKR KURANG SENANG
Pemimpin PKR dikatakan kurang senang dengan kehadiran Datuk Seri dalam PKR. Komen?
Dalam politik, kita perlu sedar mustahil untuk mendapat sokongan 100 peratus. Kalau tidak boleh menerima hakikat itu, lebih baik jangan masuk politik.

Jika ada pihak yang tidak menyokong, kita perlu berani berdepan, berinteraksi dan menjelaskan pendirian.

Contohnya, semalam (Isnin lalu) saya hadir mesyuarat bersama pimpinan cabang, berbincang dengan pelbagai pihak dan usaha ini akan diteruskan termasuk dengan cabang-cabang lain.

Pengalaman saya dalam UMNO juga begitu. Ketika pertama kali bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), saya turun berjumpa dengan semua cabang dan hasilnya memperoleh tempat ketiga.

Prinsip yang sama saya bawa dalam PKR, mesti turun padang, berjumpa ahli, mendengar pandangan mereka dan menerangkan posisi kita.

Dalam politik, mustahil untuk semua pihak memberi sokongan penuh. Yang penting, kita terus mendekati, menjelaskan dan membina kefahaman dengan sebaik mungkin.

Jadi, maksudnya memang perlu dapatkan restu?
Ya. Sebelum menyertai parti, saya sudah bertemu dengan ramai pihak termasuk beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pimpinan cabang. Ramai kenalan daripada cabang-cabang yang ditemui.

Namun perlu ditegaskan, tiada sebarang perjanjian dengan presiden yang saya akan diberi peluang bertanding PRU akan datang.

Tapi bagaimana timbul desas-desus Datuk Seri ingin bertanding di Parlimen Ampang?
Ia hanyalah cakap-cakap kosong. Hakikatnya, sebelum saya menyertai parti lagi, saya sudah berjumpa dengan Altimet (Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, ADUN Lembah Jaya).

Altimet memberi sokongan penuh terhadap penyertaan saya ke dalam cabang. Jadi,tidak timbul masalah.

LOMPAT PARTI
Datuk Seri dikatakan ‘suka melompat’ parti, bagaimana menangkis persepsi itu?
Ada yang membandingkan saya dengan tokoh lain, kononnya seperti ‘melompat parti’.

Tetapi perlu dijelaskan saya menyertai UMNO sejak 1998, dan kekal bersama selama 20 tahun. Selepas itu barulah saya membuat keputusan untuk bergerak ke arah baharu.

Jadi, saya tidak pernah lompat-lompat seperti yang didakwa.

Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan pemimpin UMNO ketika ini?
Sekarang lebih baik. Mungkin ada yang benar-benar ingin tahu mengapa akhirnya saya meninggalkan UMNO. Sudah tentu ada yang rapat di UMNO dan mereka memahami keputusan yang saya buat.

Perlu difahami, politik ini soal pendirian. Jika kita tidak lagi percaya pada sesetengah isu atau pendekatan, kita berhak menukar haluan. Itu perkara biasa. Yang penting, kita jelaskan dengan baik.

Bagi saya, kawan tetap kawan. Saya masih mempunyai ramai sahabat dalam UMNO, malah adik (Tengku Zuhri) masih aktif di Lembah Pantai. Itu tidak pernah berubah. Dia tetap adik saya, sama ada saya dalam UMNO atau PKR.

Begitu juga dengan ramai lagi rakan lama. Hubungan kekal profesional dan persahabatan tetap terjalin. Ringkasnya, berbeza parti tidak bererti bermusuh. Kita semua tetap kawan, tidak ada isu.

Jika boleh terangkan lebih terperinci tentang ‘sesetengah’ isu itu?
Antaranya berkaitan UMNO Selangor. Saya dengan UMNO Pusat tiada isu. Saya rasa UMNO Selangor perlu berubah kerana kita ‘kosong’ kerusi Parlimen.

Kalau kita benar-benar mahu menang, cara berfikir juga mesti ke arah kemenangan. Itu pendirian saya, meskipun mungkin tidak semua bersetuju. Mungkin saya salah, mungkin juga betul, kita lihatlah bagaimana keputusan pilihanraya pada masa akan datang.

Sudah beberapa kali saya cuba membawa perubahan, namun tidak diterima sepenuhnya oleh kepimpinan UMNO Selangor.

Sejujurnya, mereka juga ada cara tersendiri dan baru-baru ini nampaknya usaha mereka mendapat traction. Mungkin pendekatan mereka juga ada benarnya.

Apa pun, kita berada dalam Kerajaan Perpaduan. Walaupun bukan lagi bersama UMNO Selangor, saya tetap akan membantu UMNO di negeri ini dan juga seluruh Malaysia di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

Bagaimana pula hubungan dengan UMNO Selangor ketika ini?
Selepas keluar, nampaknya lebih baik. Saya tidak pasti kenapa, tanya sahaja kepada mereka, hanya mereka yang boleh jawab. Begitulah hakikat politik dan begitulah juga kehidupan.

Ada perancangan untuk bertanding di mana-mana kawasan?
Kalau diberi peluang. Saya tidak tahu, tiada perjanjian. Ada orang kata saya hendak join PKR supaya dapat bertanding (pilihan raya kecil – PRK) segera untuk sambung jawatan Menteri. Macam-macam. Orang percayalah benda ini, bukan?

Tidak perlu. Saya sudah tetapkan syarat, kalau saya pergi, saya tidak mahu bertanding. Saya tidak percaya PRK itu akan membawa manfaat kepada rakyat.

SELAGI TIDAK BERTENTANGAN PRINSIP
Adakah Datuk Seri ramalkan akan mendapat sokongan daripada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan jika bertanding di mana-mana kawasan?
Terpulang kepada mereka. Kalau diberi peluang, kita akan bertanding.

Kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan tetapi kalau tidak diberi peluang sekalipun, perjuangan politik tetap diteruskan.

Bagi saya, yang penting adalah sumbangan. Sama ada sebagai menteri atau dalam kapasiti lain, saya mahu menyumbang dengan menetapkan KPI yang tepat.

Saya sudah hampir enam tahun (sebagai menteri), jadi bagi saya perjuangan mesti diteruskan. Kalau diberi peluang, saya akan bertanding. Kalau tidak, saya masih boleh membantu negara.

Politik bukan hanya tentang berada di Parlimen. Melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perniagaan atau apa juga saluran, kita masih boleh memberi sumbangan. Yang penting, kita terus membantu parti dan Kerajaan.

Saya akan lakukan selagi tidak bertentangan dengan prinsip. Sama macam anda, jika tidak bersetuju dengan lembaga pengarah, adakah akan terus bekerja di sana?

Politik pun sama. Ia bukan soal agama yang tidak boleh diteruskan jika menentang prinsip. Kehidupan bukan macam itu.

Kita tidak boleh melihat sesuatu secara terlalu mudah dan kebudak-budakan, lalu berkata, “Oh, dia lompat.” Itu terlalu simplistik.

Datuk Seri dikatakan antara pemimpin yang tidak lantang bercakap isu politik? Adakah memang peribadi sebegitu atau memilih jalan selamat?
Saya pernah menyebut bahawa saya kurang memberi tumpuan kepada aspek politik. Fokus lebih kepada kerja, mungkin kerana latar belakang saya sedikit berbeza dengan penglibatan lebih 20 tahun dalam dunia korporat.

Jadi, saya tidak terlalu menekankan isu politik. Kalau dilihat pengumuman atau kenyataan saya sebelum ini, kebanyakannya lebih berkisar pada soal kerja. Itulah antara kritikan yang sering diberikan.

Namun, pada masa sama kita perlu melihat daripada kedua-dua sudut. Bagi saya, jika sesuatu isu itu penting, saya akan bangkitkan. Tetapi kebanyakannya tidaklah terlalu kerap.

Saya rasa itu memang sifat semula jadi saya dan mungkin juga dipengaruhi kedudukan sekarang.

TARIF
Boleh Datuk Seri jelaskan perkembangan terbaharu tentang tarif?
Kita masih lagi dalam perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian dari segi undang-undang, kerana ia memerlukan mekanisme tertentu bagi memastikan ada pengukuhan.

Proses ini kini sedang dimuktamadkan, namun pengumuman rasmi belum dibuat walaupun sebahagian besar perkara telah dipersetujui. Dari sudut perjanjian dan dokumentasi, sedang menyiapkan perincian yang akan memastikan sasaran dan garis masa kita tercapai.

Sasaran MITI terhadap Donald Trump dalam ASEAN hujung bulan ini?
Malaysia dan AS sedang memuktamadkan teks Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dan Komitmen Khusus Negara (CSC).

Sempena lawatan Trump, kami menyasarkan untuk menandatangani ART, mengumumkan beberapa manfaat ekonomi iaitu potensi kerjasama dalam industri mineral kritikal di Malaysia, penubuhan pasukan petugas bersama bagi mencegah pemindahan haram kapal ke kapal, memperkukuh penguatkuasaan rantaian bekalan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri memaklumkan Trump dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 sehingga 28 Oktober ini dan laporan antarabangsa turut menjangka kehadiran tersebut. Ia waktu sesuai untuk memuktamad dan menandatangani ART.

Sejak tarif dikenakan ini, adakah eksport Malaysia lebih menjurus ke negara seperti China, Russia dan lain-lain?

Dari segi mempelbagaikan pasaran, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga sedang aktif meneroka pasaran bukan tradisional seperti di Asia Tengah, Asia Selatan, Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin.

Sejak 2023, MATRADE membuka 12 pasaran baharu seperti Bangladesh, Kenya, Mesir, Costa Rica, Nigeria, Oman, Togo, Angola, Ethiopia, Algeria, Namibia dan Libya, di mana ia meningkat 12.4 peratus kepada RM32.24 bilion pada 2024 (dari RM28.67 bilion pada 2023).

Rundingan menurunkan kadar dari 25 peratus ke 19 peratus itu satu kejayaan dan selaras dengan kadar tarif ke atas beberapa rakan ASEAN (Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja).

Yang paling utama, kadar ini dicapai tanpa mengorbankan dasar-dasar utama nasional atau kedaulatan negara, berbanding negara-negara lain.

Pelbagai perolehan sektor swasta yang diumumkan sememangnya sebahagian dari perancangan perolehan syarikat. Sementara itu, usaha mitigasi dan diversifikasi akan diteruskan.

LANTANG ISU PALESTIN
Malaysia lantang bersuara dalam isu Palestin, adakah ia menjejaskan eksport di Malaysia?
Tidak. Hampir semua negara terlibat, dalam lebih 150 buah negara sudah menyuarakan isu Palestin, namun ia tidak ada kaitan dengan perdagangan.

AS tidak melihat sesuatu isu politik seperti sokongan kepada Palestin sebagai alasan untuk menghentikan pembelian atau urusan dagangan dengan kita.

Sejak konflik Gaza mula meruncing pada Oktober 2023, Malaysia secara konsisten menyuarakan sokongan kepada Palestin.

Data perdagangan rasmi menunjukkan pendirian ini tidak menjejaskan eksport Malaysia. Eksport tetap berkembang sepanjang 2024 dan antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Eksport ke AS melonjak lebih 20 peratus pada 2024 dan ini mungkin satu decoupling antara hal perdagangan dan isu Palestin.

PELABURAN MASUK
Tiga tahun kerajaan Perpaduan, berapa jumlah pelaburan dibawa masuk kerajaan? Perbandingan dengan tahun sebelum pentadbiran Datuk Seri Anwar bagaimana?

Pada 2022, pelaburan yang diluluskan ialah RM264 bilion. Di bawah Kerajaan Madani, pelaburan diluluskan 2023 berjumlah RM329.5 bilion dan 2024 pula RM378.5 bilion (tertinggi dalam sejarah).

Bagi separuh pertama 2025, RM190.3 bilion, meningkat 18.7 peratus tahun ke tahun berbanding RM160.3 bilion pada 2024. Ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi global.

Mampukah Malaysia menyediakan Data Centre yang berkapasiti tinggi? adakah MITI melihat ia sebagai peluang pelaburan baharu?
Sebagai sektor pelaburan baharu, Malaysia mampu menyediakan pusat data berkapasiti tinggi kerana asas infrastrukturnya sudah kukuh dan ia kini menjadi hab pilihan di Asia Tenggara.

Setakat Disember 2024, sebanyak 19 pusat data di Malaysia menggunakan sebanyak 434.5 megawatt atau kira-kira 2.2 peratus daripada keseluruhan penggunaan elektrik Semenanjung.

Kerajaan telahpun merangka garis panduan pembangunan lestari bagi pusat data termasuk Pematuhan menambah baik penggunaan tenaga (PUE) dan air (WUE) serta karbon (CUE). Ini syarat untuk layak mendapat insentif kerajaan.

Pemain terkemuka dalam industri pusat data seperti ByteDance, GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd. (GDS) dan NTT Ltd. mengguna dan merancang meningkatkan penggunaan tenaga hijau bagi operasi pusat data mereka.

Dari segi pusat data baharu, dasar pembangunan vendor tempatan akan dilaksanakan sebagai antara syarat untuk mendapatkan insentif.

Melalui program ini, pemain industri pusat data akan dipadankan dengan syarikat tempatan yang berpotensi untuk memindahkan pengetahuan teknologi terkini dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan.

Sektor-sektor sasaran utama dalam inisiatif ini termasuk pelayan, sistem integrasi, sistem penyejukan udara dan air, sistem elektrik dan penyelenggaraan.

Adakah Malaysia masih kekurangan tenaga mahir dalam kejuruteraan?
Dari perspektif MITI masih wujud kekurangan tenaga mahir kejuruteraan, terutama dalam East Coast Energy (ECE), automasi atau robotik, mekatronik, dan reka bentuk cip. Walaupun pasaran buruh keseluruhan kekal stabil dengan kadar pengangguran 3 peratus dan kadar penyertaan tenaga buruh 70.6 peratus sehingga Julai 2025.

Dari sudut permintaan industri, kekosongan tenaga mahir kekal mencabar, lantas Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa automasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan reka bentuk semula pekerjaan sementara penerapan AI dalam pembuatan masih di peringkat awal.

Kita masih perlukan bakat kejuruteraan yang lebih ramai.
Ini bermakna, Malaysia masih berdepan kekurangan jurutera berkemahiran tinggi dalam pembuatan berteknologi tinggi tetapi arus pembetulan sedang berlaku melalui Strategi Sektor Semikonduktor Negara (NSS) dengan 60,000 jurutera dan peruntukan RM25 bilion.

Usaha lain bagi mempercepat latihan berasaskan permintaan industri dan menaik taraf pekerjaan kejuruteraan bernilai tambah tinggi agar jurang bekalan-permintaan dapat dikecilkan dalam beberapa tahun mendatang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN