Bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, tetapi ia juga cermin identiti sesebuah bangsa. Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi nadi kepada perpaduan dan lambang jati diri negara.
Namun, dalam era globalisasi masa kini, kedudukan bahasa Melayu sering diuji, terutama apabila berdepan dengan bahasa Inggeris yang begitu dominan di peringkat antarabangsa. Isu ini menjadi lebih menarik apabila kita meneliti penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan.
Kajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) memperlihatkan gambaran jelas tentang tahap keinginan pelajar antarabangsa mempelajari bahasa Melayu. Menariknya, kebanyakan pelajar antarabangsa mempelajari bahasa Melayu kerana “perlu”, bukan kerana “mahu”.
Dalam erti kata lain, mereka melihat bahasa Melayu sebagai syarat kelulusan atau kemudahan hidup semasa berada di Malaysia, bukannya sebagai pintu masuk untuk benar-benar memahami budaya tempatan.
Walaupun begitu, masih ada segelintir pelajar yang belajar bahasa ini kerana minat terhadap budaya, makanan, mahupun kesenian Melayu. Golongan inilah yang biasanya lebih cepat menguasai bahasa kerana mereka belajar dengan hati, bukan semata-mata kerana kewajipan.
Dalam konteks Islam, bahasa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, dan melalui bahasa itulah ajaran Islam disampaikan ke seluruh dunia.
Di alam Melayu sendiri, kedatangan Islam pada abad ke-13 bukan sahaja menyebarkan agama, malah memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa dakwah. Kitab-kitab agama ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi, menjadikan bahasa ini sebagai medium untuk menyatukan umat.
Maka, mempelajari bahasa Melayu bukanlah satu perkara kecil. Ia sebenarnya membuka jalan untuk memahami tamadun dan nilai Islam yang telah berakar umbi dalam budaya masyarakat Melayu.
Namun begitu, cabaran nyata tetap wujud. Salah satu masalah utama ialah sikap masyarakat tempatan sendiri. Ramai pelajar antarabangsa yang cuba bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi masyarakat lebih selesa menjawab dalam bahasa Inggeris.
Kononnya untuk memudahkan komunikasi, tetapi hakikatnya tanpa disedari mereka menutup peluang untuk berlatih dan memperbaiki bahasa Melayu.
Situasi ini agak ironis, di satu pihak, kerajaan mewajibkan pelajar antarabangsa mengambil kursus bahasa Melayu, tetapi di pihak lain masyarakat tidak memberi sokongan sepenuhnya untuk menghidupkan bahasa tersebut dalam interaksi harian.
Pensyarah yang mengajar bahasa Melayu pula berdepan cabaran yang tidak kecil. Walaupun kursus ditawarkan secara formal, tempohnya yang singkat, biasanya hanya satu atau dua semester menyukarkan penguasaan menyeluruh.
Bahasa bukan sekadar teori di dalam kelas, tetapi kemahiran hidup yang memerlukan masa, pengulangan, dan amalan berterusan. Ada pelajar yang boleh menghafal kosa kata atau lulus ujian, tetapi masih kaku apabila perlu bercakap di luar bilik kuliah.
Keadaan ini menunjukkan bahawa pendekatan lebih holistik diperlukan, misalnya dengan menggabungkan kelas formal bersama aktiviti budaya, program mentor-mentee bersama pelajar tempatan, dan penggunaan teknologi interaktif.
Dalam hal ini, suasana pembelajaran yang ceria dan mesra sangat diperlukan. Ramai pelajar antarabangsa menyatakan mereka lebih bersemangat belajar apabila pensyarah menggunakan kaedah pengajaran kreatif seperti multimedia, perbincangan kumpulan, atau permainan bahasa.
Ini sejajar dengan prinsip pendidikan Islam yang menekankan kasih sayang dan hikmah dalam menyampaikan ilmu. Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh pendidik terbaik yang menyampaikan ajaran dengan bahasa mudah, sesuai dengan tahap pemahaman pendengar.
Maka, jika guru bahasa Melayu mencontohi pendekatan ini, tidak mustahil motivasi pelajar antarabangsa akan meningkat.
Namun, kita juga perlu melihat isu ini daripada sudut lebih luas. Hakikatnya, imej bahasa Melayu di mata pelajar antarabangsa bergantung kepada cara rakyat Malaysia sendiri menghargai bahasa tersebut.
Jika rakyat kita lebih gemar menggunakan bahasa asing dalam acara rasmi, perniagaan, atau di media sosial, apa lagi yang boleh diharapkan daripada pelajar luar? Bagaimana mereka mahu menghormati bahasa Melayu jika tuan rumah sendiri seakan-akan malu untuk menggunakannya?
Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13, menekankan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali. Salah satu cara untuk mengenali adalah melalui bahasa. Maka, memartabatkan bahasa Melayu bukan sekadar tanggungjawab nasional, tetapi juga sebahagian daripada amanah agama dalam menjaga identiti dan maruah bangsa.
Pelajar antarabangsa sendiri wajar disedarkan bahawa mempelajari bahasa Melayu memberi mereka lebih daripada sekadar kredit akademik. Ia memudahkan urusan seharian, membuka ruang persahabatan dengan masyarakat tempatan, bahkan membolehkan mereka menikmati khazanah seni, sastera, dan sejarah Melayu dengan lebih dekat.
Malah, dengan menguasai bahasa Melayu, mereka dapat memahami nilai Islam yang telah lama berakar dalam budaya masyarakat. Misalnya, kata-kata hikmah, pantun, dan peribahasa sering sarat dengan ajaran moral yang selari dengan syariat.
Kritikan juga perlu diberikan terhadap sistem pelaksanaan kursus bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi. Walaupun matlamatnya baik, pelaksanaan yang terlalu singkat dan menumpukan kepada peperiksaan boleh menjadikan bahasa Melayu sekadar subjek wajib, bukan pengalaman hidup.
Hakikatnya, bahasa perlu diajar sebagai budaya, bukan hanya struktur tatabahasa. Program seperti lawatan budaya, pertandingan pidato, atau aktiviti sukarela dalam komuniti tempatan boleh menjadi jambatan terbaik untuk pelajar antarabangsa benar-benar menjiwai bahasa Melayu.
Isu motivasi pelajar antarabangsa terhadap bahasa Melayu tidak boleh dipandang remeh. Walaupun ramai belajar kerana faktor keperluan, masih ada yang datang dengan jiwa ingin mengenali budaya.
Kedua-duanya penting, tetapi cabaran terbesar ialah bagaimana untuk mengimbangi antara tuntutan akademik dengan pengalaman hidup.
Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan, pensyarah, masyarakat, dan pelajar antarabangsa, perlu saling berganding bahu agar bahasa Melayu bukan sahaja diajar, tetapi juga dihargai dan diamalkan. Dengan ini, bahasa Melayu akan terus segar, bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di persada dunia. – UTUSAN
CHE Hasniah Ya’acob ialah guru bahasa di Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










