SUDAH 68 tahun kita merdeka tetapi politik negara masih ‘dijajah’. Merdeka sepatutnya bererti kematangan dan keberanian membahaskan dasar, kebijaksanaan mencari titik temu untuk membina negara.
Malangnya, apa yang terlihat di Parlimen adalah gelanggang jeritan, dengan sambungan di media sosial menjadi pentas sindiran.
Ramai ahli politik lebih ghairah mempertahankan persepsi daripada memperjuangkan agenda bina negara.
Walaupun kita sudah 68 tahun merdeka, ruang politik kita masih cenderung mengangkat retorik sebagai nadi utama, sementara substansi dasar yang membina bangsa kurang mendapat perhatian dan perbahasan mendalam.
POLITIK SPEKTAKEL & POLITIK DEMAGOGI
Dari sudut pandang Sains Politik, politik Malaysia hari ini semakin sarat dengan ciri politik spektakel yakni diukur berdasarkan persembahan dan tontonan, bukan hujah dan dasar (The Society of the Spectacle, Guy Debord, 1967).
Kejayaan berpolitik diukur melalui sorotan media sosial, bukan melalui penyelesaian konkrit kepada masalah rakyat. Sidang Parlimen berubah menjadi pentas teater. Yang dicari bukan hujah bernas tetapi siapa paling pantas mencuri lampu sorot kamera.
Namun, spektakel ini jarang berdiri sendiri. Ia sering disulami dengan politik demagogi, istilah klasik Yunani untuk pemimpin yang memanipulasi emosi rakyat.
Dalam konteks moden, ia dikaitkan dengan gaya populis yang mengutamakan retorik emosi berbanding rasional ( Populism: A Very Short Introduction, Mudde & Kaltwasser, 2017). Maka, jadilah politik kita seolah-olah gabungan sarkas dan drama bersiri penuh konflik dan jeritan tanpa naratif pembangunan yang jelas.
Dari sudut pandang sains politik juga, gabungan spektakel dan demagogi ini memperlihatkan bagaimana arena politik tempatan berubah menjadi bentuk politik persembahan (Constructing the Political Spectacle, Murray Edelman, 1988) di mana politik sering berfungsi lebih sebagai persembahan simbolik berbanding proses perbahasan dasar.
Konflik dan jeritan yang dipentaskan dalam dewan mahupun di pentas awam hanya menghasilkan modal emosi, sedangkan kerangka pembangunan bangsa dan dasar jangka panjang semakin kabur dalam wacana politik.
POLITIK SENSASI ALA MALAYSIA
Fenomena ini nyata dalam wajah politik Malaysia di mana politik TikTok menjadi dominan dengan keratan 30 saat yang tular lebih menarik perhatian daripada kertas dasar 30 muka surat. Perdebatan di Parlimen diringkaskan menjadi petikan suara yang dikitar semula sebagai bahan sensasi, bukannya solusi substantif.
Dalam bahasa komunikasi politik, fenomena ini menggambarkan proses pemediamassaan politik Mediatization of Politics: A Challenge for Democracy?, G. Mazzoleni & W. Schulz, 1999). Akibatnya media sosial bukan lagi saluran penyampai tetapi menjadi penentu utama rentak wacana politik.
Ironinya, yang muncul di TikTok diangkat sebagai modal perbahasan di Parlimen. Logik dasar akhirnya tunduk pada logik algoritma yang ringkas, sensasi dan berpecah-belah, jauh dari kerangka deliberasi substantif yang diperlukan untuk membina negara.
Lebih ironi, jika ada perbincangan dasar pun, ia dijadikan bahan untuk sindiran dan mencari kesilapan, lalu diangkat sebagai bahan sensasi.
DASAR BESAR, DEBAT KECIL
Lebih menyedihkan, isu yang benar-benar penting seperti Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 tidak diperdebatkan dengan mendalam. Ia dibentang, dibahas sepintas lalu dan diluluskan melalui perdebatan beberapa jam sahaja .Padahal kesannya amat besar. Ia menyentuh jutaan pelajar, menentukan masa hadapan pendidikan menengah dan memberi impak langsung kepada ekonomi serta struktur sosial negara.
Dalam demokrasi matang, dasar sebesar ini biasanya diperbahaskan berhari-hari dengan data, kajian impak dan suara pelbagai pihak. Tetapi di Malaysia, perbahasan sebesar ini boleh berakhir seolah-olah ia sekadar soal teknikal.
Lebih ironi lagi, ruang perbahasan politik sering didominasi oleh polemik yang berputar-putar pada siapa menabur fitnah, siapa bercakap fakta. Tenaga politik yang sepatutnya dicurahkan untuk membina gagasan dan merumus dasar bangsa dibazirkan kepada permainan tuduh-menuduh. Dalam keadaan ini, Parlimen menjadi mahkamah retorik mencari salah dan silap lawan.
Paradoksnya, masa lebih panjang diperuntukkan untuk berdrama daripada membahaskan dasar menjadikan politik kita sudah terbalik logiknya di mana drama lebih lama daripada dasar.
IMPLIKASI
Senario ini membawa tiga implikasi besar. Pertama, ia merendahkan martabat Parlimen yang mana ahli politik lebih dihargai berdasarkan kepetahan melontarkan sindiran, bukannya keupayaan mengemukakan hujah.
Kedua, rakyat semakin menunjukkan tanda-tanda apatisme politik. Mereka tidak lagi melihat politik sebagai ruang harapan tetapi sekadar ritual yang semakin menghambar. Ironinya, mereka semakin mengerti dan justeru kerana pengertian dan kefahaman semakin mendalam, mereka semakin menjauh.
Ketiga, imej Malaysia di mata dunia kelihatan tidak sepenuhnya konsisten. Aspirasi untuk tampil sebagai negara matang kadangkala diselubungi realiti politik spectacle dan demagogi. Akibatnya, persepsi luar bercampur-baur antara harapan dan keraguan.
Secara perbandingan, Parlimen United Kingdom (UK), meskipun riuh dengan ejekan tetap berdisiplin dalam membahaskan substansi dasar.
Korea Selatan, biarpun dramatik, mampu mencapai konsensus besar dalam teknologi dan ekonomi.
Rwanda pula, dengan sejarah berdarah, menjadikan politik sebagai wahana membina semula negara dengan disiplin.
Ahli Parlimen Malaysia wajar meneladani pengalaman ini bagaimana memisahkan perbahasan dasar negara daripada permainan emosi dan mengangkat wacana substantif melebihi retorik.
DARI ILUSI KE REALITI
Negara ini ibarat sebuah rumah demokrasi yang masih dalam pembinaan. Tukang-tukangnya ialah ahli politik yang kita sendiri pilih. Malangnya, sebahagian mereka lebih sibuk bertelagah tentang siapa lebih layak memegang tukul, siapa lebih popular di mata rakyat, daripada benar-benar membina ‘rumah’.
‘Rumah’ ini boleh menjadi lebih kukuh jika ahli politik berani mengangkat substansi mengatasi sensasi dan menjadikan dasar lebih utama daripada drama.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











