“AKU mencapai kunci rumah lama ayahku,
Tersimpan di bawah bantal,
Aku menciumnya, memeluknya,
Air mataku menitis ke atasnya,
Dan aku berkata, aku rindu kepada mereka yang pernah memegangmu”.
Mohamed Arafat,
Penyair Palestin
Bait-bait puisi ini bukan sahaja menggambarkan kerinduan seorang anak terhadap keluarganya tetapi juga simbol kerinduan rakyat Palestin terhadap tanah air yang dirampas.
Kunci rumah lama yang disebut penyair merupakan metafora bagi tanah kelahiran yang tidak lagi dapat dijejaki.
Hak untuk pulang ke tanah air dinafikan rejim Israel melalui Undang-Undang Kewarganegaraan 1951 meskipun hak tersebut dijamin dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966.
Akibatnya, generasi demi generasi rakyat Palestin terpaksa hidup sebagai pelarian di bumi asing, sementara tanah air mereka terus dijajah. Pengalaman pahit ini memberi peringatan mendalam kepada rakyat Malaysia bahawa kewarganegaraan dan kemerdekaan adalah nikmat yang tidak ternilai.
NIKMAT KEMERDEKAAN
Sejak 31 Ogos 1957, Malaysia menikmati kebebasan daripada pendudukan Inggeris. Tarikh keramat itu menandakan tanah air ini akhirnya menjadi milik bangsanya sendiri secara mutlak. Kemerdekaan bukan sahaja membawa simbol kebebasan, tetapi juga mengiktiraf negara ini sebagai entiti berdaulat di persada dunia.
Sejurus selepas pengisytiharan kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan digubal berdasarkan cadangan Suruhanjaya Reid dan mula dikuatkuasakan.
Sebagai undang-undang tertinggi negara, ia menetapkan kerangka pemerintahan, melindungi kebebasan asasi, serta menjamin hak dan kepentingan rakyat.
Melalui Perlembagaan, warganegara diberi peluang membina kehidupan bermaruah, menentukan masa hadapan sendiri serta menikmati keamanan dalam negara yang berdaulat.
Perlembagaan menjamin hak kesamarataan di sisi undang-undang, kebebasan bersuara, beragama, serta hak untuk hidup dan kebebasan diri. Semua hak ini penting bagi memastikan kemerdekaan benar-benar bermakna. Ia memberi ruang kepada rakyat untuk memanfaatkan peluang dalam pendidikan, pekerjaan, kesihatan serta penglibatan dalam kehidupan awam tanpa diskriminasi.
Namun, hak datang bersama tanggungjawab. Setiap rakyat perlu memikul amanah memastikan keamanan, perpaduan dan kestabilan negara kekal terpelihara. Hak asasi yang dinikmati juga mengambil kira realiti masyarakat majmuk.
Justeru, kebebasan beragama, misalnya, diletakkan dalam kerangka aman dan damai. Perkara 3(1) Perlembagaan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan, sementara agama lain boleh diamalkan dengan syarat menghormati keharmonian masyarakat.
Selain itu, Perkara 11 menjamin kebebasan beragama tetapi memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen untuk menggubal undang-undang mengawal pengembangan agama lain dalam kalangan orang Islam. Peruntukan ini jelas menunjukkan keseimbangan antara kebebasan beragama dengan tanggungjawab memelihara ketenteraman awam.
Selaras dengan matlamat luhur tersebut, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) membangunkan Piagam Harmoni bagi memupuk perpaduan, mencegah konflik, serta mengangkat Perlembagaan dan Rukun Negara sebagai pemangkin kepada sebuah negara bangsa berdaulat.
Inisiatif seperti ini wajar dihargai kerana ia membantu memperkukuh ikatan rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Perbandingan dengan nasib umat Islam di negara lain membuatkan kita lebih menghargai nikmat kemerdekaan. Lihat sahaja etnik Rohingya di Myanmar yang dinafikan kewarganegaraan meskipun sudah berabad-abad mendiami tanah Rakhine.
Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, mereka dinafikan hak paling asas termasuk kebebasan beragama. Amnesty International melaporkan, sejak 1978 lagi, mereka menjadi mangsa pencabulan hak asasi, dikenakan cukai membebankan, tanah dirampas, rumah dirobohkan, malah terusir dari kampung halaman.
Tragedi Operasi Nagamin pada 1978 menyaksikan kira-kira 250,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Namun, Bangladesh enggan mengiktiraf mereka, manakala Myanmar pula menafikan kewarganegaraan mereka. Akibatnya, Rohingya menjadi bangsa tanpa negara.
Nasib serupa menimpa etnik Uyghur di Xinjiang yang berhadapan diskriminasi dan sekatan terhadap kebebasan beragama.
Seorang sahabat Uyghur pernah mengirimkan mesej kepada rakannya di Malaysia menjelang Hari Kemerdekaan.
Katanya, “Sebagai seseorang yang tidak mempunyai tanah air, saya sering tertanya-tanya bagaimana rasanya meraikan kemerdekaan.
“Namun, setiap kali melihat rakyat Malaysia menyambutnya dengan gembira, hati saya turut merasa bahagia. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberkati tanah ini dengan keamanan dan perpaduan.”
Ungkapan penuh kejujuran itu mengingatkan kewarganegaraan dan kemerdekaan adalah anugerah yang sangat berharga.
Rakyat Malaysia mesti mempertahankan tanah tumpah darah ini daripada sebarang ancaman, sama ada perpecahan dalaman mahupun ancaman luar.
Untuk mempertahankan negara, ilmu memainkan peranan penting. Pendidikan yang menekankan nilai hormat-menghormati, semangat kebersamaan dan kefahaman tentang kepelbagaian budaya mampu melahirkan masyarakat berakhlak, beradab dan bertanggungjawab.
Perpaduan yang lahir daripada kefahaman ini menjadi prasyarat utama bagi kestabilan dan kemajuan negara.
Selain itu, rakyat mesti memahami dan menghayati sejarah tanah air. Tanpa pengetahuan sejarah, kita tidak mungkin melangkah maju dengan yakin. Sejarah memberikan pengajaran tentang pengorbanan dan kejayaan yang pernah dicapai, di samping mengingatkan kita agar tidak mengulangi kesilapan silam.
Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas pernah menegaskan, “Hati yang hampa tiada mengandungi sejarah bangsa, tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia.
Penyimpan khabar zaman yang lalu menambah lagi, pada umurnya umur berulang berkali ganda.” Ungkapan ini menekankan bahawa sejarah adalah akar yang mengukuhkan bangsa, membimbingnya agar tidak mudah goyah menghadapi cabaran zaman. – UTUSAN
PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










