SUDAH lebih dua tahun gagasan Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerangka baharu pembangunan negara.
Gagasan ini hadir bukan sekadar melengkapkan senarai slogan politik Malaysia yang panjang tetapi sebagai falsafah besar tentang arah tuju bangsa.
Madani yang menawarkan enam rukun utama menjadi asas pembinaan semula negara dalam dunia yang semakin rapuh, penuh cabaran dan ketidaktentuan.
Namun realitinya, walaupun pelbagai inisiatif seperti Budi Madani (Budi95), Jualan Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani, Komuniti @ UniMADANI, malah gerakan sukarelawan seperti Bakti Madani dan program belia Nadi Madani dilaksanakan serta dikaitkan dengan nama madani.
Masih ramai rakyat tertanya-tanya apa sebenarnya madani sedangkan mereka hanya melihat program bantuan dan projek komuniti tetapi tidak nampak kerangka besar yang kononnya mendasari semua itu. Dalam bahasa mudah, orang nampak buah tetapi tidak nampak pokoknya.
Madani ialah kerangka hidup bangsa yang menjadi falsafah pembinaan negara. Kemampanan bukan hanya menjaga alam sekitar tetapi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak rakus hingga menekan rakyat, sambil menutup jurang kaya-miskin.
Kesejahteraan pula melangkaui bantuan tunai. Ia menuntut gaji yang mencukupi, rumah mampu milik, pendidikan dan kesihatan yang benar-benar mengangkat maruah rakyat.
Daya cipta pula bermaksud bangsa berani mencipta jalan sendiri, daripada inovasi teknologi hijau hingga keusahawanan desa dan tidak bergantung semata pada pelaburan luar.
Hormat ialah asas masyarakat majmuk. Ia menuntut penghormatan yang lahir daripada rasa percaya, bukan toleransi rapuh yang mudah dipolitikkan.
Sementara keyakinan mengisyaratkan jati diri bangsa yang teguh, supaya rakyat tidak mudah terbuai dengan retorik populis atau mentaliti subsidi.
Akhir sekali, ihsan menjadi neraca. Ini bermakna tanpa politik jujur dan pentadbiran yang telus, semua rukun tadi tinggal retorik tetapi dengan ihsan, dasar boleh benar-benar berpihak kepada rakyat.
Jika difahami begini, madani merupakan ‘peta’ untuk membawa Malaysia keluar dari perangkap lama iaitu politik pecah-belah, ekonomi berasaskan subsidi tanpa daya tahan dan budaya birokrasi yang melambatkan pembaharuan.
Cabaran utama adalah naratif madani sering terhenti di podium rasmi. Ia jarang diterjemah secara konsisten dalam isu semasa. Ambil contoh kos sara hidup. Madani sering dikaitkan dengan Jualan Rahmah tetapi rakyat melihat itu hanya intervensi sementara sebaliknya mereka tunggukan pembaharuan struktur yang mengubah rantaian makanan, kawalan harga dan peluang kerja supaya gaji naik seiring dengan kos.
Jika hanya bergantung pada diskaun, madani hanya sekadar kosmetik. Dalam isu pendidikan, madani menekankan kesejahteraan dan ihsan tetapi rakyat masih melihat sekolah sesak dengan murid dalam satu kelas, guru terbeban dengan tugas pentadbiran, universiti terperangkap dalam ranking dan birokrasi.
Terjemahan gagasan ini sepatutnya pendidikan yang memerdekakan minda, menjadikan sekolah dan universiti medan membina insan, bukan kilang sijil. Jika ini tidak berlaku, nilai madani tidak dapat difahami generasi muda.
Dalam isu governans dan integriti, rakyat mahu melihat madani benar-benar menghapuskan budaya politik lama tetapi apabila masih ada kes rasuah besar yang berlarutan tanpa penyelesaian, atau ada kompromi politik yang bercanggah dengan idealis memadani, rakyat jadi skeptikal. Mereka bertanya jika madani menekankan ketelusan, mengapa realitinya masih kabur?
KRITIK UNTUK PERCAYA
Rakyat masih belum nampak keselarasan antara kata dan terjemahan nyata. Mereka mendengar slogan dan hanya akan percaya bila diuji, dikritik, bahkan dicabar dan kemudian disambut dengan bukti yang ia benar-benar berlaku seperti dirangkakan.
Jika madani mahu bertahan untuk jangka panjang, ia mesti membuka ruang kritikan konstruktif. Biar rakyat, akademik, media dan pembangkang menguji adakah benar ia melahirkan dasar yang telus? Adakah benar ia menambah baik kehidupan? Adakah benar ia membina harmoni? Tanpa ruang kritikan, madani akan jadi kerangka rapuh yang hidup dalam tempurung pujian.
Dalam proses ini, ahli politik mewakili kerajaan memerintah perlu benar-benar fasih menerangkan maksud dan implikasi madani. Begitu juga kakitangan kerajaan mereka perlu diberikan kefahaman sepenuhnya supaya boleh memahamkan masyarakat. Jika mereka sendiri masih ragu, bagaimana untuk memastikan madani benar-benar mendapat kepercayaan. Proses perdebatan idea yang sihat dan konstruktif inilah yang tidak berlaku dan perlu digalakkan berlaku segera.
Sejarah membuktikan, naratif besar hanya bertahan bila ia milik bersama bukan milik elit.
Wawasan 2020 pernah bertahan kerana ia dibincang di sekolah, pejabat dan media. Madani hanya akan bertahan jika ia dibuka untuk dialog, bukan sekadar diumum dari atas dan menjadi slogan politik semata.
JALAN CERITA BERSAMA
Maka, jalan terbaik untuk memberi makna mudah kepada madani ialah menjadikannya jalan cerita bersama. Rakyat tidak diajak untuk hanya menghafal enam rukun madani tetapi untuk melihat bagaimana ia berlaku dalam kehidupan seharian.
Bila lebih ramai guru mengajar dengan sabar, itu madani. Bila semua pegawai kerajaan menolak rasuah, itu madani. Bila jiran-jiran berlainan agama berkongsi makanan tanpa prasangka, itu madani. Memang semua ini boleh berlaku tanpa label madani tetapi bila ia dipupuk sebagai budaya kolektif dan menjadi norma masyarakat, barulah menjadi bukti yang madani bukan sekadar slogan tetapi kerangka hidup bangsa.
Dengan cara ini, madani tidak lagi asing. Ia tidak perlu dislogankan kerana rakyat sudah merasainya. Namun untuk sampai ke tahap itu, pemimpin mesti berani selarikan kata dengan perbuatan.
Perlu diingat, madani belum diterima bukan kerana rakyat menolak nilai baik tetapi kerana rakyat tidak nampak kejujuran, ketelusan dan terjemahan nyata.
Persoalannya kini, beranikah madani membenarkan ‘dirinya’ dikritik dan sudah bersediakah kita semua membina naratif ini sebagai warisan bangsa?-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










