WISMA Putra meletakkan satu penanda aras baharu khususnya dalam aspek keberkesanan diplomasi sehingga menjadi tumpuan pemimpin dunia kerana berjaya menghimpunkan pemimpin utama dari seluruh pelusuk benua. Dari G20 ke Global South.
Pasukan diplomatik Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan itu membuktikan kemampuan menjadikan Malaysia sebagai negara yang cukup disegani di mata dunia.
Ia terbukti dengan kehadiran ramai pemimpin utama dunia khususnya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaici serta pemimpin utama ketua kerajaan dan negara luar termasuk ASEAN sendiri sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 itu.
Ia hasil kebijaksanaan diplomasi Malaysia di rantau ini dan dunia sehingga berjaya melakar satu lagi sejarah penting.
Kehadiran ramai tokoh berpengaruh bukan sahaja menyerlahkan peranan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan ASEAN kali ini, malah menjadi pengiktirafan rasmi antarabangsa terhadap kepemimpinan dan keupayaan negara mengemudi ASEAN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia berjaya memastikan sidang kemuncak tersebut amat bersejarah dan berprestij.
Kementerian Luar yang memainkan peranan sebagai koordinator atau tuan rumah berjaya memastikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur berjalan dengan lancar.
Malah, sepanjang tahun ini sahaja, lebih 300 mesyuarat diatur melibatkan pegawai-pegawai tinggi, menteri-menteri di pelbagai kementerian serta ketua-ketua negara di peringkat ASEAN.
Sempena persidangan tersebut yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah kepada rantau Asia Tenggara secara keseluruhan berjaya mencapai banyak perkara penting. Antaranya dengan kemasukan secara rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Selain itu, termeterainya juga perjanjian-perjanjian perdagangan penting antara beberapa negara ASEAN dan AS, strategi geopolitik serta isyarat kedamaian sekali gus menjadikan sidang kali ini antara yang paling berimpak dalam sejarah blok serantau ini.
Pada sidang berkenaan, satu deklarasi perdamaian antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Trump dan Anwar berjaya dimeterai, sekali gus mengukuhkan imej ASEAN sebagai platform diplomasi serantau yang relevan.
Ia turut diakui Trump yang memuji peranan penting Malaysia dalam memudahkan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Walaupun deklarasi sekadar simbolik namun ia memberi petunjuk bahawa ASEAN boleh memainkan peranan lebih aktif dalam menyelesaikan pertikaian intra-rantau secara aman.
Selain itu, Trump juga menegaskan komitmen AS terhadap Asia Tenggara dan mengumumkan beberapa perjanjian perdagangan baharu dengan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Dalam konteks Malaysia, perjanjian tersebut melibatkan akses pasaran yang lebih luas ke AS, termasuk pengecualian tarif bagi barangan tertentu seperti kelapa sawit, koko, getah, produk farmaseutikal dan aeroangkasa.
Dalam pada itu, Malaysia dan AS juga berjaya mencipta sejarah baharu dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala yang memberi akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing.
Hubungan ASEAN dan AS juga berkembang menjadi perkongsian starategik menyeluruh yang menyaksikan nilai dagangan dua hala mencapai rekod AS$453 billion (RM1.91 trilion) tahun lalu.
TUNAIKAN JANJI
Dalam isu Palestin, Perdana Menteri juga mengotakan janjinya apabila membangkitkan kepentingan keamanan di Gaza kepada Trump semasa dua pemimpin itu menaiki kereta bersama ke sidang berkenaan.
Anwar menyentuh kepentingan keamanan di Gaza jika mahu memperkukuhkan keamanan global dan menamatkan konflik antarabangsa selain pelbagai lagi isu termasuk keperluan menamatkan konflik di Gaza.
Secara keseluruhan, sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencerminkan tiga arus besar yang sedang membentuk rantau ini iaitu perluasan keanggotaan, pertembungan pengaruh kuasa besar dan kebangkitan peranan ASEAN sebagai pelaku diplomasi aktif.
Malaysia, sebagai tuan rumah dan pengerusi, berjaya memanfaatkan sidang berkenaan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jambatan strategik serantau.
Namun, peluang ini datang bersama tanggungjawab berat dengan dasar luar perlu cekap dan seimbang, pelaksanaan perjanjian perdagangan mesti telus dan lestari serta manfaatnya harus sampai ke peringkat akar umbi rakyat.
Jika dimanfaatkan secara strategik, sidang kemuncak tersebut boleh menjadi pemangkin kepada era baharu pengaruh Malaysia dan ASEAN dalam percaturan global.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia.










