DALAM kehidupan moden yang semakin kompleks ini, salah satu kemahiran penting yang perlu dimiliki setiap pengguna adalah kebolehan membezakan antara keperluan dan kehendak. Ramai pengguna sering keliru antara dua konsep ini, menyebabkan mereka sering mengalami tekanan kewangan dan gagal mencapai kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Dalam konteks kewangan peribadi, keperluan merujuk kepada sesuatu perkara atau barangan yang wajib dimiliki untuk menjalani kehidupan secara normal. Ini termasuk makanan, pakaian asas, tempat tinggal yang selesa, pendidikan, perubatan dan pengangkutan yang munasabah. Manakala kehendak pula adalah barangan atau perkhidmatan tambahan yang menjadikan kehidupan lebih selesa dan mudah, tetapi jika tiada pun ia tidak akan mengganggu kelangsungan hidup pengguna. Contohnya, adalah makan di restoran mewah, telefon pintar model terkini, kereta mewah, atau percutian luar negara.
Langkah pertama dalam membezakan antara keperluan dan kehendak adalah dengan memahami dengan jelas matlamat kewangan masing-masing.
Setiap pengguna perlu mempunyai matlamat kewangan yang jelas, seperti membina simpanan kecemasan, membeli rumah, membiayai pendidikan anak-anak atau menyediakan dana persaraan. Dengan adanya matlamat ini, pengguna akan lebih mudah menentukan keutamaan perbelanjaan mereka.
Seterusnya, pengguna perlu membuat analisis terhadap corak perbelanjaan harian mereka. Ramai pengguna cenderung membuat keputusan pembelian berdasarkan emosi atau kepuasan segera, menyebabkan mereka lebih cenderung membeli barang-barang yang sebenarnya tidak begitu diperlukan.
Oleh itu, sebelum melakukan sesuatu pembelian, pengguna perlu bertanya pada diri sendiri sama ada pembelian itu satu keperluan atau sekadar kehendak yang boleh ditangguhkan atau dielakkan.
Salah satu teknik praktikal yang boleh digunakan dalam membuat keputusan pembelian ialah dengan kaedah “24 jam cooling-off period”. Maksudnya, apabila pengguna merasakan keinginan untuk membeli sesuatu yang bukan keperluan asas, pengguna disarankan menunggu sekurang-kurangnya 24 jam sebelum membuat keputusan akhir. Teknik ini memberi masa kepada pengguna untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut secara rasional, sekali gus mengelakkan pembelian impulsif.
Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan kaedah penyusunan bajet berdasarkan prinsip keutamaan. Di sini, setiap perbelanjaan perlu diklasifikasikan mengikut kategori keutamaan iaitu perbelanjaan asas yang wajib, perbelanjaan perlu tetapi boleh dikurangkan dan perbelanjaan yang jelas bersifat kehendak. Dengan cara ini, pengguna dapat mengenal pasti perbelanjaan yang boleh dipotong atau dikurangkan apabila keadaan kewangan menjadi terhad.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar hari ini, pengguna yang bijak perlu lebih peka terhadap gaya hidup yang mereka pilih. Pengguna perlu mengelakkan gaya hidup yang terlalu fokus pada materialistik yang sering membawa kepada tekanan kewangan yang tidak perlu. Sebaliknya, pengguna digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sederhana dan berhemah yang memberi tumpuan kepada keperluan asas terlebih dahulu sebelum memenuhi kehendak yang bersifat mewah.
Sebagai tambahan, pengguna perlu sedar bahawa keputusan yang bijak dalam membezakan antara keperluan dan kehendak bukan sahaja memberi manfaat kepada kestabilan kewangan, tetapi juga membantu dalam mencapai kestabilan kewangan jangka panjang. Ramai pengguna yang bijak dalam pengurusan kewangan mendapati bahawa kehidupan mereka lebih tenang dan bebas tekanan, kerana mereka tidak terbeban dengan hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.
Pengguna juga perlu melibatkan ahli keluarga dalam proses mengenal pasti keperluan dan kehendak ini. Dengan melibatkan keluarga, keputusan kewangan yang diambil lebih rasional dan mendapat sokongan semua pihak. Ahli keluarga juga akan lebih memahami batas kewangan dan bersama-sama membantu mencapai matlamat kewangan keluarga.
Akhir sekali, pengguna perlu sentiasa mengemaskini pengetahuan mereka mengenai kewangan peribadi melalui pembacaan buku, menghadiri seminar kewangan, atau mengikuti perbincangan mengenai isu kewangan di media sosial. Dengan literasi kewangan yang tinggi, pengguna akan lebih mudah membezakan antara keperluan dan kehendak, sekali gus membuat keputusan kewangan yang bijak. Walaubagaimanapun, pengetahuan perlu diiringi dengan kelakuan atau tingkah laku. Jika pengetahuan kewangan tidak disertai perubahan baik tingkah laku, ia tidak akan memberi kesan kepada kestabilan kewangan jangka panjang.
Kesimpulannya, kebolehan membezakan keperluan dan kehendak adalah kemahiran asas yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi. Dengan pendekatan yang bijak, disiplin yang tinggi, serta pengetahuan yang baik, pengguna bukan sahaja dapat mencapai kestabilan kewangan tetapi juga mampu menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan bebas daripada tekanan kewangan yang berlebihan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali ialah profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Penyelidik di Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Bendahari Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dan Timbalan Pengerusi, Persatuan Muamalat Malaysia (MMA).










