BARU-baru ini berlaku rusuhan di negara jiran sejak 25 Ogos lalu amat membimbangkan.
Peristiwa tersebut mengingatkan kita bahawa jurang sosial bukan sekadar soal angka dalam buku ekonomi tapi tekanan hidup yang boleh menghakis kesihatan mental dan kewarasan berfikir rakyat.
Dalam sejarah peradaban manusia, kepimpinan sentiasa menjadi asas kepada jatuh bangun sesebuah bangsa. Tidak kira di mana pun kita berada, pemimpinlah yang menjadi pengemudi arah, mengemudi bahtera rakyat agar tidak karam di tengah gelombang cabaran dunia.
Namun, dalam realiti politik dan sosial hari ini, kita semakin kerap melihat jurang yang semakin melebar antara pemimpin dan rakyat.
Asas demokrasi itu sendiri memberi ruang kepada rakyat memilih siapa yang bakal mewakili suara mereka.
Mandat yang diberi bukanlah satu tiket untuk membina empayar peribadi, tetapi satu tanggungjawab berat untuk menyampaikan harapan rakyat. Pemimpin adalah suara rakyat yang tidak mampu bersuara, perwakilan kepada mereka yang sering dipinggirkan.
Dalam konteks sebuah negara demokrasi, kita melihat pelbagai lapisan masyarakat—dari nelayan di pesisir pantai, petani di desa, pekerja kilang di bandar, sehinggalah anak muda yang menganggur, semua ini menuntut perhatian.
Apabila mereka turun mengundi, mereka bukan sekadar menunaikan hak, tetapi menitipkan harapan agar pemimpin yang dipilih benar-benar memperjuangkan nasib mereka.
Maka, adalah satu pengkhianatan besar jika seorang pemimpin melupakan tujuan asalnya, lalu hanya sibuk dengan agenda peribadi.
Seorang pemimpin sejati tidak mabuk dengan kuasa. Kuasa bukanlah matlamat, tetapi alat untuk melakukan kebaikan dan perubahan positif.
Kita sering melihat bagaimana perebutan kuasa merosakkan keharmonian politik, mengheret rakyat ke kancah kebosanan dengan drama yang tiada kesudahan.
Pemimpin berjiwa rakyat seharusnya sedar bahawa jawatan yang digalas itu hanyalah sementara. Hari ini berada di atas, esok mungkin kembali menjadi rakyat biasa. Maka, selagi diberi peluang, gunakan kuasa untuk membela rakyat.
AMANAH
Kerap kali kita mendengar ungkapan bahawa jawatan itu adalah amanah. Namun, berapa ramai yang benar-benar menghayatinya? Amanah bermaksud tanggungjawab yang akan dipersoalkan, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat.
Sayangnya, ada yang melihat jawatan sebagai tiket kemewahan, peluang mengaut keuntungan, atau alat untuk menunjuk-nunjuk status.
Inilah pengajaran yang perlu sentiasa diingat oleh semua pemimpin. Rakyat tidak akan menghormati pemimpin yang hanya mengejar kemewahan, kerana kemewahan itu tidak membawa apa-apa makna jika rakyat di bawah terus menderita.
Sebaliknya, rakyat akan mengangkat tinggi seorang pemimpin yang hidup sederhana, jujur dan amanah. Lihatlah tokoh-tokoh besar dunia yang dikenang kerana kesederhanaan mereka itulah bukti bahawa kemuliaan pemimpin bukan datang dari apa yang dipakai, tetapi dari apa yang diperjuangkan.
JAMIN PROGRESIF KOMUNITI
Lebih penting, pemimpin berjiwa rakyat mampu menjamin komuniti terus progresif. Dalam dunia yang penuh persaingan global, sebuah masyarakat tidak boleh mundur atau leka.
Pemimpinlah yang menjadi enjin penggerak agar rakyat tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan, ekonomi, teknologi dan pembangunan sosial.
Contohnya, dasar-dasar yang baik dalam pendidikan mampu melahirkan generasi yang berdaya saing.
Polisi ekonomi yang adil dan telus pula mampu membuka peluang pekerjaan, mengurangkan jurang kaya-miskin, serta memastikan pertumbuhan yang inklusif.
Pemimpin yang benar-benar bersama rakyat akan meletakkan fokus kepada pembangunan sosioekonomi, bukan sekadar beretorik di pentas ceramah.
Jika pemimpin lalai, rakyat akan terus mundur. Jika pemimpin tamak, kekayaan negara hanya berlegar dalam kelompok elit. Namun, jika pemimpin benar-benar amanah, seluruh komuniti dapat merasai nikmat kemajuan.
Itulah peranan besar yang memerlukan jiwa rakyat dalam diri seorang pemimpin.
Memetik ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia 2025, beliau menegaskan bahawa antara cabaran utama kepimpinan kini untuk mengisi kemerdekaan adalah memastikan ekonomi melonjak dengan pembaharuan menyeluruh yang mampu mengangkat kesejahteraan rakyat.
MENJADI PENGAJARAN UNTUK SEMUA
Akhirnya, penting untuk kita menegaskan bahawa kepimpinan bukanlah tentang nama, kuasa, atau harta. Ia adalah tentang tanggungjawab besar yang dipikul demi kepentingan rakyat.
Sejarah telah banyak mengajar kita. betapa banyak pemimpin tumbang kerana mengkhianati amanah, dan betapa ramai yang terus dikenang kerana kesederhanaan dan kejujuran mereka.
Kita semua, baik rakyat biasa mahupun pemimpin, perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa jawatan itu hanyalah sementara. Dunia ini singkat, tetapi kesan kepimpinan yang baik akan kekal lama dalam ingatan generasi.
Semoga pemimpin hari ini mengambil iktibar, bahawa menjadi pemimpin bukanlah peluang untuk bermewah-mewahan, tetapi kesempatan untuk meninggalkan legasi yang bermakna kepada bangsa dan negara.
Pemimpin berjiwa rakyat bukan sekadar slogan, tetapi suatu tuntutan yang perlu diterjemah dalam tindakan.
Rakyat kini semakin matang dan mampu menilai. Mereka tidak lagi terpesona dengan janji manis, tetapi menuntut integriti, ketelusan, dan kesederhanaan.
Maka, pemimpin yang benar-benar bersama rakyat akan terus dihormati, manakala pemimpin yang mementingkan diri akan ditolak.
Seperti kata hikmah, “Pemimpin yang baik bukanlah yang berjalan di hadapan rakyat, tetapi yang berjalan bersama-sama rakyat.” Selagi seorang pemimpin itu meletakkan rakyat sebagai keutamaan, selagi itu bangsa ini akan terus maju dan sejahtera. – UTUSAN
PENULIS adalah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC@IIUM), UIAM Kuantan.










