Belanjawan 2026 perlu dilaksanakan secara efektif

Belanjawan 2026 perlu dilaksanakan secara efektif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kekuatan penting dalam Belanjawan 2026 adalah usaha kerajaan untuk meletakkan asas kukuh mensiapsiagakan negara dengan ekonomi masa hadapan iaitu kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, ekonomi hijau dan perkhidmatan asas yang baik lagi menyeluruh.

Pelbagai pendekatan dan inisiatif baharu diperkenalkan, sejajar dengan cabaran semasa yang sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini.

Penekanan kepada sektor pelancongan, industri kreatif, ekonomi maritim, industri yang berasaskan kepada masyarakat menua, tumpuan kepada sektor pendidikan dan kesihatan, usaha untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat serta modal berpaksikan penjagaan alam sekitar adalah panji utama dalam belanjawan kali ini.

Reformasi perlindungan sosial, meningkatkan kapasiti rakyat, terutamanya golongan muda, membantu industri perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain usaha untuk mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan juga mengurangkan kesenjangan pembangunan wilayah antara usaha segar kerajaan untuk memfokus isu dan masalah rakyat teramai.

Pengurusan fiskal yang berhemah, dengan nilai defisit yang berada pada trend menurun bukti iltizam kerajaan untuk berbelanja secara berhati-hati dengan tatakelola yang baik.

Belanjawan 2026 juga mensiapsiagakan ekonomi negara untuk berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global akibat ketidaktentuan tarif yang dikenakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS), begitu juga dengan peralihan perubahan dalam orde dunia pada ketika ini.

Malaysia dilihat kehadapan dalam aspek ini, di mana ketidaktentuan tarif AS dapat diredakan dan hala tuju baharu sudahpun direncana dengan posisi yang jelas dalam aspek geopolitik dan juga hubungan perdagangan antarabangsa.

Dalam keadaan tidak menentu ini, dengan pelbagai andaian daripada ahli ekonomi yang menyatakan ekonomi Malaysia hanya akan bertumbuh pada sekitar 4 hingga 4.3 peratus pada suku ketiga tahun ini, namun anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang melebihi jangkaan, iaitu diunjur pada kadar 5.2 peratus.

Ini menunjukkan asas ekonomi negara masih kekal kukuh. Dengan strategi serta dasar yang diletakkan di bawah belanjawan kali ini, ekonomi negara dijangka kekal utuh sekali gus berdaya tahan dalam mendepani cabaran global pada tahun hadapan.

TIADA YANG TERPINGGIR

Beberapa idea menarik diperkenalkan dalam belanjawan kali ini. Pertama adalah berkait dengan elemen universal dalam pemberian bantuan kepada rakyat melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua.

Walaupun nilainya hanya RM100, namun idea di sebalik inisiatif ini sangat baik kerana mempunyai elemen universal dan pada masa sama bersasar. Pertama sekali diperkenalkan pada 23 Julai lalu, SARA untuk semua memberi manfaat kepada 22 juta rakyat Malaysia dewasa.

Pendekatan universal ini adalah pertama sekali dalam sejarah negara, iaitu tanpa syarat dari segi kategori pendapatan dan secara individu. Jadi, dalam aspek ini sebenarnya, tidak salah untuk mengatakan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada belanjawan kali ini tanpa ada yang dipinggirkan.

Kesan pengganda kepada ekonomi negara juga agak signifikan, seperti yang dapat dilihat pada anggaran awal KDNK negara pada suku ketiga tahun ini. Idea ini juga diteruskan apabila kerajaan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95), di mana semua rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pengurangan harga minyak yang telahpun dijanjikan sebelum ini.

Sejajar dengan tema Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu Melakar Semula Pembangunan, belanjawan kali ini menumpukan pembangunan dalam erti kata yang sebenar, iaitu bukan hanya pembangunan dalam aspek pembinaan bangunan pencakar langit dan projek mega semata-mata tetapi menumpukan aspek pembangunan yang lebih bermakna dalam pembinaan sesebuah tamadun dan negara bangsa, iaitu aspek budaya, sejarah dan warisan.

Ini dapat dilihat melalui keputusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk melabur sebanyak RM600 juta bagi tujuan pemuliharaan bangunan warisan Carcosa Seri Negara.

Bukan bangunan itu sahaja, juga melibatkan pembangunan dan pemuliharaan di kawasan sekitarnya, yang melambangkan identiti dan warisan sejarah. Inilah ‘roh’ Kuala Lumpur yang perlu dibugarkan kembali akibat pembangunan yang lebih tertumpu kepada proses modenisasi melampau di masa lalu.

Ia tidak hanya terhenti di situ sebaliknya melalui pemerkasaan ekonomi Jingga, ataupun ekonomi kreatif, budaya, sejarah dan warisan boleh dieksport ke luar negara yang berpotensi memberikan pulangan lumayan kepada ekonomi negara di masa hadapan. Lihat sahaja impak positif industri K-Pop kepada ekonomi Korea Selatan.

Antara aspek menarik dalam Belanjawan 2026 yang berkait dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan nilai, penumpuan kepada pertumbuhan dan nilai yang tinggi (HGHV) adalah pengenalan kepada Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Dalam erti kata mudah, kerangka ini memastikan segala bentuk pelaburan yang dilakukan akan mendapat manfaat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, memberi manfaat kepada pemain PMKS tempatan, mengurangkan jurang ekonomi antara kawasan dan adanya peningkatan dalam perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Insentif ini perlu dilihat bersekali dengan pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang mendapat peruntukan RM7.9 bilion dalam belanjawan kali ini.

Perkara pokok dalam aspek TVET adalah usaha kerajaan untuk memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sangat diperlukan dalam pasaran buruh, terutamanya di kawasan luar bandar.

Aspek pembangunan bakat, peningkatan dalam produktiviti, pengurangan kebergantungan kepada buruh asing dan mengatasi isu tahap gaji yang rendah terutamanya dalam kalangan golongan muda merupakan beberapa perkara yang dapat diselesaikan melalui TVET.

Akhirnya, hanya dengan pelaksanaan efektif serta sistem pemantauan berkesan dapat memastikan Belanjawan 2026 berjaya dalam membina tapak kukuh untuk menerokai ekonomi masa hadapan yang menjanjikan pelbagai peluang baharu kepada seluruh rakyat.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×