Politik buli: Pengkhianatan terhadap demokrasi

Politik buli: Pengkhianatan terhadap demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULI sering dikaitkan dengan persekitaran sekolah atau tempat kerja, namun hakikatnya budaya ini turut berakar dalam dunia politik.

Lebih membimbangkan, ia bukan sahaja berlaku secara tersembunyi, malah kini digunakan secara terbuka sebagai ‘senjata utama’ untuk meraih sokongan pengundi.

Meskipun strategi ini mungkin berkesan dalam jangka pendek, kesannya terhadap amalan demokrasi dan masa hadapan masyarakat adalah sangat membimbangkan selain berpotensi membawa bahaya.

Daripada politik idea kepada politik buli, itulah realiti yang semakin ketara hari ini. Politik, yang sepatutnya menjadi medan percambahan idea, perbahasan dasar dan penghasilan polisi demi kesejahteraan rakyat, kini semakin tercemar dengan pendekatan yang tidak sihat.

Dalam sistem demokrasi, rakyat diberi ruang untuk menilai calon dan parti berdasarkan hujah, visi serta keupayaan mereka mentadbir dengan berkesan. Namun, hakikatnya, semakin ramai yang memilih jalan singkat dengan menggunakan taktik kotor melalui serangan peribadi, menyebar fitnah, mengaibkan lawan serta melakukan ugutan secara halus mahupun terbuka.

Fenomena ini bukan sahaja terserlah dalam ceramah politik dan perbahasan umum, malah lebih ketara di media sosial. Ruang maya yang sepatutnya menjadi platform dialog terbuka berubah menjadi medan buli politik. Ia dipenuhi dengan ejekan, manipulasi imej, penyebaran maklumat palsu dan budaya penolakan (cancel culture) yang merosakkan.

Apabila politik dibelenggu budaya buli, ia tidak lagi menjadi wahana membina bangsa dan negara, sebaliknya bertukar menjadi pentas kebencian yang akhirnya merugikan rakyat keseluruhan.

Kebencian politik kini menjadi punca utama perpecahan sosial, sekali gus menyuburkan budaya buli yang meracuni hubungan dalam masyarakat. Apabila pihak lawan digambarkan sebagai musuh, rakyat turut terheret dalam kancah politik kebencian. Pilihan pengundi bukan lagi berlandaskan dasar membina, sebaliknya dipengaruhi persepsi negatif terhadap lawan yang dibentuk melalui serangan bertubi-tubi.

Fenomena ini semakin ketara di Malaysia. Setiap kali pilihan raya berlangsung, kita dapat menyaksikan serangan peribadi terhadap calon menjadi bahan utama kempen. Ada yang dihina kerana latar belakang keluarga, dipersendakan kerana usia muda, malah dijatuhkan melalui penyebaran video atau poster fitnah di media sosial.

Politik identiti pula sering dijadikan senjata buli. Retorik yang memperlekeh kaum atau agama tertentu digunakan untuk menakut-nakutkan pengundi agar menjauhi pihak lawan. Strategi ini mungkin menguntungkan dalam jangka pendek, namun dalam jangka panjang, ia hanya meracuni hubungan antara kaum dan melemahkan usaha membina integrasi nasional.

Tidak terkecuali, politik ugutan turut digunakan. Misalnya, kenyataan berbentuk ancaman seperti ‘jika lawan menang, pembangunan akan disekat’ atau ‘hak komuniti tertentu akan terancam jika parti lawan berkuasa’ menjadi taktik untuk meraih sokongan melalui ketakutan, bukannya berdasarkan keyakinan terhadap dasar dan idea.

Akibat daripada budaya politik buli ini, generasi muda semakin menjauh daripada politik. Mereka tidak lagi melihat politik sebagai wahana perubahan dan dasar yang positif, sebaliknya hanya nampak gelanggang cacian, penghinaan dan permainan kuasa yang toksik.

Tidak hairanlah, ramai memilih untuk menjauh daripada politik kerana bosan dengan budaya kotor yang ditonjolkan. Lebih sedihnya ada juga segelintir anak muda yang meniru gaya politik buli dengan menganggapnya sebagai ‘cara sebenar’ untuk membesar dengan tanggapan untuk berjaya, seseorang perlu menjatuhkan orang lain, bukan membina diri dengan hujah dan visi.

Jika perkara ini berterusan, maka hilanglah generasi pemimpin berwibawa disebabkan masa hadapan dipenuhi tokoh yang pandai berperang mulut tetapi gagal merangka dasar negara.

Penyalahgunaan kuasa dalam kuasa buli dalam politik amat bahaya kerana memberi ruang kepada penyalahgunaan kuasa. Pemimpin yang biasa menekan dengan ugutan dan fitnah akan lebih cenderung menggunakan pendekatan apabila berkuasa. Ini termasuk dalam hal perbezaan pandangan, menyekat kebebasan media atau menafikan hak rakyat demi mengekalkan kuasa.

Keadaan ini sebenarnya tidak jauh beza dengan budaya buli di sekolah. Mereka yang merasakan diri kuat terus memberi tekanan kepada yang lemah. Bezanya di pentas politik kesannya melibatkan jutaan rakyat akhirnya membantutkan pembangunan negara kerana tumpuan pemimpin bukan lagi kepada kebajikan rakyat tetapi bagaimana mahu melemahkan musuh politik.

Selain itu, negara juga pasti rugi apabila budaya buli dijadikan norma politik. Pertama, kehilangan makna sebenar demokrasi kerana ia dicemari propaganda, fitnah dan serangan peribadi.

Kedua rakyat semakin hilang keyakinan terhadap institusi politik kerana melihat ia hanya pentas perebutan kuasa, bukan medan perjuangan rakyat. Negara akan kehilangan bakat pemimpin berkualiti kerana mereka yang integriti enggan terlibat dalam arena politik kotor.

Lebih malang pembangunan negara akan terganggu sementara tenaga dan dana lebih banyak dihabiskan untuk melawan persepsi serta serangan politik berunsur buli daripada menyusun polisi jangka panjang. Dalam jangka panjang, negara ketinggalan kerana pemimpin sibuk berperang sesama sendiri.

HENTI BUDAYA POLITIK BULI

Budaya politik buli mesti dibanteras,. Pun begitu ia memerlukan perubahan menyeluruh dengan ahli politik harus sedar mereka bukan sekadar wakil parti tetapi cerminan negara. Mereka perlu mengutamakan politik idea dan dasar, bukan politik cacian.

Kedua, rakyat mesti matang dalam membuat pilihan. Pengundi perlu menolak calon atau parti yang menjadikan buli, fitnah dan penghinaan sebagai modal kempen. Jika rakyat tidak memberi undi kepada mereka, budaya ini akan mati dengan sendirinya.

Ketiga, media sama ada arus perdana mahupun media sosial perlu memainkan peranan dengan lebih tanggungjawab. Serangan berbaur buli tidak boleh dijadikan bahan sensasi semata-mata kerana ia merosakkan minda rakyat. Sebaliknya media harus mengangkat wacana dasar dan cadangan penyelesaian masalah rakyat.

Keempat, generasi muda perlu dididik dengan budaya politik matang. Pendidikan sivik, wacana akademik dan ruang perdebatan sihat perlu diperluas supaya anak muda terbiasa dengan politik yang berteraskan hujah dan fakta, bukan emosi atau penghinaan.

Kesimpulannya, budaya politik buli adalah racun yang perlahan-lahan melemahkan masyarakat dan memecah-belahkan bangsa. Budaya tidak sihat ini perlu dihentikan segera sebelum ia menjadi barah yang tidak lagi boleh dirawat.-UTUSAN

 

DR. Yusry Sulaiman ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×